ANAK yang menjadi impian dan penantian bagi setiap pasangan suami isteri merupakan sebuah amanah yang besar. FOTO Reuters
ANAK yang menjadi impian dan penantian bagi setiap pasangan suami isteri merupakan sebuah amanah yang besar. FOTO Reuters
Dr  Mohd Shukri Hanapi

Anak adalah hadiah dan amanah Allah SWT kepada setiap hamba-Nya yang berstatus suami isteri dalam kehidupan berumahtangga. Boleh dikatakan setiap pasangan suami isteri ingin memiliki cahayamata hasil daripada perkahwinan mereka. Hal ini kerana melalui kelahiran cahaya mata ia akan menambah erat kasih sayang antara suami isteri. Setiap anak yang dilahirkan juga membawa makna rezeki yang baik untuk manusia.

Setiap pasangan yang mendambakan anak harus sedar bahawa betapa penting dan besarnya amanah yang akan dipikul kelak. Hal ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT pada Hari Akhirat kelak.  Oleh itu, ibu bapa perlu bersedia dari sudut mental dan fizikal bagi menghadapi ujian daripada Allah SWT ini. 

Berhubung perkara ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah jualah pahala yang besar."  (Surah al-Taghabun ayat 15)

Bagi suami isteri yang dikurniakan anak oleh Allah SWT, mereka hendaklah menerima kurniaan Allah SWT tersebut dengan penuh rasa bertanggungjawab dan beramanah. Setiap anak itu harus dijaga, dididik dan dipelihara dengan sebaik-baiknya. Hal ini tidak kira sama ada anak yang diperoleh itu adalah anak yang sempurna ataupun anak yang digolongkan dalam kategori orang kurang upaya (OKU).

Kehidupan suami isteri yang dianugerahkan anak yang sempurna adalah berbeza dengan kehidupan suami isteri yang dianugerahkan anak OKU. Ujian suami isteri yang dikurniakan anak sempurna lebih ringan berbanding pasangan suami isteri yang dianugerahkan anak OKU. Kehidupan mereka sudah tentu penuh dengan ujian, bebanan dan dugaan hidup yang pelbagai ragam.

Dalam hal ini. mereka perlu sabar dan tabah menghadapi ujian Allah SWT dengan sentiasa mengadu dan bergantung harap kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak ada suatu rezeki pun yang Allah berikan kepada seseorang hamba yang lebih luas baginya daripada sabar." (Riwayat al-Hakim)

Benar setiap ujian dan dugaan yang hadir itu pasti terasa pahit dan perit untuk dihadapi. Namun, setiap ibu bapa yang dikurniakan anak OKU, mereka tidak perlu mempersoalkan "kenapa Allah SWT menguji kami dengan ujian ini?". Selain itu, mereka juga tidak wajar berburuk sangka terhadap Allah SWT dengan berkata: "Ya Allah, kenapa Engkau menguji kami yang tidak banyak harta ini dengan ujian seberat ini, sedangkan masih ramai lagi daripada hamba-Mu yang kaya raya dan berharta. Kenapa Engkau memilih kami dan tidak memilih mereka?"

Sebenarnya setiap persoalan yang timbul ini, jawapannya sudah tercatat dalam al-Quran. Bagi persoalan kenapa kami diuji? Jawapannya telah jelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu ujian)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta." (Surah al-'Ankabut ayat 2-3)

Bagi persoalan kedua pula iaitu kenapa kami diuji dengan ujian seberat ini? Jawapannya telah dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya?" (Surah al-Baqarah ayat 286)

Justeru, setiap pasangan suami isteri yang diuji dengan anak OKU hendaklah memahami bahawa tujuan Allah SWT menguji mereka adalah semata-mata untuk menilai sama ada mereka benar-benar beriman atau berdusta. Jangan sesekali menyangka ia satu kezaliman daripada Allah SWT kerana Allah SWT tidak pernah menzalimi para hamba-Nya.

Di samping itu, mereka perlu juga meyakini bahawa mereka mampu menghadapi ujian itu dengan bantuan Allah SWT. Allah SWT telah berjanji akan membantu setiap hamba-Nya yang berada dalam kesusahan asalkan mereka tidak putus hubungan dengan-Nya. Di sini jelas membuktikan Allah SWT itu bersifat Adil terhadap hamba-Nya.

Bagi suami isteri yang mempunyai anak OKU, mereka tidak perlu berdukacita dan merasa malu untuk berdepan dengan masyarakat sekeliling. Malah mereka sepatutnya berbangga dengan anugerah Allah SWT ini kerana anak-anak istimewa hanya dianugerahkan kepada ibu bapa yang istimewa.

Segala sangkaan buruk terhadap Allah SWT hendaklah dihindari sama sekali. Jika tidak, ia boleh menyebabkan suami isteri yang mempunyai anak OKU itu sukar untuk menerima ujian Allah SWT dengan berlapang dada. Apabila ujian Allah SWT sukar diterima, maka berlakulah pelbagai perkara yang di luar batas kemanusiaan sehinggakan ada yang sanggup mengabai, mendera dan membunuh anak OKU yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada mereka tanpa rasa belas kasihan.

Bukan setakat itu, malah ada pasangan suami isteri yang bercerai kerana salah seorang daripada mereka tidak dapat menerima kehadiran anak OKU. Mereka saling memburukkan keturunan antara satu sama lain tanpa memikirkan hikmah di sebalik ujian berat yang mereka hadapi itu.

Kesimpulannya, kita perlu sedar bahawa anak yang menjadi impian dan penantian bagi setiap pasangan suami isteri merupakan sebuah amanah yang besar. Ia tidak sekadar anugerah tetapi diberi dengan amanah.

Secara mudahnya, ia bermaksud anak itu merupakan anugerah Allah SWT untuk menguji sikap ibu bapa. Sama juga dengan harta, ia bukan untuk kita nikmati, tetapi untuk digunakan di jalan Allah SWT. Namun, ramai ibu bapa yang melupakan hakikat ini. Mereka menyangka bahawa anak itu milik mereka. Berikutan itu, mereka bebas melakukan apa saja yang dikehendaki terhadap anak tersebut. Bukan setakat itu, malah ada yang beranggapan anak itu sebagai satu aset pelaburan. Lalu anak-anak disekolahkan sejak kecil lagi dengan impian agar mereka boleh memberi wang ketika dewasa nanti sebagai hasil pelaburan. Semua sangkaan dan anggapan ini adalah tersasar daripada tujuan sebenar Allah SWT kurniakan anak kepada pasangan suami isteri iaitu 'anak amanah Allah SWT'.   

Penulis Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 7:00 AM