GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nor Asree Mohd Noh

SEDAR atau tidak, antara kesilapan sering dilakukan bagi pelaku ibadat pada malam hari ialah meninggalkan perkara yang diutamakan dalam syariat.

Ada yang berusaha bangun pada malam hari untuk beribadat seperti bersolat, berzikir, membaca al-Quran. Semua itu adalah amalan yang sangat terpuji dan dituntut agama.

 Bagaimanapun, jika tiada perancangan, kemungkinan ada yang tertinggal solat Subuh secara berjemaah dan lebih menyedihkan lagi meninggalkan terus solat fardu Subuh.

Itu antara kesilapan yang amat memalukan di sisi Allah SWT. Pahala solat fardu lebih besar seperti yang dijanjikan Allah SWT berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang solat Isyak berjemaah, maka dia seolah-olah bangun (bersolat) separuh daripada malam dan sesiapa yang solat subuh Subuh berjemaah, maka dia seolah-olah telah bangun bersolat sepanjang malam.” (Riwayat Muslim)

Hadis itu menerangkan keutamaan solat fardu secara berjemaah adalah lebih besar pahalanya terutama bagi solat Isyak dan Subuh.

Ia satu teguran kepada sesiapa yang meninggalkan solat berjemaah pada waktu Subuh khususnya kepada orang lelaki.

Maka timbul persoalan bagaimana dengan orang yang ‘sibuk’ mengerjakan solat malam, tetapi tertidur selepas itu malah meninggalkan solat Subuh?

Ada sebuah riwayat athar daripada sahabat: “Allah SWT tidak menerima amalan sunat sehinggalah dia menunaikan yang fardu.” (Riwayat al-Baihaqi)

Imam Ibnu Taimiyyah dalam mensyarahkan riwayat itu menyatakan, apa sahaja bentuk ibadat sunat yang dilakukan tidak akan diberikan pahala sehingga seseorang itu menunaikan ibadat fardunya. (Majmu’ Fatawa Syeikh al-Islam Ahmad bin Taimiyyah; Jilid 7, Ms: 491)

Hal itu dilihat sebagai ancaman dan teguran bagi jaguh ibadat malam berjaga-jaga supaya amalan yang dilakukannya secara bersusah-payah selama ini ditolak mentah-mentah oleh Allah SWT.

Namun, ia bukan penyebab atau alasan untuk melemahkan semangat seseorang yang melaksanakan ibadat malam.

Justeru, menunaikan setiap ibadat sama ada fardu atau sunat hendaklah disertakan dengan ilmu dan niat yang ikhlas di samping perancangan rapi sebelum melaksana-
kannya.

Ada kaedah dan cara menguruskannya. Bagi sesiapa yang baru berjinak-jinak untuk solat malam, maka boleh jadikan 45 minit atau 30 minit sebelum Subuh untuk melaksanakannya.

Sebaliknya, seseorang yang sudah menjadi rutin dan kebiasaan melakukan solat malam, terpulanglah baginya membahagikan malam sama ada tiga perempat, separuh ataupun sepertiga malam seperti yang dinyatakan daripada al-Quran.

Oleh itu, sempena Ramadan yang bakal tiba, jadikan ia sebagai satu latihan untuk mendidik jasmani dan rohani.

 Selain itu, solat sunat sebelum fajar (Subuh) juga antara ibadat sunat yang Rasulullah SAW sangat menjaganya sepanjang hidup Baginda.

Dua rakaat solat itu sangat besar pahala dan fadilatnya di sisi Allah SWT. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dua rakaat sebelum fajar (solat sunat Subuh) lebih baik daripada dunia dan seisinya” (Riwayat Muslim)

Pada bulan Ramadan nanti, apabila seseorang sudah bangun untuk bersahur dan sambil menanti menjelangnya waktu Subuh, maka sediakan masa yang pendek sahaja untuk menunaikan ibadat itu.

Mudah-mudahan ibadat itu menjadi amalan tambahan yang boleh menampung kelompongan amalan fardu dan sangat rugi bagi yang meninggalkannya.

Selain itu, lebih baik jika dapat solat Subuh berjemaah di masjid.

Penulis pensyarah Fakulti Bahasa dan Pendidikan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 9:00 AM