ANAK-anak akan terbentuk dengan cara kita membentuk mereka berlandaskan ajaran Islam sebenar.
ANAK-anak akan terbentuk dengan cara kita membentuk mereka berlandaskan ajaran Islam sebenar.
Dr Azlan Shaiful Baharum

Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menutup semua sekolah adalah sesuatu yang mengejutkan, tetapi sudah dijangkakan.

Walaupun keadaan pandemik Covid-19 mempunyai sedikit tanda pemulihan dan kes semakin menurun, tetapi ia tetap menimbulkan kebimbangan dan keresahan wujudnya kluster baharu di sekolah dan institusi pendidikan.

Keadaan ini mendedahkan risiko kepada anak-anak terutama yang masih bersekolah.

Setiap kita mempunyai peranan masing-masing sama ada sebagai murid atau pelajar, guru, pendidik, pensyarah dan sudah tentu ibu bapa.

Kebimbangan mereka dengan pengumuman ini amat ketara kerana memikirkan bagaimana caranya hendak menguruskan pelbagai perkara atau multitasking dalam satu masa.

Masa 24 jam dirasakan tidak mencukupi untuk menyelesaikannya.

Itu perasaan kebanyakan kita yang boleh menimbulkan tekanan yang negatif jika tidak diuruskan dengan baik.

Kata bidalan Melayu: Masa itu emas. Sudah tentu emas itu bernilai dan mahal harganya.

Tetapi, jika ia hilang, kita masih boleh menggantikannya dengan yang lain. Bagaimanakah jika kita kehilangan masa dan nilainya?

Oleh sebab itu, As-Syahid Hassan Al-Banna pernah mengaitkan masa dengan kehidupan manusiawi, "Masa adalah sebuah kehidupan. Dan kehidupan itu adalah masa yang dia habiskan bermula pada saat kelahiran sehingga ke saat kematiannya."

Oleh yang demikian, setiap kita wajib menjalankan peranan kita dengan menyesuaikan keadaan ini dengan segera.

Ini penting supaya tidak ada sesiapa yang terabai dalam institusi keluarga masing-masing.

Sebagai guru atau pensyarah yang menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), mereka perlu mengadaptasi suasana persekitaran yang berbeza, berdepan peranti atau gajet dan melihat wajah murid mereka hanya di skrin terbabit secara maya.

Apa yang penting peranan mereka sebagai guru adalah amanah yang mesti ditunaikan sesuai dengan pendapatan yang diterima.

Amanah ini akan disoal oleh Allah SWT pada hari akhirat nanti. Allah SWT berfirman: "Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah Al-Anfal, ayat 27)

Dalam Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan maksud ayat ini bahawa mengkhianati amanah Allah SWT dan Rasul-Nya ialah dengan meninggalkan suruhan-Nya dan melanggar larangan-Nya.

Mengkhianati amanah pula ialah amanah orang sama ada yang berupa harta benda atau tanggungjawab kita sendiri.

Selain itu, peranan ibu bapa sangat penting pada saat yang genting ini walaupun sibuk dengan pekerjaan masing-masing.

Mereka perlu memastikan anak-anak tetap terurus dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah di rumah.

Ibu bapa boleh menyediakan jadual buat anak-anak untuk mengisi masa terluang selain kelas dalam talian dan kerja sekolah yang diberikan oleh guru mereka.

Anak-anak akan terbentuk dengan cara kita membentuk mereka berlandaskan ajaran Islam sebenar.

Nabi SAW bersabda: "Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibu bapanyalah yang mencorakkanya sama ada menjadi yahudi atau nasrani atau majusi." (Hadith Riwayat al-Bukhari).

Oleh itu, jelas di sini apa jua alasan yang kita berikan tanggungjawab mendidik anak bukan terletak kepada guru di sekolah semata-mata, tetapi terletak atas bahu kita walaupun ia sukar dan mencabar.

Di samping itu, anak-anak juga perlu sedar dengan peranan mereka. Sebagai anak yang mempunyai akal dan jiwa, apabila dinasihatkan pasti mereka akan mendengarnya.

Nasihat demi nasihat yang diberikan ibu bapa dan guru akan menjadi bekalan dan pedoman untuk membentuk jati diri dan akhlak yang sempurna.

Ini semua penting sebagai pegangan utama apabila mereka dewasa kelak.

Penulis teringat nasihat berharga oleh seorang manusia yang cukup hebat dalam mentarbiah anaknya iaitu Luqman al-Hakim yang dirakamkan oleh Allah SWT dalam Surah Luqman ayat 13 hingga 19.

Ayat-ayat ini jelas memberi panduan yang sistematik dalam membentuk peribadi anak-anak bermula dengan aspek aqidah, syariah dan akhlak.

Ibu bapa hendaklah bercerita kepada anak-anak mengenai kisah Rabbani ini untuk meningkatkan motivasi kepada mereka.

Berdasarkan firman Allah SWT boleh disimpulkan nasihat itu seperti berikut:

  • Jangan mempersekutukan Allah kerana syirik itu adalah suatu penganiayaan yang besar.

  • Kewajipan mentaati ibu bapa kerana ibunya yang telah mengandungnya dalam keadaan lemah serta sukar dan berhenti menyusukannya selama dua tahun.

  • Bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada ibu bapa kerana jasa mereka.

  • Membanyakkan melakukan amal soleh walaupun kecil seperti biji sawi ataupun tidak kelihatan di langit dan di bumi.

  • Menunaikan solat dan menyuruh manusia berbuat kebaikan dan melarang mereka dari perbuatan yang mungkar.

  • Bersabar atas sesuatu musibah dan dugaan yang menimpa.

  • Jangan sombong dan berjalan di muka bumi dengan angkuh.

    Kita perlu sedar, peranan mendidik anak-anak bukan hanya tertumpu kepada ilmu dunia semata-mata, malah jauh lebih penting ialah menerapkan pendidikan anak-anak terutama berkaitan solat berjemaah setiap waktu solat, mengaji al-Quran bersama-sama, mendengar tazkirah dalam talian melalui YouTube atau Facebook.

    Selain itu, mengajak mereka membantu kerja rumah selepas selesai urusan kelas pembelajaran mereka.

    Dalam era teknologi IR 4.0 ini kita tidak boleh menolak penggunaan gajet atau telefon pintar, tetapi menyalurkan keinginan mereka ke arah pengisian program dan aplikasi yang bermanfaat.

    Kesimpulannya jika semua ibu bapa, guru dan anak-anak menyedari peranan masing-masing dengan baik, maka sudah tentu kita akan dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

    Mahu tidak mahu, kita terpaksa menghadapinya dengan pemikiran yang positif.

    Elakkan dari menganggap semua perkara yang berlaku ini adalah suatu bebanan yang tak terpikul.

    Ini kerana ia berlaku bukan hanya kepada seorang individu, tetapi meliputi seluruh manusia di muka bumi ini.

    Ia tidak lain sebagai ujian meningkatkan martabat kita sebagai hamba Allah dan khalifah Allah dalam memakmurkannya.

    Setiap musibah pasti ada hikmah! Maka ubah dan aturkan kehidupan serta paradigma kita untuk menuju masa hadapan yang lebih baik.

    Penulis ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 5:59 AM