JADIKAN al-Quran dan hadis sebagai panduan kehidupan berakhlak.
JADIKAN al-Quran dan hadis sebagai panduan kehidupan berakhlak.
Dr Muhammad Yusry Affandy Md Isa al-Hafiz

Menurut perspektif akidah, kelompok manusia terbahagi kepada dua iaitu Muslim dan kafir. Dalam masyarakat tempatan, kelompok kafir juga dikenali dengan istilah bukan Islam. Asasnya, istilah kafir atau bukan Islam ini ditujukan kepada individu dan kelompok manusia sama. Mereka meminggirkan akidah yang benar kerana tidak mahu beriman kepada Allah SWT dan enggan mengiktiraf kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Dalam konteks harian, kita memanggil golongan Muslim menerusi nama-nama tertentu yang menunjukkan nama itu daripada nama orang Islam atau terus menggunakan ungkapan umum iaitu golongan Muslim. Begitu juga, terhadap golongan kafir digunakan nama-nama mereka atau terus diungkapkan dengan panggilan golongan bukan Islam atau bukan Muslim.

Tidak lazim 'uruf (kelaziman di tanah air) seseorang itu akan dipanggil "hai Islam" atau "hai kafir" ketika interaksi pergaulan seharian. Dalam konteks untuk menegaskan status kepercayaan yang tidak selari dengan ajaran Islam maka ungkapan kafir akan digunakan dalam pertuturan atau penulisan.

Misalnya "Kami Muslim manakala engkau kafir. Engkau tidak boleh memandai-mandai menyatakan hal ini ada dalam al-Quran. Apatah lagi menggesa kami mengikuti pedoman engkau." Ketika itu ungkapan kafir perlu dinyatakan dalam pertuturan demi mempertahankan kepercayaan umat Islam.

Di samping ungkapan kafir, ungkapan bukan Muslim alternatif yang boleh dimanfaatkan umat Islam dalam persekitaran orang kafir. Hal ini ada disarankan ulama kontemporari Dr Yusuf al-Qaradhawi menerusi karyanya Khitabuna al-Islam fi 'Asr al-'Ulamah. Pendekatan disarankan beliau amat penting sebagai jalan dakwah komuniti Islam yang bercampur dengan komuniti bukan Muslim, khasnya di negara Arab.

Kalangan bukan Muslim di negara Arab kurang selesa dengan istilah kafir kerana mereka mengetahui hakikat makna kafir. Panggilan kafir berleluasa seakan-akan mengungkitkan perihal perbezaan kepercayaan mana-mana individu yang tidak memeluk Islam di negara umat Islam. Justeru, bukanlah bermakna umat Islam perlu melupuskan ungkapan kafir kepada kelompok bukan Muslim yang tegar tidak mahu beriman lagi mengganggu gugat jati diri umat Islam.

Dalam menggunakan kalimah kafir, umat Islam memerlukan beberapa disiplin. Sebagai contoh, kalimah kafir boleh digunakan dalam ayat atau ucapan yang masih berhubung dengan sabitan prinsip Islam dan ketika ingin memerihalkan perihal akidah.

Perkara ini boleh diaspirasikan berdasarkan dalil ayat 1 hingga 6 Surah al-Kafirun yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Nabi Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat."

Penggunaan kalimah kafir juga perlu melihat kepada latar warga dan keahlian dalam sesuatu majlis. Dalam majlis umum, ucapan sapaan yang lunak ialah seperti: "Selamat datang kepada kaum Muslimin dan rakan-rakan bukan Islam yang sudi menjayakan majlis kebajikan anak yatim yang julung kali diadakan ini." Ucapan ini menunjukkan kebijaksanaan dan penggunaan kalimah yang tepat. Manakala contoh ucapan kurang selari dengan 'uruf ' tempatan ialah seperti: "Tuan dan puan warga kafir sekalian…" Ucapan ini bukan contoh ucapan yang lazim dalam majlis sosial. Ini boleh menimbulkan polemik negatif dalam kalangan yang sudi hadir dalam menjayakan majlis anjuran orang Islam.

Seandainya seseorang itu tersasul atau masih mahu menyebut kalimah kafir, ia tetap benar dalam perihal terminologi. Namun, ia dikira kurang tepat dalam interaksi sosial dan medan awam. Contoh, penggunaan kalimah kafir yang berkonteks khas lagi amat perlu disebutkan ialah seperti: "Kami orang Islam diwajibkan solat. Tuan dan puan tidak perlu gusar kerana kalian kafir. Kalian bukan beriman seperti kami yang perlu wajib melaksanakan ibadat ini."

Meskipun kalimah kafir boleh digunakan dengan tujuan membezakan keimanan dan kekufuran namun seseorang itu wajar menggunakan kalimah kafir dengan lebih berhati-hati dan beradab. Umat Islam tidak boleh sewenang-wenang menyebut, melaung atau mengisytiharkan kafir untuk tujuan provokasi atau mahukan kelompok bukan Muslim diperangi dengan cara yang bertentangan syariat. Tambahan lagi perbincangan jenis kafir amat luas dalam persada fiqh.

Terdapat kafir yang hidup aman dengan orang Islam, kafir tinggal di wilayah umat Islam, kafir mengadakan perjanjian dan kafir yang mengangkat senjata membunuh komuniti umat Islam. Menyatakan kafir dengan nada dan tujuan negatif sesuatu yang ditegah Islam.

Dalam pada ungkapan bukan Muslim lunak di mata komuniti awam, umat Islam dikira menjauhkan prinsip agama apabila mahu menafikan kalimah kafir yang ditetapkan Allah SWT. Kafir dan kekafiran wujud dalam kalangan individu, kelompok dan tabiat manusia zaman-berzaman. Kalimah kafir sedia diketengahkan dalam al-Quran dan hadis yang mulia.

Tidak timbul isu dalam konteks Malaysia, ungkapan kafir tidak sesuai lalu perlu dihapuskan. Sesungguhnya demi menjayakan dakwah, tidak sepatutnya umat Islam membelakangkan istilah penting dalam komparatif status iman. Kalangan bukan Islam khasnya warganegara yang baik tidak perlu timbul terasa hati kerana istilah kafir merujuk status kepercayaan mereka dan digunakan umat Islam dalam situasi tertentu. Hakikat yang perlu diterima di mata dunia, golongan bukan Muslim tiada pengakuan keimanan dan dikira melakukan perbuatan kufur dalam kehidupan seharian. Bahkan ada yang menzahirkan kekafiran jelas melanggar sempadan keharmonian kerana mengusik dan menceroboh hak keimanan golongan Muslim seperti Yahudi Zionis, rejim Myanmar dan sebagainya.

Kesimpulannya, istilah kafir atau bukan Muslim digunakan pakai asalkan mengikut konteks. Penggunaan istilah bukan Muslim mesti sekadar panggilan awam dan tiada tujuan untuk menafikan kekufuran apatah lagi dengan motif mahu mencari reda golongan yang tidak merestui Islam sebagai agama yang benar.

Nabi Muhammad SAW menunjukkan contoh bagaimana berdepan individu dan kelompok yang tidak beriman. Ada kala baginda menegaskan keimanan dan ada kala baginda meraikan keberadaan mereka. Kedua-dua istilah sama ada kafir atau bukan Muslim penting untuk disesuaikan. Dalam pada itu, menjadi suatu kelemahan ummah jika mahu menidakkan peranan istilah ini yang apabila disesuaikan akan mendatangkan manfaat akidah ummah.


Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 6:02 AM