TOSRIN (kiri) mengadakan lawatan kerja ke ladang perternakan Desaru Hatchery Asia Aquaculture. FOTO Nurul Amanina Suhaini
TOSRIN (kiri) mengadakan lawatan kerja ke ladang perternakan Desaru Hatchery Asia Aquaculture. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


KERAJAAN negeri Johor mensasarkan projek Bio-Desaru: Lembah Makanan Organik Johor menjadi pelopor pembangunan pertanian dan pengeluar makanan utama negeri seiring dengan Gagasan Revolusi Hijau menerusi Belanjawan Negeri 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, pembabitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terutama dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan dijangka menepati sasaran, sekali gus memberi keuntungan semula kepada kerajaan.

Katanya, selaku anak syarikat kumpulan Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech), Bio Desaru Sdn Bhd bertanggungjawab dalam membangunkan projek ini dengan sasaran utama dalam sektor pembangunan hab makanan di daerah Kota Tinggi.

"Bio-Desaru: Lembah Makanan Organik Johor sudah dibangunkan mulai tahun 2010 yang menjadi komitmen kerajaan negeri dalam menangani isu keselamatan makanan menerusi penghasilan makanan yang selamat dan berkualiti, selain pelengkap kepada ekosistem rantaian makanan negara.

"Sehingga kini, pembangunan projek yang berkeluasan 3,642.17 hektar sudah menempatkan lebih 30 pelabur dengan anggaran nilai pelaburan mencecah RM1.8 bilion menjelang suku tahun pertama 2020.

"Projek ini dijangka dapat meningkatkan ekonomi negeri di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi penduduk setempat," katanya ketika ditemui pada lawatan kerja di ladang perternakan Desaru Hatchery Asia Aquaculture di Johor Bahru, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 7:59 PM