SETIAP Muslim perlu menginsafi ujian yang disaksikan berlaku ke atas orang lain.
SETIAP Muslim perlu menginsafi ujian yang disaksikan berlaku ke atas orang lain.
Addin

Saban hari kita menyaksikan pelbagai bentuk ujian dihadapi oleh orang lain. Ada ujian yang kelihatan berat jika kita sendiri yang menghadapinya. Pelbagai ujian kehidupan membuktikan keadaan berbeza yang dilalui setiap insan. Orang yang memiliki harta mempunyai ujian tersendiri, apatah lagi bagi yang hidup serba kekurangan. Kadang kala orang miskin mengimpikan dirinya menjadi kaya agar terlepas daripada ujian kemiskinan. Namun ada juga orang kaya yang berhasrat kehidupannya tidak dibelenggu ujian harta dan merasakan akan lebih bahagia sekiranya mempunyai harta seadanya sahaja. 

Begitulah fitrah kehidupan yang tidak sunyi daripada ujian. Bagi orang Islam, setiap ujian yang datang pasti membawa kebaikan jika diri sentiasa mendepani ujian dengan penuh reda terhadap ketentuan Ilahi. Hakikatnya tidak ada orang yang akan berjaya menikmati kebahagiaan hidup di akhirat tanpa perlu berdepan dengan ujian ketika di dunia. Hatta Rasulullah SAW yang merupakan insan mulia di sisi Allah SWT turut berdepan dengan ujian sepanjang usaha dakwah baginda menyebarkan Islam. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta."   (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Setiap Muslim perlu menginsafi setiap ujian yang disaksikan berlaku ke atas orang lain. Kita perlu belajar dengan mengambil pengajaran daripada ujian yang melanda kehidupan orang lain. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan peristiwa seorang kakak yang melakukan tindakan berbahaya sehingga menyebabkan adiknya meninggal dunia. Pastinya ujian ini berat untuk ditanggung oleh keluarga yang terlibat. Bayangkan perasaan ibu bapa kepada anak-anak tersebut yang terpaksa berdepan dengan ujian melibatkan kehilangan anak sendiri disebabkan perkara yang tidak dijangka boleh berlaku. 

Sebagai orang Muslim yang beriman terhadap qada' dan qadar Allah SWT, ujian yang berlaku dalam kehidupan keluarga tersebut perlu diinsafi dengan menjadikannya pengajaran buat kehidupan keluarga masing-masing. Anak-anak perlu sentiasa diingatkan agar menyayangi antara satu sama lain, malah perlu melindungi keselamatan sesama adik-beradik. Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan anak-anak tidak melakukan perkara yang boleh membahayakan sesama sendiri. 

Sememangnya anak-anak merupakan ujian buat kedua ibu bapa. Oleh itu, menjadi tanggungjawab semua ibu bapa untuk memastikan anak-anak membesar dengan baik sehingga dapat menjadi insan yang mentaati perintah Allah SWT. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya: "Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar." (Surah al-Anfal, ayat 28)

Selain itu, terdapat juga orang yang diuji dengan menerima pertuduhan yang mengaibkan dirinya. Ujian sebegini boleh berlaku terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang manusia tersebut. Oleh itu, usah ada yang melemparkan kata-kata tidak manis terhadap kelompok tertentu termasuk ustaz dan ustazah sekiranya ada dalam kalangan mereka yang berdepan ujian dalam kehidupan. Sesungguhnya tidak ada orang yang boleh mendabik dada menyatakan dirinya terselamat daripada sebarang ujian kehidupan. 

Namun, sebagai orang yang menyaksikan pelbagai ujian melanda orang lain, usah jadikan perkara tersebut sebagai modal untuk merendah-rendahkan orang lain. Ambillah pengajaran daripada peristiwa yang berlaku kerana sesungguhnya ujian boleh hadir dalam kehidupan sesiapa sahaja. Sekiranya perkara ini dapat difahami dengan betul, maka diri tidak akan semudahnya membuat kesimpulan secara rambang terhadap golongan agamawan sekiranya ada dalam kalangan orang yang berpengetahuan agama dilanda ujian sehingga mereka terpaksa turun dan naik mahkamah. 

Tatkala menyaksikan ujian orang lain yang melibatkan keaiban dirinya, kita sepatutnya memohon keampunan kepada Allah SWT agar Dia mengampuni serta menutup keaiban diri. Rasulullah SAW antara lain mengajar doa yang maksudnya: "Ya Allah! Tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di dalam hatiku" - (Hadis Riwayat Ahmad). Pada masa sama, setiap diri yang melihat ujian orang lain perlu mengambil pengajaran daripadanya agar diri tidak terjebak dalam ujian yang sama. 

Terdapat juga ujian yang melanda kehidupan orang lain disebabkan harta dan kedudukan. Pada satu ketika, orang yang mendapat kedudukan dengan pangkat, gelaran dan harta merasai segala nikmat kesenangan dalam kehidupan. Mereka diangkat dan disanjung oleh orang lain, namun ujian boleh datang yang menghilangkan segalanya. Orang ramai pada satu ketika berkerumun menghampirinya disebabkan kedudukan dunia, namun segalanya boleh bertukar dengan orang ramai mula menjauhinya. 

Jadikanlah keadaan seumpama itu sebagai pengajaran buat mereka yang sedang berusaha mendapat tempat dalam masyarakat untuk diangkat sebagai pemimpin. Ujian kepimpinan tidak seringan yang disangkakan jika diri tidak mampu melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. 

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Nanti engkau akan begitu tamak pada kekuasaan. Namun kelak di Hari Kiamat, engkau akan benar-benar menyesal" - (Hadis Riwayat al-Bukhari). Imam an-Nawawi membawakan hadis tersebut dalam kitab Riyad as-Salihin pada bab "Larangan meminta kepemimpinan dan memilih meninggalkan kekuasaan apabila ia tidak diberi atau kerana tidak ada hal yang mendesak untuk itu." Jelaslah bahawa jawatan kepemimpinan boleh menyebabkan manusia menyesal di akhirat nanti sekiranya tidak dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Ada juga manusia yang dilanda ujian dengan kesusahan hidup. Mereka terpaksa melakukan pelbagai perkara bagi meneruskan kelangsungan hidup bersama keluarga. Ujian seperti ini menginsafkan diri betapa setiap Muslim perlu menghulurkan bantuan bagi meringankan beban ujian yang ditanggung oleh golongan yang memerlukan. Bak kata pepatah Melayu: "Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul." 

Justeru, inilah peluang untuk diri melakukan kebaikan tatkala orang lain dilanda ujian kehidupan. Sebenarnya bukan mereka yang berada dalam keadaan serba kekurangan sahaja yang sedang dilanda ujian, malah kita yang melihatnya juga sedang diuji oleh Allah SWT. Maka beruntunglah orang yang segera menghulurkan bantuan untuk meringankan bebanan ujian yang ditanggung oleh orang lain.

Allah SWT berfirman mengingatkan perihal harta yang diperoleh kerana padanya ada hak untuk diberikan kepada orang lain. "Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)." (Surah al-Ma'arij, ayat 24-25) 

Marilah kita menginsafi ujian yang melanda orang di sekeliling. Semoga kehidupan kita dapat diperbaiki sejurus melihat dan mengambil pengajaran daripada ujian yang didepani oleh orang lain. Allah SWT menjadikan setiap perkara untuk direnungi dan diambil pengajaran daripadanya.

 

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 7:01 AM