Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Malaysian Biotechnology Corporation Sdn Bhd (Biotech Corp) agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan melancarkan lapan projek pertanian membabitkan 100 petani tempatan dalam Program Komuniti Bioteknologi di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Program Komuniti Bioteknologi inisiatif dilaksanakan Biotech Corp bagi membantu golongan petani tempatan untuk terbabit dalam sektor bioteknologi yang mampu menjana pendapatan tinggi serta meningkatkan kemahiran pengeluaran sumber bagi perniagaan produk kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata, RM2 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program untuk petani yang akan diberi bimbingan menghasilkan sumber herba daripada aktiviti pertanian dilaksanakan mereka.

Beliau berkata, program itu membabitkan sekitar 50 syarikat Bionexus yang bertindak menjadi pembeli hasil tanaman dan akan menggunakan herba diperoleh untuk dikomersialkan di pasaran.

“Pelaksanaan projek ini sejajar dengan objektif dalam Rancangan Malaysia ke-11 untuk meningkatkan pendapatan masyarakat di luar bandar dan kami mengambil langkah membantu petani tempatan daripada segi menerima imbuhan pendapatan terus dari syarikat pembeli dan bukan melalui pihak ketiga.

“Dalam Program Komuniti Bioteknologi, petani akan mendapat bimbingan secara khusus menghasilkan tanaman berkualiti dari pelbagai pihak dan agensi kerajaan terbabit bagi memastikan sumber dihasilkan menepati standard diinginkan pembeli iaitu syarikat Bionexus,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini.

Program Komuniti Bioteknologi baru dilaksanakan awal tahun ini disertai petani dari beberapa negeri antaranya di Johor, Pulau Pinang, Melaka dan Perak. Sehingga hujung tahun ini, Biotech Corp menyasarkan 21 projek pertanian membabitkan 300 petani.

Mohd Nazlee berkata, pihaknya melihat program itu memberi kesan baik kepada pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar dan mencukupi sekiranya kerajaan dapat memperuntukkan RM100 juta bagi tempoh lima tahun untuk melaksanakan pelbagai aktiviti Program Komuniti Bioteknologi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 6:26 AM