PERLEMBAGAAN Malaysia menetapkan sultan atau raja adalah ketua agama Islam bagi negeri masing-masing manakala Yang di-Pertuan Agong ketua agama Islam bagi negeri tidak beraja. FOTO BERNAMA
PERLEMBAGAAN Malaysia menetapkan sultan atau raja adalah ketua agama Islam bagi negeri masing-masing manakala Yang di-Pertuan Agong ketua agama Islam bagi negeri tidak beraja. FOTO BERNAMA
Prof Madya Dr Mohd Hizam Hanafiah

Terdapat beberapa perkembangan menarik berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia kebelakangan ini. Berita 7 April 2022 memaparkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengenai konsep kesederhanaan yang didukung oleh Universiti Al-Azhar apabila terbukti berkesan dalam mendepani cabaran pemikiran dan keganasan yang mampu merosakkan negara serta merugikan umat Islam.

Konsep ini sesuai dengan kemajmukan masyarakat di Malaysia dan selari konsep Keluarga Malaysia yang dicadangkan Perdana Menteri. Ulama dan lulusan Universiti Al-Azhar juga menjadi tumpunan serta rujukan dalam ilmu agama malah diiktiraf sebagai bersifat alami dan muktabar. Apatah lagi, manhaj Universiti Al-Azhar penting dalam mempertahankan dan memperkasakan Islam di Malaysia yang berpaksi kepada fahaman Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ).

Realitinya, Islam yang datang ke Malaysia sama ada melalui sejarah Kedah, Terengganu atau Melaka pada zaman silam berasaskan akidah, syariat dan tasawuf yang berpaksikan kepada ASWJ. Sebagai contoh, Sheikh Abdullah al-Qumairi yang mengislamkan Raja Kedah ketika itu, Maharaja Derbar Raja dan rakyat Kedah adalah seorang ulama berpegang kepada akidah serta syariat berlandaskan ASWJ juga seorang ulama tasawuf. Pengislaman negeri lain di Malaysia, kemasukan Islam ke Brunei, pembukaan Kesultanan Demak, pengislaman Pulau Jawa dan pulau lain di Asia Tenggara dilakukan oleh ulama serta pedagang yang berpegang fahaman ASWJ. Malahan, perjuangan membebaskan Malaysia dan Indonesia daripada cengkaman British dan Belanda digerakkan ulama serta tok guru yang berpegang kepada ASWJ.

Realitinya, Revolusi Islam Iran tidak memperkasa umat Islam di seluruh dunia, tetapi lebih banyak menimbulkan perpecahan. Rentetan daripada revolusi ini adalah ideologi Syiah disebar ke pelbagai negara melalui kegiatan pendidikan, ekonomi dan sosial. Impaknya adalah wujudnya masyarakat Islam yang semakin berpecah, Syiah menjadi semakin dominan di beberapa negara Afrika dan Asia yang tiada penganut Syiah sebelum 1979 serta akhirnya mewujudkan kelompok radikal yang mula menggunakan tindakan keganasan dalam mencapai matlamat mereka. Begitu jua dengan fahaman Salafi Wahhabi yang dieksport dengan agresif ke seluruh dunia semenjak 1980-an melalui pelbagai yayasan, pertubuhan kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan dana berbilion-bilion setahun. Impaknya adalah ia memecahbelahkan masyarakat Islam sedia ada, mewujudkan golongan yang sering membidaahkan dan mengkafirkan umat Islam yang lain, melahirkan generasi radikal yang tegar dalam beragama dan sebahagiannya menyokong perjuangan kumpulan pengganas Daish, seperti yang berlaku di Asia Barat, Asia Timur serta Eropah.

Hakikatnya, kemasukan fahaman luar seperti Syiah dan Salafi Wahhabi semenjak 1980-an ke Malaysia lebih banyak memecahbelahkan umat Islam yang sudah sedia berpecah daripada segi politik. Natijahnya, lemahnya umat Islam kerana perpecahan politik diburukkan lagi dengan berpecah daripada segi agama. Namun, terdapat sinar dalam isu ini, apabila Kerajaan Arab Saudi kini menyedari kesilapan lalu dengan mula meraikan Islam berdasarkan ASWJ, semakin meminggirkan fahaman Salafi Wahhabi yang menjadi doktrin penting di negara itu sejak 1932, selain memahami fahaman ini menjadi doktrin kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan Daesh di Asia Barat, Jamaah Islamiyyah di Indonesia dan Darul Islam Sabah di Malaysia.

Sebelum 7 April 2022, terdapat berita 2 April 2022 yang memetik kenyataan Unit Komunikasi Korporat (UKK) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkaitan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI). Apa yang menarik perhatian umat Islam Malaysia adalah kemudian pada 9 April, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mengeluarkan kenyataaan bahawa:

i. Jakim tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan-keputusan MKI dan Raja-Raja.

ii. YB Menteri dan YB Timbalan Menteri tidak boleh mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan MKI, kerana YB Menteri dan YB Timbalan Menteri bukan ahli MKI dan ahli Jawatankuasa Muzakarah dan tidak boleh mencampuri apa-apa keputusan Jawatankuasa Muzakarah dan MKI.

Pertamanya, implikasi kepada kenyataan Sultan Selangor ini adalah ia berbeza dengan kenyataan UKK Jakim pada 2 April 2022. Keduanya, seperti wujud ahli politik yang menggunakan pengaruh mereka yang menyebabkan UKK Jakim mengeluarkan kenyataan yang berbeza dengan MKI dan mencampuri urusan Jawatankuasa Muzakarah dan MKI sehingga 'seperti menimbulkan kemurkaan DYMM Sultan Selangor' dan menyebabkan baginda perlu mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Umumnya, terdapat ahli politik (pemerintah atau pembangkang) yang 'mengajar rakyat' menentang sultan/raja dan mempromosi fahaman Syiah/Salafi Wahhabi di peringkat negeri atau persekutuan. Kedapatan agamawan yang mengajar rakyat 'menjadi biadab' dengan sultan/raja dengan mempertikai keputusan MKI, dan fatwa negeri. Sudah sampai masanya umat Islam memilih pemimpin kerana akidahnya yang benar, bukan kerana partinya dan jawatan pengerusi atau ketua pegawai eksekutif mana-mana agensi agama di bawah Kerajaan Persekutuan dilantik dalam kalangan bukan ahli politik, tetapi mereka yang pakar.

Sudah sampai masanya jawatan berkaitan agama Islam seperti mufti, kadi dan hakim dilantik dalam kalangan ASWJ. Juga sudah tiba masanya, ahli politik dan rakyat yang menentang dan menghina sultan, biadab, mencela keputusan MKI serta fatwa diperadabkan, dipulihkan atau dihukum menurut undang-undang semasa.

Ketegasan Sultan Selangor dalam urusan MKI disanjung rakyat. Rakyat mengimpikan sultan seperti Almarhum Sultan Alauddin Suleiman Shah yang menulis kitab agama, Pohon Agama yang membicarakan akidah yang benar menurut ASWJ dan Almarhum Sultan Iskandar Shah yang menghasilkan kitab Risalah Iskandar Shah yang mengandungi nasihat, perbahasan ilmu tauhid, fiqah dan tasawuf. Cukuplah puluhan tahun orang politik daripada pelbagai parti mengeksploitasi agama untuk kepentingan mereka. Sultan dan raja sebagai ketua agama Islam perlu memainkan peranan mereka dalam memelihara kesucian serta perkembangan Islam. Bersama-samalah sultan, pemerintah dan rakyat jelata menjaga serta memperkasa Islam di Malaysia berasaskan ASWJ. Dengan izin dan rahmat Allah, moga-moga Islam berasaskan ASWJ ini akan menjaga kesatuan dan kelangsungan umat Islam di Malaysia, memelihara perpaduan dan keharmonian antara kaum/agama serta menjamin kemapanan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sederhana sebagaimana terbukti selama ini.

Penulis Felo Kanan Bersekutu, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 8:28 AM