GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Suriany Awaludin

Bagaimana sekiranya seorang anak lelaki pernah meminjam RM30,000 daripada ayahnya kerana ingin membaiki kerosakan rumah namun hutang itu tidak sempat dilangsaikan sehingga ayahnya meninggal dunia?

Hutang masih berbaki lebih kurang RM9,000. Apakah status hutang dengan ayah yang sudah meninggal dunia tetap perlu dijelaskan walaupun tiada perjanjian hitam putih?

Adakah nilai hutang itu dikira harta pusaka yang wajib dijelaskan dan perlu dibahagikan kepada adik- beradik lain mengikut hukum faraid?

Seandainya anak yang berhutang itu masih tidak berkemampuan, bagaimana cara boleh menyelesaikan masalah itu?

Khairie

Ipoh, Perak

Situasi anak berhutang dengan ibu bapa adalah sama seperti hutang sesama manusia yang lain dari segi hukum dan tanggungjawabnya.

Terdapat dua keadaan seseorang yang ingin berhutang.

Pertama, seseorang yang terpaksa berhutang demi memenuhi keperluan kehidupan seperti mendapatkan makanan, tempat tinggal, pakaian, pelajaran dan seumpamanya.

Kedua, seseorang yang sengaja berhutang demi memenuhi tuntutan nafsu semata-mata seperti hiburan dan perhiasan, tambahan pula peluang pinjaman mudah diperoleh.

Bagaimanapun, apa juga tujuan sesuatu hutang itu dibuat, hutang sesama manusia wajib dilunaskan si penghutang sendiri.

Sekiranya si penghutang meninggal dunia, maka segala hutangnya tetap wajib dijelaskan warisnya iaitu dengan menggunakan harta peninggalan si mati.

Dalam Islam, selain hutang sesama manusia, hutang juga terdiri daripada hutang dengan Allah SWT seperti puasa dan zakat.

Menurut jumhur fuqaha, hutang dengan Allah SWT wajib dilangsaikan dan ia termasuk dalam perkara yang perlu dilunaskan dengan menggunakan harta peninggalan si mati tanpa mengira si mati ada meninggalkan wasiat supaya dilunaskannya atau tidak.

Hak Allah SWT hendaklah dilunaskan terlebih dahulu daripada al-wasiah dan al-mawarith. Begitulah juga kedudukannya hutang dengan manusia.

Dalam pembahagian harta pusaka di dalam Islam, hutang si penghutang terhadap si mati termasuk dalam definisi harta pusaka.

Ulama mendefinisikan harta pusaka sebagai semua yang ditinggalkan si mati daripada jenis harta, hak dan manfaat.

Hutang adalah harta si mati yang dipinjam dan wajib dikembalikan semula kepada ahli waris sebagai harta pusaka kerana pemilikan si mati sudah beralih kepada waris.

Dalam isu ini, wajib kepada penghutang membayar hutang itu kepada ahli waris si mati kerana hutang itu sudah menjadi sebahagian daripada harta pusaka.

Harta si mati beralih pemilikan dengan sendirinya dan menjadi milik waris sesudah ketiadaannya.

Oleh itu, hutang berkenaan tertakluk kepada pembahagian faraid yang ditetapkan syarak.

Dalam masalah diajukan oleh pembaca, peminjam adalah ahli waris iaitu anak si mati.

Jika peminjam itu adalah waris tunggal yang bakal mewarisi semua harta peninggalan ayahnya, hutang itu dianggap selesai kerana beliau mewarisi sepenuhnya hutang berkenaan.

Jika peminjam ada waris lain, maka hutang dianggap selesai dengan bahagian yang diterima daripada pusaka ayahnya.

Bagaimanapun, dia masih mempunyai baki hutang jika kadar yang diterima tidak menyamai baki hutang sebenar.

Walaupun keadaan si peminjam masih kurang mampu, niat untuk membayar hutang dengan ikhlas itu adalah salah satu daripada sikap yang amat mulia dan bertanggungjawab.

Nabi SAW bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: “Tidaklah seseorang yang berhutang dan Allah mengetahui bahawa dia ingin melunaskannya kecuali Allah akan memudahkan untuk menyelesaikannya di dunia.” (Riwayat al-Nasa’ie (6239), Ibn Majah (2408) dan Ahmad (26299)

Daripada Abdillah bin Ja’far R.Anhuma, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya: “Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang berhutang sehinggalah dia melunaskan hutangnya.” (Riwayat Ibn Majah)

Ibn Batthal berkata: “Iaitu orang yang berhutang yang berniat untuk melunaskan hutangnya, makanya jika kuat kehendaknya untuk melunaskannya, insya-Allah, Allah akan menolongnya dalam menyelesaikan hutang yang dihadapinya.”

Kita diseru untuk bertanggungjawab terhadap hutang yang dilakukan. Beban dan tanggungan hutang itu tidak akan selesai sehinggalah meninggal dunia.

Malah, Nabi SAW mengingatkan umatnya berhati-hati dengan hutang kerana ia menyebabkan tergantungnya jiwa dan roh penghutang sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya sehinggalah dia menjelaskan hutangnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Penulis peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 8:02 AM