BERKAITAN   Safar, sepatutnya kita sebagai Muslim yang beriman merujuk kepada maklumat yang benar tentang kedudukan setiap perkara.
BERKAITAN Safar, sepatutnya kita sebagai Muslim yang beriman merujuk kepada maklumat yang benar tentang kedudukan setiap perkara.
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Safar adalah seperti bulan lain dalam kalendar Islam. Semua dua belas bulan adalah sama taraf di sisi Allah SWT.

Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)." (Surah al-Taubah, ayat 36)

Safar dalam susunan bulan Islam adalah bulan yang kedua iaitu selepas Muharam.

Ulama  berbeza pendapat berkaitan punca dinamakan Safar. Antaranya ada yang mengatakan kerana kosongnya Kota Makkah apabila penduduknya bermusafir keluar untuk pelbagai tujuan. Manakala sebahagian lagi berpendapat ia dinamakan Safar kerana mereka akan merampas segala harta milik kabilah yang diperangi hingga tiada meninggalkan apa-apa (kosong).

Tidak sepatutnya bagi seorang Muslim untuk bersikap pesimis dengan bulan Safar sebagaimana berlaku kepada masyarakat Jahiliyyah. Mereka sudah mengaitkan pelbagai perkara buruk terhadap bulan Safar. Sedangkan Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada  penyakit yang berjangkit, tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada perkara sial dalam bulan Safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu." (Muttafaqun Alaih)

Sikap pesimis masyarakat Arab Jahiliyyah adalah kerana menyangkakan ada perkara buruk yang berlaku disebabkan makna perkataan safar.

Namun, perkara ini disanggah Rasulullah SAW. Antaranya melalui sabda baginda SAW: "Tidak ada penyebaran penyakit (secara tabi'i), tidak ada kesialan dalam bulan Safar bahkan tidak ada Ghul (Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia)." (Riwayat Muslim, Ibnu Hibban dan Ahmad)

Kebanyakan pandangan masyarakat Arab Jahiliyyah adalah berdasarkan makna perkataan 'safar' dari segi bahasa sebagaimana dinyatakan dalam kitab Lisan al-Arab oleh Ibnu Manzur (w.711 H) yang memberikan maksud 'safar' ialah sejenis penyakit dalam perut yang menyebabkan orang yang mengalaminya kuning mukanya. Perkataan ini juga membawa maksud ular yang suka mematuk. Ia juga membawa maksud lapar. Daripada kepercayaan ini yang membawa kepada pegangan mereka yang terlalu memandang buruk kepada bulan Safar.

Begitu juga kita melihat masyarakat kita mula bersikap pesimis dengan situasi pandemik yang kita lalui sekarang ini. Walaupun kita yakin ia akan berakhir dan kita akan beralih kepada fasa endemik.

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, endemik bermaksud penyakit yang sentiasa terdapat pada orang atau daerah tertentu. Bermakna, kita akan hidup bersama Covid-19 dalam masyarakat. Berdasarkan kenyataan Menteri Kesihatan, kita akan mula memasuki fasa endemik ini selewatnya pada akhir Oktober depan selepas tercapainya herd immunity (imuniti kelompok) di seluruh negara. 

Seorang yang optimis adalah orang yang selalu menaruh harapan baik terhadap sesuatu (perkembangan, kemungkinan dan lain-lain), orang yang selalu melihat sesuatu masalah dan lain-lain dengan jangkaan dan harapan baik. [Kamus Dewan Edisi Keempat] Sikap ini terhasil daripada keimanan yang teguh kepada Allah SWT. Seterusnya, mereka sentiasa tetap dengan jalan yang benar dan menerima segala ketetapan Allah SWT serta bersangka baik.

Hasil daripada sikap optimis ialah tawakal (berserah) kepada Allah. Allah SWT berfirman: "Dan mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah padahal Dia telah menunjukkan jalan untuk tiap-tiap seorang dari kami menjalaninya? Dan demi sesungguhnya, kami akan bersabar terhadap segala perbuatan kamu menyakiti kami. Dan dengan yang demikian, maka kepada Allah jualah hendaknya berserah diri orang-orang yang mahu berserah." (Surah Ibrahim, ayat 12).

Allah SWT juga berfirman: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal." (Surah al-Taubah, ayat 51).

Orang yang bertawakal kepada Allah SWT akan menjadi kuat kerana keyakinannya yang tinggi kepada kekuasaan Allah.

Dalam konteks ini, Rasulullah SAW bersabda: "Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai Allah berbanding Mukmin yang lemah, pada keduanya terdapat kebaikan. Bersemangatlah mengerjakan apa pun yang bermanfaat bagimu, mohonlah pertolongan Allah dan jangan sampai lemah! Andai keinginanmu tidak tercapai, jangan katakan, 'Andai saya lakukan ini dan itu maka pasti akan begini dan begitu.' Akan tetapi, katakanlah: "Ini adalah ketetapan Allah; segala sesuatu yang Dia kehendaki akan Dia lakukan". Ucapan 'andai' akan membuka jalan bagi syaitan." (Hadis Riwayat Muslim)

Sikap optimis adalah tanda seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak beriman seorang hamba sehingga beriman kepada takdir baik dan buruknya, sehingga dia mengetahui bahawa apa yang menimpanya (yang sudah ditakdirkan) tidak akan terlepas darinya dan (mengetahui) apa yang belum menimpanya (yang belum ditakdirkan) nescaya tidak akan pernah terkena kepadanya." (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Dalam konteks ini juga Allah SWT berfirman: "Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan." (Surah Ali-Imran, ayat 109).

Oleh itu, dalam perkara yang berkaitan dengan bulan Safar, sepatutnya kita sebagai Muslim yang beriman merujuk kepada maklumat yang benar tentang kedudukan setiap perkara. Maka, mesti kita merujuk kepada nas atau dalil yang sahih dan benar. Antaranya, riwayat daripada Ibnu Ishak yang menceritakan bahawa pembukaan Khaibar berlaku pada bulan Safar. Mengikut Yazid Ibnu Abi Hubaib juga menceritakan bahawa Rasulullah SAW mula keluar dari Kota Makkah ketika berhijrah ke kota Madinah juga adalah pada bulan Safar. Malah, mengikut Ibnu Kathir, perkahwinan baginda Rasulullah SAW dengan Saidatina Khadijah juga berlaku pada bulan Safar. Begitu juga ghazwah (peperangan) yang pertama kali disertai oleh baginda Rasulullah SAW juga adalah pada bulan Safar.

Tegasnya, seorang Muslim mesti bersifat optimis dengan semua ketetapan daripada Allah SWT. Setiap ciptaan Allah SWT pastinya ada sebab dan gunanya kepada manusia. Terpulang kepada kita menilai sesuatu perkara dan mengambilnya dengan sikap yang positif dan optimis. Jika sebaliknya, maka akan menyebabkan putus asa dan lemah kerana tidak bersangka baik dengan qada' dan qadar Allah SWT.

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 5:59 AM