Pemasangan memaparkan mayat kanak-kanak yang diselubungi olok-olok di dataran Palestin di ibu negara Iran, Tehran pada 13 November 2023, sebagai sokongan kepada rakyat Palestin. Foto AFP
Pemasangan memaparkan mayat kanak-kanak yang diselubungi olok-olok di dataran Palestin di ibu negara Iran, Tehran pada 13 November 2023, sebagai sokongan kepada rakyat Palestin. Foto AFP
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Umat Islam wajib menyokong dan membantu rakyat Palestin dalam perjuangan membebaskan negara mereka daripada cengkaman penjajah zionis Israel.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, penjajah Israel dan pendatang dari negara Eropah mendiami bumi Palestin dengan mengusir penduduk asal, manakala yang masih tinggal menjadi mangsa diskriminasi dan dilayan sebagai warga kelas kedua atau lebih teruk.

"Justeru, atas nama kemanusiaan, setiap individu Muslim malah orang bukan Islam juga mestilah membantu perjuangan rakyat Gaza dan Palestin dengan apa jua bantuan mengikut kemampuan masing-masing selain menyalurkan bantuan kewangan menerusi akaun tertentu yang bertanggungjawab.

"Bantuan juga boleh dibuat dengan cara memboikot produk syarikat yang terbukti memberi sumbangan kepada negara haram itu, namun tindakan berkenaan hendaklah dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menganiayai syarikat yang tidak menyumbang kepada mereka," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, persidangan tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) baru-baru ini, menggesa operasi ketenteraan Israel di semenanjung Gaza dihentikan.

Katanya, persidangan itu juga menuntut jenayah perang dan kemanusiaan yang dilakukan Israel diadili di Mahkamah Jenayah Antarabangsa malah Malaysia juga bersetuju dengan tuntutan terbabit.

"Namun kita juga ingin mengingatkan kerajaan Malaysia, pemimpin umat Islam dan pihak lain bahawa Israel tidak pernah mengenal bahasa rundingan atau diplomasi.

"Negara itu juga tidak pernah menghiraukan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), maka kekerasan terpaksa digunakan dengan hanya mengguna bahasa senjata sahaja yang boleh memaksa Israel berundur dari kawasan yang ditaklukinya dalam peperangan," katanya lagi.

Menurut Wan Salim, penduduk Palestin dengan bantuan negara Islam, juga negara bukan Islam yang bersimpati mesti membekalkan kelengkapan tentera bagi kumpulan Hamas di Gaza serta rakyat Palestin seluruhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 10:56 AM