Mohamad Hussin

Industri kelapa di Malaysia mempunyai prospek yang sangat cerah berdasarkan peningkatan permintaan terhadap produk hiliran kelapa dari dalam dan luar negara.

Kerajaan Persekutuan memperuntukkan hampir RM50 juta bagi pembangunan industri kelapa yang kini dilihat berpotensi sebagai Sumber Kekayaan Baru negara ataupun dijenamakan semula sebagai Sumber Rezeki Baru negara.

Sebahagian besar hasil kelapa negara disumbangkan pekebun kecil (95 peratus) selebihnya dari estet, jabatan dan agensi.

Negeri pengeluar kelapa yang terbesar di Malaysia adalah Selangor dan dianggarkan mengeluarkan hasil 103,736 metrik tan (mt), diikuti Johor (99,577mt) dan Perak (91,472mt).

Namun dari segi keluasan bertanam kelapa, Sabah menunjukkan keluasan paling banyak iaitu 16,268 hektar (ha) diikuti Sarawak (12,364ha), Johor (11,515ha), Kelantan (9,140ha), Selangor (9,095ha) dan Perak (9,080ha).

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menyasarkan pengeluaran kelapa meningkat daripada 550,000mt (550 juta biji) pada 2010 kepada 1.2 juta mt (1.2 bilion biji) pada 2020 dengan unjuran pertumbuhan tahunan sebanyak 8.7 peratus bagi memenuhi permintaan tempatan yang tinggi.

Bagi memulihkan industri ini, pengeluaran kelapa diunjurkan 810,000mt (810 juta biji) pada 2015. Namun pengeluaran sebenar kelapa pada 2015 adalah 505,614mt (505 juta biji) iaitu masih kekurangan 305,000mt (305 juta biji) kelapa.

ISI kelapa matag.
ISI kelapa matag.

Timbalan Ketua Pengarah MARDI Dr Kamariah Long berkata, kelapa sangat sinonim dengan ungkapan ‘pokok kehidupan’. Komoditi ini terkenal dengan tanaman yang mempunyai pelbagai kegunaan dari makanan hingga kosmetik.

Beliau berkata, ia berkait rapat dengan sosioekonomi pekerjaan dan pendapatan penduduk luar bandar. Ia juga mendapat permintaan yang tinggi bagi penggunaan domestik terutama sebagai sumber makanan dan kegunaan sabutnya.

“Penggunaan per kapita kelapa di Malaysia adalah sekitar 19 kilogram (kg)/tahun dan dijangka meningkat setiap tahun. Penggunaan domestik adalah sebanyak 750,000 mt setahun dan daripada jumlah ini, pengeluaran dalam negara menyumbang sebanyak 88.8 peratus.

“Permintaan kelapa bagi kegunaan segar dan industri pemprosesan makanan yang meningkat menyebabkan kerajaan terpaksa mengimport kelapa dari negara jiran seperti Indonesia serta Filipina,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kelapa Kebangsaan (NCC) 2018 bertemakan Memperkasakan Industri Kelapa di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

PELANCARAN buku Teknologi Inovasi Penyelidikan Kelapa MARDI.
PELANCARAN buku Teknologi Inovasi Penyelidikan Kelapa MARDI.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah MARDI Dr Rozhan Abu Dardak dan Pengerusi Jawatankuasa NCC 2018 Zulkafli Ismail.

NCC 2018 anjuran MARDI dan Jabatan Pertanian (DOA) membabitkan 250 peserta dari pelbagai bidang meliputi dua pembentang utama, 19 tajuk kertas kerja lisan dan 26 tajuk poster yang dibentangkan dalam persidangan kali ini.

Selain itu, MARDI turut melancarkan buku Teknologi Inovasi Penyelidikan Kelapa di MARDI bagi tahun 2000 hingga 2017. Sebanyak 22 teknologi hasilan penyelidikan kelapa di MARDI dikumpulkan dengan memaparkan secara keseluruhan kejayaan penghasilan teknologi inovasi penyelidikan.

Kamariah berkata, pada 2015, kerajaan mengimport sebanyak 120,200mt kelapa. Industri kelapa di Malaysia mempunyai prospek yang cerah berdasarkan kepada permintaan yang meningkat untuk pembangunan produk hiliran seperti serbuk kelapa, arang teraktif, ‘cocopeat’ dan minyak kelapa dara (VCO).

DR Kamariah (tiga dari kiri) dan Dr Rozhan (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Pegawai Penyelidik Prinsipal MARDI Bagan Datuk, Ahmad Ngalim (kiri) mengenai pembangunan kelapa.
DR Kamariah (tiga dari kiri) dan Dr Rozhan (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Pegawai Penyelidik Prinsipal MARDI Bagan Datuk, Ahmad Ngalim (kiri) mengenai pembangunan kelapa.

“Kelapa adalah tanaman industri yang sangat penting dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pada 2016, Malaysia mengeksport lebih 63,000mt kelapa segar.

“Ia menjana sumber pendapatan negara dan menjadi medium baru pertumbuhan sektor pertanian. Malah, permintaan kelapa semakin meningkat untuk memenuhi keperluan pengguna dan keperluan industri di atas peningkatan kesedaran pelbagai khasiat kelapa terhadap kesihatan.

“Namun begitu, terdapat pelbagai cabaran dihadapi industri kelapa pada masa kini yang menyumbang kepada pengurangan hasil antaranya produktiviti rendah dan pengurangan keluasan bertanam,” katanya.

PRODUK hiliran minyak kelapa dara.
PRODUK hiliran minyak kelapa dara.

Menurutnya, pengeluaran kelapa negara merosot daripada 550,140mt (2010) ke 525,347mt (2017). Produktiviti kelapa juga merosot dari 7.1mt/ha kepada 6.3mt/ha.

“Keadaan ini disebabkan banyak faktor termasuk pengurangan keluasan kawasan tanaman, pokok yang semakin tua, perubahan cuaca dan kekurangan benih.

“Selain itu, kos pengeluaran yang semakin meningkat meliputi kos pembangunan, kos bahan input, tenaga kerja, kos pelbagai dan kos luar jangka.

“Kos input seperti baja yang semakin meningkat dan penggunaan input pertanian tidak berkesan turut meningkatkan lagi kos pengeluaran.

“Keadaan ini menyebabkan keuntungan dan pendapatan petani menjadi semakin merosot dan salah satu faktor peralihan petani kepada tanaman industri yang lain,” katanya.

PROSES mengasingkan benih jantan dan betina bagi tujuan kacukan.
PROSES mengasingkan benih jantan dan betina bagi tujuan kacukan.

Katanya, peruntukan kerajaan bagi menggalakkan pembangunan industri kelapa yang akan dilaksanakan secara sistematik, merangkumi program secara berstruktur bagi peningkatan pengeluaran kelapa dan program pengeluaran benih kelapa varieti terpilih berhasil tinggi.

“Saya percaya dengan gandingan usaha bersama untuk mempergiatkan semula industri, kita dapat memperkuat strategi untuk meningkatkan pengeluaran kelapa, pendapatan petani dan bekalan kelapa di negara kita.

“Kerjasama antara agensi penyelidikan seperti MARDI dengan jabatan kerajaan dan sektor swasta yang berkaitan perlu untuk mengukuhkan industri kelapa.

“Kita mesti mengembangkan industri ini terutama di peringkat hiliran dan memastikan industri terus menarik pemain dalam industri huluan sama ada di peringkat pekebun kecil atau perladangan,” katanya.

PROSES pendebungaan kelapa.
PROSES pendebungaan kelapa.

CABARAN INDUSTRI KELAPA

• Pengurangan produktiviti dan keluasan bertanam

• Kos pengeluaran kelapa semakin meningkat

• Amalan agronomi yang tidak standard

• Harga kelapa di ladang rendah

• Nilai import kelapa melebihi nilai eksport

• Serangan perosak dan penyakit

• Pokok kelapa tua sukar dituai dan hasil rendah

• Bekalan benih hibrid berhasil tinggi kurang dan harga tinggi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 12:51 PM