Oleh Mohd Sabran Md Sani

Kaedah melandak secara konvensional menerusi penanaman secara Sistem Intensifikasi Padi (System of Rice Intensification-SRI) begitu memenatkan.

Disebabkan ia organik, maka proses memulihkan kesuburan tanah sawah juga perlu secara semula jadi.

Pemulihan tanah berupaya mengekalkan aktiviti penanaman padi secara lestari (sustainable).

SRI organik menggalakkan penggunaan bahan organik secara menyeluruh bagi mengganti baja inorganik dan racun kimia.

Teknik penanaman yang mesra alam ini dapat menjaga kesihatan petani, sekali gus mengurangkan pencemaran bahan kimia dalam beras. Menerusi kaedah SRI, rumput yang hidup dibenamkan ke dalam tanah untuk dijadikan baja semula jadi.

Kandungan nutrien pada akar rumput menggalakkan kesuburan pokok padi.

Selain itu, proses fotosintesis juga menjadi sempurna, sekali gus memudahkan bekalan oksigen dibekalkan kepada pokok dan akar.

Bagi memudahkan kerja melandak, dua pensyarah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah membangunkan 'Mesin Melandak Padi Organik'.

Ia dibangunkan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Shaiful Zamri Abdul Sattar dan Ahmad Sabri Mohamed.

Projek berkenaan sudah meraih pelbagai anugerah berprestij seperti pingat emas sempena Pameran Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2014.

Tiga emas lain diraih sempena pertandingan Rekacipta International Innovative Festival (INNOFEST 2014), Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx) 2014 dan Conference, Competition and Exhibition 2014 (CCE 2014).

Inovasi dibangunkan bersama pensyarah POLIMAS dan Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima pingat perak sempena pertandingan inovasi Malaysian Agricultural Innovation Challenge (MAgIC) 2014 di MAEPS, Serdang, baru-baru ini.

Shaiful berkata, idea membangunkan mesin melandak itu bagi memudahkan aktiviti menggembur tanah menggunakan kaedah SRI.

"Ia adalah satu mesin yang digunakan untuk melandak padi menggunakan kaedah SRI.

"Dalam SRI ini, terdapat enam prinsip utama diamalkan dan ia padi kurang air, penggridan petak padi dan melandak," katanya.

Jika dulu kaedah melandak dilakukan petani dari satu lorong ke satu lorong tetapi ia kini dikemas kini.

"SRI bukan kaedah menabur benih padi secara terus ke dalam sawah, tetapi anak padi yang berusia lima hari ditanam satu persatu di dalam petak grid yang berukuran 30 sentimer (sm) x 30sm menggunakan konsep satu anak benih satu tempat," katanya.

Selalunya, sebaik anak benih bercambah ketika berusia sepuluh hari, proses memasukkan air ke dalam petak sawah dan melandak menyusul pada hari berikutnya.

"Kerja melandak adalah proses menggemburkan tanah dengan aktiviti mengikut urutan sepuluh, 20, 30 dan 40 hari.

"Bahasa mudah, melandak adalah aktiviti mengolak permukaan tanah yang mempunyai rumput ke dalam tanah untuk dijadikan baja," katanya proses semula jadi itu memudahkan pengudaraan sekali gus meningkatkan nutrisi tanah bagi menjadikan pokok padi sihat.

Menerusi mesin dibangunkan katanya, ia lebih menjimatkan masa petani.

"Buktinya dalam satu masa saja, kami boleh melandak dalam tiga baris.

"Dulu satu relung tanah memakan masa dua hari untuk disiapkan menggunakan tenaga seorang pekerja, kini ia menjadi lebih pantas," katanya.

Menerusi mesin melandak katanya, ia lebih efisien kerana proses menggembur tanah hanya enam jam untuk satu relung tanah.

Komponen utama adalah jentera mesin, gear sistem dan besi kimpalan mata melandak. MMenggunakan enjin dua lejang sebagai kekuatannya, mesin berkenaan menggunakan 1.2 liter minyak petrol untuk bertahan dalam tempoh satu ke dua jam bergantung kepada keluasan.

Mesin yang dibangunkan dalam bentuk prototaip itu dibangunkan pada tahun lalu.

Ia adalah versi kedua selepas melalui beberapa siri transformasi termasuk pengubahsuaian pada bahagian mata melandak bagi membolehkan olakan tanah lebih sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 5:00 AM