SUDAH tibanya masa untuk kita kembali bermuhasabah tentang apakah sudah cukup bekal sebelum berlaku kiamat. FOTO Arkib NSTP
SUDAH tibanya masa untuk kita kembali bermuhasabah tentang apakah sudah cukup bekal sebelum berlaku kiamat. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan

Selangkah demi selangkah, tanpa kita sedar atau tidak, semakin hampir kita dengan pengakhiran kita iaitu ajal dan semakin hampir juga dengan pengakhiran dunia iaitu kiamat.

Umpama untaian kata yang sering berlegar dalam masyarakat Melayu, 'setiap yang bermula pasti ada akhirnya', setiap yang bernyawa pasti akan mati dan begitu juga dengan dunia ini.

Dunia ini akan tiba masanya menemui titik noktahnya apabila diizinkan oleh Allah SWT dan apabila sampai janji Yang Maha Esa tentang hari kebangkitan.

Jika ditelusuri kembali tanda-tanda kecil kiamat, ulama sependapat bahawa hampir kesemuanya sudah berlaku dan hanya berbaki beberapa tanda kecil saja sebelum menanti tanda besar kiamat.

Sebenarnya, terdapat lima fasa sebelum episod kiamat itu menjelma dan kini, kita hidup pada fasa keempat sebelum tibanya fasa akhir.

Ia sejajar dengan hadis Junjungan Mulia, Rasulullah SAW: "Akan datang kepada kalian masa kenabian dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Kemudian, Allah akan menghapusnya, jika Ia berkehendak menghapusnya. Setelah itu, akan datang masa kekhilafahan 'ala Minhaaj al-Nubuwwah dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Lalu, Allah menghapusnya jika Yang Maha Esa berkehendak menghapusnya.

"Setelah itu, akan datang kepada kalian, masa raja menggigit dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Lalu, Allah menghapusnya, jika Ia berkehendak menghapusnya. Setelah itu, akan datang masa raja diktator (pemaksa) dan atas kehendak Allah masa itu akan datang; lalu Allah akan menghapusnya jika berkehendak menghapusnya. Kemudian, datanglah masa Khilafah 'ala Minhaaj al-Nubuwwah (Khilafah yang berjalan di atas kenabian). Setelah itu, Baginda diam." (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Untuk memberi kefahaman yang lebih mudah, fasa pertama adalah ketika Rasulullah SAW diutuskan iaitu fasa pemerintahan kenabian dan fasa itu sudah berlalu lebih 1,400 tahun sejak kewafatan Baginda SAW.

Sedar atau tidak, Baginda SAW sudah meninggalkan kita lebih 1,400 tahun yang lalu dan ia satu tempoh masa yang cukup panjang.

Selepas itu, fasa kedua adalah ketika era pemerintahan Khulafa' Ar-Rasyidin iaitu terdiri daripada empat khalifah bermula daripada Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA, Saidina Umar Al-Khattab RA, Saidina Uthman Affan RA dan Saidina Ali Abi Talib RA.

Tempoh pemerintahan Khulafa' Ar-Rasyidin adalah sekitar 30 tahun dan berakhirnya pemerintahan berkenaan dengan memasuki fasa ketiga.

Pada fasa ketiga adalah pemerintahan 'Mulkan Adhon' iaitu pemerintahan yang menggunakan sistem monarki ataupun pewarisan takhta menerusi adik beradik, anak beranak dan sanak saudaranya.

Kaedah pemerintahan ini sudah kita saksikan selepas daripada era Khulafa' Ar-Rasyidin dengan beberapa pemerintahan Islam secara monarki.

Tempoh pemerintahan ini berlaku dengan kemunculan Khalifah Umaiyyah (661-750M), selepas itu diganti oleh Khalifah Abbasiyah (750-1517M) dan akhirnya diganti oleh Khalifah Uthmaniyah (1299-1922).

Ketiga-tiga sistem pemerintahan berkenaan menggunapakai sistem pewarisan ketua kerajaan dan ia sejajar dengan hadis Nabi SAW yang menerangkan dengan kerajaan 'Mulkan Adhon'.

Membenarkan hadis Nabi SAW berkenaan, pemerintah pertama Kerajaan Umaiyyah adalah Saidina Muawiyah Abi Suffian RA dan sebelum kewafatan Muawiyah, beliau mewariskan kepada anaknya iaitu Yazid Muawiyah.

Memasuki fasa keempat, umat Islam akan diperintah sistem kerajaan yang zalim dan fasa ini dikenali sebagai 'Jabriya' dalam tempoh yang tidak diketahui.

Selepas itu, fasa kelima atau fasa akhir akan kembali kepada pemerintahan sistem kenabian atau 'Minhajin Nubuwwah' dengan kemunculan Imam Mahdi dan selepas itu akan berlakunya peristiwa kiamat.

1. Zaman Nubuwwah -  zaman kenabian. Dimulai dari zaman Nabi Adam Alaihis Salam sehinggalah kepada baginda Nabi Muhammad. 

2. Zaman Khilafah yang memimpin mengikut cara Nabi Muhammad. Pada zaman ini kepemimpinan dipegang oleh sahabat-sahabat Nabi SAW iaitu, Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali. Mereka memimpin selama hampir 30 tahun. 

3. Zaman Mulkan Adhon - Bermulanya kerajaan Bani Umaiyah kemudian Bani Abbasiyyah dan berakhir dengan kerajaan Bani Uthmaniyyah di Turki yang runtuh pada tanggal 3 Mac 1924. 

4. Zaman Jabriya  - Bermaksud zaman kepimpinan yang zalim. Apabila runtuhnya kerajaan Islam Bani Uthmaniyyah maka lahirlah kepemimpinan dunia secara paksaan seperti penjajahan ke atas negara-negara di dunia oleh Portugis, Belanda, Inggeris, Amerika Syarikat, Jerman, Sepanyol, Perancis dan Jepun secara paksaan ketenteraan.

 Melihat kepada garis masa berkenaan, maka sudah jelaslah bahawa kita kini hidup dalam zaman yang penghujung di antara yang penghujung sementara menanti fasa kelima akan bermula dengan keizinan Allah SWT.

Inilah masanya untuk kita kembali bermuhasabah tentang apakah sudah cukup bekal yang ingin dibawa sekiranya fasa kelima itu berlaku yang akan memperlihatkan pelbagai tragedi fitnah termasuk keluarnya Dajal al-Masih.

Nabi SAW memberikan petunjuk jelas berhubung perjalanan manusia di muka bumi ini dan pastinya akan sampai suatu masa kita akan melihat setiap perkara yang sudah diingatkan oleh Baginda SAW.

Jika ditelusuri semula, setiap yang sudah berlaku dan akan berlaku sebenarnya sudah disabdakan oleh Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun yang lalu sebagai panduan kepada umatnya dan peringatan.

Penulis ingin mengingatkan kepada diri dan pembaca untuk bertaubat dan kembali kepada keredaan Allah SWT dalam menghadapi gelombang akhir zaman yang semakin dahsyat.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 7:00 AM