MAJLIS berbuka puasa yang dianjurkan anggota kem pelarian Barbara di sepanjang jalan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza. FOTO AFP
MAJLIS berbuka puasa yang dianjurkan anggota kem pelarian Barbara di sepanjang jalan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza. FOTO AFP
Dr Mohd Shahid Mohd Noh

Ketika dunia Islam sedang menyambut kehadiran Ramadan, bulan suci yang dipenuhi pelbagai kemuliaan. Persiapan giat dilakukan oleh semua masyarakat Islam, sama ada di timur atau di barat. Namun, situasi yang cukup berbeza dan getir sedang dialami saudara Islam kita di Gaza dan Rafah, Palestin.

Implikasi genosid yang dilakukan penjajah Israel masih menghimpit penduduk Palestin sama ada di Tebing Barat, Gaza dan terkini di Rafah.

Peperangan kali ini bukan sahaja menjadikan bumi Gaza seperti padang jarak padang terkukur, namun juga menjadikan mereka mangsa kebuluran terancang yang ditaja oleh sekutu Israel seperti Amerika Syarikat dan negara sekutunya yang lain.

Perkara ini jelas bertentangan dengan prinsip kemanusiaan yang disepakati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Slogan SDGs atau Matlamat Pembangunan Mampan juga sudah terkubur dalam konflik yang masih berpanjangan ini.

Istilah puasa yang merujuk kepada menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa sinonim dengan menahan daripada mengambil sebarang makanan atau minuman sama ada ia mengenyangkan atau tidak. Keadaan ini sudah pasti memberikan satu pengalaman merasai kelaparan secara sukarela kepada setiap individu yang berpuasa. Menahan kelaparan bagi seorang manusia itu adalah antara gambaran kehambaan yang cukup tinggi sehingga sanggup meningalkan keperluannya dan mengutamakan arahan Allah SWT.

Menurut Syeikh al-Syakrawi dalam kitab tafsirnya, puasa adalah medan terbaik untuk melatih diri supaya boleh beristiqamah dalam beragama dan beribadah bukan sahaja ketika Ramadan, malah ia akan berterusan selepas Ramadan. Masa sebulan yang diambil bagi ibadah puasa ini adalah untuk melatih dan membentuk seseorang itu untuk menjadi lebih kuat pada keimanan dan ketakwaan.

Oleh yang demikian, rasul semuanya diuji dengan ujian kepayahan bagi menghasilkan kekuatan iman dalam menanggung beban dan amanah dakwah.

Selain itu, ibadah ini mampu menghadirkan dalam diri kita perasaan serta pengalaman yang dilalui seharian oleh seseorang yang miskin yang sentiasa berlapar dan tidak cukup makan. Pada waktu sama, mereka juga diwajibkan untuk mengeluarkan zakat fitrah di pagi Aidilfitri yang akan diagihkan kepada golongan fakir dan miskin.

Jelas kepada kita bahawa Ramadan bukan semata-mata bulan untuk beribadah, tetapi juga satu bulan untuk umat Islam merenung dan bermuhasabah mengenai lemah dan kerdilnya manusia di hadapan arahan Allah SWT serta semangat ukhuwah sesama Muslim dalam bantu-membantu.

Hakikatnya, konflik di Palestin sudah masuk bulan kelima sejak ia bermula pada 7 Oktober tahun lalu. Kematian yang berlaku dalam kalangan orang awam Palestin sudah melebihi 30,000 nyawa yang tidak berdosa terutama wanita, orang tua dan kanak-kanak. Gelombang dan gerakan rakyat di seluruh dunia termasuk Malaysia jelas menunjukkan solidariti mereka bersama Palestin cuma langkah sumbang pemimpin dunia terutama negara yang bersekutu dengan penjajah rejim Israel yang menggagalkan banyak langkah keselamatan yang diambil oleh PBB.

Keputusan Mahkamah Antarabangsa yang mengarahkan Israel untuk mengambil langkah yang berada di bawah kuasanya dalam mengelak pembunuhan orang awam juga dilihat satu berita positif dalam mengekang kezaliman Israel. Namun, arahan dan hukuman seperti ini tidak bermakna selagi kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan England masih menunjukkan 'kesetiaan' mereka bersama negara belaan mereka, Israel.

Situasi ini patut dijadikan iktibar kepada setiap penduduk dunia bagaimana tingginya sikap hipokrit dan prejudis kedua-dua negara itu dalam melayani musibah yang menimpa umat Islam. Adakah selepas ini masih ada umat Islam yang menyokong tindakan mereka?

Bulan Ramadan mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa penting dalam Islam yang membuktikan semangat pengorbanan dalam mengukuhkan agama Allah di bumi ini.

Peperangan Badr al-Kubra yang berlaku dalam bulan Ramadan tahun kedua Hijrah menyaksikan umat Islam berjaya mengalahkan ketumbukan tentera Musyrikin Makkah sekali pun dibelenggu dengan kekurangan persediaan dan kelengkapan perang.

Peperangan Qadisiyah pada tahun kelima belas Hijrah pula membuktikan bahawa Muslimin daripada bangsa Arab yang berbekalkan kecekalan iman dan semangat jihad mampu menewaskan bangsa Parsi yang berkurun menjadi pemerintah dunia di waktu itu. Pembukaan benua Andalusia oleh Tariq bin Ziyad juga berlaku dalam bulan Ramadan tahun kesembilan puluh dua Hijrah yang menjadi titik permulaan Islam di benua Eropah sehingga tujuh kurun selepasnya.

Selain itu, Perang 'Ain Jalut pada 685 Hijrah sentiasa segar berada dalam ingatan umat Islam sebagai satu kenangan manis bagaimana umat Islam di bawah pimpinan Saifuddin Qutz berjaya menafikan mitos bahawa golongan Tatar adalah tentera yang mustahil dikalahkan.

Kejayaan Saifuddin Qutz menewaskan Tatar membuka lembaran sejarah baharu bagi kaum itu untuk memeluk Islam dan membina empayar Tatar Muslim di India.

Semua peristiwa penting ini berlaku pada Ramadan ketika mereka berpuasa. Puasa langsung tidak menjadi alasan untuk mereka mundur apatah lagi menyerah kalah apabila berhadapan kemaraan dan gerombolan musuh yang membawa panji kefasidan di alam ini.

Gambaran ini juga berlaku pada hari ini, cuma yang membezakannya ialah negara Islam 'terikat tangan dan kaki' mereka untuk bertindak lebih maju ke hadapan akibat undang-undang dalam bertindak agresif sekalipun saudara mereka dibunuh secara terancang di bumi mulia, bumi Syam yang diberkati.

Jika diperhati secara teliti umat Islam di seluruh dunia tidak dikategorikan sebagai kelompok yang sangat lemah sama ada dari sudut ekonomi, populasi penduduk dan lainnya.

Lihat sahaja keberanian pejuang Hamas dalam memperkotak-katikkan tentera penjajah Israel yang sehingga hari ini terperosok dalam kancah peperangan tanpa penghujung serta krisis politik di negara mereka. Satu pertumbuhan yang dikekang dari segenap sudut mampu menggoncangkan negara manja 'belaan' kuasa besar barat.

Bersempena Ramadan yang baharu kita sambut ini, mari kita bermuhasabah sama ada sebagai Muslim atau tidak, adakah kita ingin melihat krisis kemanusiaan ini terus berlaku di Palestin? Adakah kita berasa bahagia makan dan berbuka puasa bersama keluarga dan rakan sedangkan mereka sedang berjuang untuk mendapatkan sesuap makanan? Adakah tenang hidup kita dengan mendengar penderitaan mereka yang berada di bumi penuh keberkatan itu?

Justeru, mari bersama-sama berpuasa dengan menghidupkan kembali semangat kekuatan umat Islam dahulu serta memperkukuhkan doa supaya kemenangan dan bantuan Allah SWT diturunkan kepada saudara kita di bumi Palestin.

Penulis Ketua, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 7:01 AM