TANAMAN di dalam rumah hijau melindungi pokok buah tin daripada serangan serangga dan hujan.
TANAMAN di dalam rumah hijau melindungi pokok buah tin daripada serangan serangga dan hujan.
Hafiz Ithnin


Ternyata daripada hobi, lelaki berusia 58 tahun ini menjadikan aktiviti pertanian sebagai sesuatu yang serius. Daripada bertani di kawasan kediaman kini, kini beliau sudah mempunyai kebun sendiri.

Jenis tanamannya? Bukan 'biasa-biasa,' kerana buah tin menjadi pilihannya.

Ramai mengetahui tanaman pokok buah tin bukan mudah kerana untuk mendapatkan tuaian buah yang mempunyai harga cukup premium itu memerlukan pemantauan sangat rapi terutama ketika anak pokok baru berusia dua bulan.

Kini lelaki berstatus 'insinyur' (Ir) mampu tersenyum puas kerana beliau bukan saja mempunyai kebun tin di Slim River, Perak yang mempunyai 144 pokok matang, malah menjadi ladang ilmu bagi mereka yang berminat untuk mengusahakan tanaman itu.

Ir Hishamuddin Othman berkata, sejak kira-kira lapan tahun lalu beliau sudah mempunyai minat untuk aktif dalam pertanian, tetapi hanya menjadikannya sebagai hobi dan menanam lebih 200 varian buah tin di kawasan rumah.

Namun, ia tidak begitu serius. Apatah lagi beliau tidak mengikuti sebarang kursus profesional untuk menanam pokok itu dan hanya bergantung kepada sumber rujukan di laman web dan media sosial terutama YouTube.

Malah, kaedah cuba jaya menjadi amalannya.

"Pokok buah tin ini begitu sinonim dengan negara empat musim dan ia hanya berbuah ketika musim panas sahaja. Jadi, sebenarnya pokok buah tin sesuai untuk ditanam di Malaysia kerana cuaca kita panas sepanjang tahun.

"Cara menanam pokok buah tin ini adalah daripada anak pokok yang mempunyai tinggi sekitar 30 sentimeter (cm). Jika ia sudah matang, keratan batang daripada induk boleh disemai dan dijadikan pokok baharu," katanya.

Akuinya, bukan mudah untuk menjaga anak pokok buah tin kerana daunnya begitu sensitif dengan jumlah air yang banyak. Jadi, pemantauan daripada segi siraman air amat diperlukan.

POKOK buah tin boleh berbuah sepanjang masa selepas matang.
POKOK buah tin boleh berbuah sepanjang masa selepas matang.

HISHAMMUDDIN mengusahakan tanaman buah tin sejak kira-kira lapan tahun lalu.
HISHAMMUDDIN mengusahakan tanaman buah tin sejak kira-kira lapan tahun lalu.

"Selepas berusia kira-kira dua bulan, anak pokok ini sudah mula mengeluarkan buah dan ia akan terus berbuah tanpa mengikut musim.

"Daripada putik sehingga buahnya masak juga tidak mengambil masa yang lama iaitu kira-kira tiga bulan sahaja jika menjaganya dengan betul terutama dari segi jumlah siraman air, pemilihan media tanah dan baja.

"Pokok buah tin akan berbuah sepanjang masa tanpa mempunyai musim dan usia pokok ini juga mampu mencecah ratusan tahun. Disebabkan itu, pokok buah tin ini amat berbaloi untuk diusahakan di dalam dunia pertanian," katanya.

Bercerita mengenai proses siraman, Hishamuddin berkata, pokok buah tin yang sudah matang cukup hanya disiram sehari sekali sahaja dan media tanah yang dipilih bukan jenis bertakung air, tanah poros dan kaya dengan bahan organik lebih baik.

"Apabila mengusahakannya secara serius pada 2021, sejumlah 144 pokok buah tin saya di tanam di bawah rumah hijau kerana saya ingin memastikan keadaan pokok tidak menerima air yang berlebihan terutama pada musim hujan.

"Selain itu, konsep rumah hijau ini juga membantu melindungi pokok daripada diserang makhluk perosak terutama serangga. Selain itu, bagi memastikan jumlah air yang tepat untuk siraman saya menggunakan kaedah fertigasi," katanya yang mengeluarkan modal permulaan kira-kira RM50,000.

Hishamuddin yang mengusahakan pokok buah tin di atas tanah seluas kira-kira 0.40 hektar turut menanam anggur dan pokok hiasan lain.

Kawasan berkenaan dijadikan nurseri pokok dan pelancongan agro.

Katanya, daripada 144 pokok itu terdiri daripada varian buah merah (Matsui Dauphine, Black Genoa, Black Jack) dan buah kuning (Jin Au Fen, Bo Ji Hong, Constantine de Algerie).

BUAH tin yang matang dipetik dan diasingkan mengikut jenisnya.
BUAH tin yang matang dipetik dan diasingkan mengikut jenisnya.

Jelasnya, buah tin mempunyai permintaan tinggi di pasaran tempatan dan harga di pasaran juga agak tinggi iaitu kira-kira RM80 sekilogram.

Anak pokok dengan ketinggian kira-kira 61cm dijual pada RM60 sepokok.

Katanya, anak pokok juga mempunyai permintaan tinggi kerana kepada mereka yang mempunyai minat mengenai tanaman itu mengetahui hasilnya kelak amat berbaloi.

"Saya akan menjual anak pokok yang sudah hampir matang bagi memudahkan pembeli menjaganya kerana pada usia yang terlalu muda, kejayaan untuk menjadikannya matang amat sukar kerana seperti dikatakan ia perlu menerima jumlah siraman secukupnya sahaja.

"Selain itu, saya juga akan memberikan mereka maklumat seperti cara penjagaan dan pemilihan baja yang sesuai supaya anak pokok yang dibeli itu mampu membesar dengan baik. Selain itu, ini adalah cara saya untuk berkongsi ilmu," katanya.

Ditanya mengenai cabaran, katanya, daripada segi penjagaan jika pokok buah tin ditanam di dalam rumah hijau amat baik kerana terlindung daripada makhluk perosak dan air juga boleh dikawal.

"Jika pokok buah tin ini ditanam di kawasan terbuka, kita khuatir air hujan akan membantutkan pertumbuhannya terutama daun yang begitu sensitif dengan penerimaan air.

"Selain itu, cabaran terbesar apabila saya sudah mempunyai jumlah pokok tin yang agak banyak ialah buah yang dituai tidak boleh bertahan melebihi lima hari kerana ia cepat rosak. Jadi cara mengatasinya dengan menyimpan di dalam peti sejuk," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 6:44 AM