HANYA terung berkualiti dipilih untuk dijual.
HANYA terung berkualiti dipilih untuk dijual.
Hafiz Ithnin


"Saya seronok apabila melihat terung masak ranum. Ia menjadi satu kepuasan secara peribadi. Asalnya saya hanya melakukan sekadar 'seronok-seronok,' ia kemudian menjadi perniagaan," katanya kepada penulis.

Bagi pemilik nama Mohamad Nazim Ibrahim, dia melihat dunia pertanian memberi kepuasan tersendiri walaupun ada pelbagai cabaran.

Jelasnya, hanya dia tidak mengikuti sebarang kursus pertanian secara formal, tetapi mempelajarinya daripada rakan-rakan yang mempunyai pengalaman dalam tanaman terung.

"Bagi mengusahakan terung ini boleh dikatakan agak mudah kerana perkara paling utama ialah memilih kualiti benih yang terbaik supaya buah yang dihasilkan juga mampu mendapat sambutan.

"Saya mula menanam terung pada November 2020. Ketika itu hanya mempunyai 1,500 pokok dan kini meningkat kepada 4,500 pokok," katanya.

Tambahnya, terung mengambil masa untuk berbuah dan matang sekitar 70 hari dan ia boleh dituai untuk dipasarkan.

"Penjagaan terung tidak begitu sukar kerana saya perlu pastikan ia mempunyai air yang mencukupi dan tidak diserang makhluk perosak," katanya.

Tambahnya, dari segi kekerapan siraman tanaman itu, ia bergantung kepada cuaca. Jika keadaan panas dan tidak hujan beberapa hari, pokok terung perlu disiram setiap hari.

MOHAMAD Nazim turut mengusahakan tanaman tembikai.
MOHAMAD Nazim turut mengusahakan tanaman tembikai.

"Jika tidak, cukup untuk saya menyiramnya dua hari sekali sahaja kerana terung tidak memerlukan air yang banyak untuk tumbesarannya dan agak lasak.

"Namun, ia terdedah dengan serangan makhluk perosak seperti kumbang daun, kutu daun, ulat pengorek buah dan hamama merah. Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti siraman racun perlu dilakukan," katanya.

Mohamad Nazim berkata, sejak menceburkan diri dalam tanaman terung panjang itu, dia sudah dua kali menuai hasil. Pada kali pertama dia berjaya menuai lebih dua tan buah.

"Bagi musim kedua pula, hasil agak sedikit kerana kebun saya bersaiz 1.6 hektar (empat ekar) dilanda banjir dan merosakkan banyak pokok.

MENGUASAHAKAN empat ekar tanah untuk tanaman terung.
MENGUASAHAKAN empat ekar tanah untuk tanaman terung.

"Namun, ia bukan menjadi penghalang kerana cabaran akibat bencana alam itu perlu dihadapi dengan tenang dan saya tidak berputus asa," katanya.

Bercerita mengenai permintaan, katanya, kebun terung mininya terletak di Besut, Terengganu dan hasil tanamannya dipasarkan kepada peladang Hulu Langat, Selangor.

Jelasnya, di kawasan Selangor dan bandar, sayur-sayuran seperti terung mempunyai permintaan yang baik berbanding di kampung.

KEADAAN buah terung yang baik.
KEADAAN buah terung yang baik.

"Perkara ini kerana di kampung kebanyakan penduduk setempat mempunyai tanaman mereka sendiri dan untuk menjual dengan jumlah besar agak sukar.

"Secara skala besarnya dijual kepada pemborong di Hulu Langat dan ada juga secara kecil-kecilan yang dijual kepada pasaran setempat saya," katanya.

Jelasnya, harga terung secara purata dijual kepada pemborong sekitar RM3 sekilogram dan pernah mencecah sehingga RM5 sekilogram.

"Jika pengeluaran terung banyak pada musim itu, maka harga akan turun dan berlaku sebaliknya jika pengeluaran rendah.

"Bagi memastikan terung yang ditanam mampu dibekalkan kepada pasaran, saya akan menanamnya secara berperingkat dalam satu musim yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 6:45 AM