PENGGUNAAN platform dijangka membantu dan memudahkan urusan pekebun kecil dalam mendapatkan produk input pertanian.
PENGGUNAAN platform dijangka membantu dan memudahkan urusan pekebun kecil dalam mendapatkan produk input pertanian.
PELANCARAN eAGRO iaitu platform dalam talian yang pertama di Malaysia membabitkan akses input produk pertanian.
PELANCARAN eAGRO iaitu platform dalam talian yang pertama di Malaysia membabitkan akses input produk pertanian.
HM Digital

PLATFORM dalam talian eAGRO dijangka dapat membantu pekebun kecil menerusi cara meningkatkan kelancaran penghantaran produk input pertanian selain menggalakkan ketelusan harga produk terbabit dengan penjual dan pengeluar.

Menurut Pengerusi Eksekutif eAGRO, Tengku Syarif Laksamana Perlis Datuk Seri DiRaja Syed Razla Syed Putra Jamalullail, akses kepada platform itu mewujudkan rangkaian pasaran lebih sihat membabitkan produk input pertanian di seluruh negara.

"Kami di eAGRO memanfaatkan teknologi bagi menyatukan semua pemain dalam segmen input pertanian dari pekebun kecil, penjual sehinggalah kepada pengeluar produk.

"Rangkaian ini secara tidak langsung memberi peluang terutama kepada pekebun kecil untuk akses kepada produk input pertanian berkualiti yang dapat membantu mereka meningkatkan pengeluaran hasil.

"Ketika ini kami sudah mendapat lebih 100 penyertaan termasuk pemain industri bersaiz mega yang mahu memberi sokongan terhadap perkebun kecil dan menjangkakan lebih ramai lagi menyertai dalam tempoh terdekat,"katanya.

Produk input pertanian yang terdapat di platform berkenaan adalah pek benih, anak pokok, baja, antibiotik, vaksin ternakan, makanan ternakan dan peralatan pertanian.

"Platform ini membolehkan pekebun kecil membuat pesanan melalui carian produk input pertanian dan seterusnya boleh memilih untuk dihantar terus ke rumah atau mengambilnya di mana-mana kedai berhampiran selepas pesanan dibuat.

"Terdapat juga faedah atau rebat yang ditawarkan dari semasa ke semasa. Ia termasuk menguruskan perkongsian maklumat seperti perkhidmatan analisis baja bagi membantu pekebun kecil menerima maklumat tepat mengenai kandungan nutrien baja.

"Usaha ini turut mendapat sokongan institusi kewangan seperti CIMB apabila menawarkan pelan pembayaran ansuran selama enam hingga 12 bulan tanpa faedah bagi jumlah tertentu," katanya.

Sementara itu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronal Kiandee menyifatkan, kemudahan seperti platform dalam talian eAGRO seiring dengan strategi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam memperluaskan adaptasi teknologi dalam sistem penghasilan makanan negara.

Langkah itu penting bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti sistem berteraskan skala ekonomikal serta pertanian mampan.

"Kementerian sedang giat memperluas dan memperkasa pemasaran hasil pertanian khususnya menerusi platform e-dagang yang bersesuaian untuk meningkatkan kebolehpasaran serta kebolehdapatan hasil pertanian bagi pasaran domestik mahupun pasaran antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 6:35 AM