FOTO hiasan. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
FOTO hiasan. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Shahrizal Nasir

Kita masih lagi berada dalam bulan Muharam iaitu antara bulan yang dihormati. Bulan ini, kita dilarang melakukan perkara yang boleh menumpahkan darah seperti peperangan.

Setiap hari dalam bulan ini perlu dipenuhi dengan amalan baik. Muharam dikaitkan dengan Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah.

Meskipun Nabi memulakan hijrah pada hujung bulan Safar, Muharam adalah bulan keazaman Baginda untuk berhijrah selepas mengikat perjanjian ‘Aqabah bersama sekumpulan penduduk Madinah.

Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari menyatakan, keazaman untuk melakukan hijrah ke Madinah adalah pada bulan Muharam dan pelaksanaannya pada bulan berikutnya, Safar.

Rasulullah SAW tiba di Madinah pada awal bulan Rabiulawal. Sebelum tercapainya kejayaan membentuk negara Islam Madinah, Rasulullah SAW merencana strategi melalui proses hijrah yang amat sistematik.

Bermula dengan perjanjian bersama sekumpulan penduduk Madinah, pelepasan kumpulan sahabat ke Madinah secara berperingkat sebelum Nabi keluar memulakan perjalanan ke Madinah bersama Saidina Abu Bakar.

Mereka bermalam selama beberapa hari di Gua Thur dengan pembabitan beberapa individu dalam proses hijrah seperti Asma’ binti Abu Bakar, Amir bin Fuhairah dan Abdullah bin Uraiqit.

Kemudian, persinggahan Nabi di Quba’. Semua itu adalah strategi tersusun Baginda ke Madinah selain terpaksa melalui pelbagai cabaran yang memeritkan.

Cabaran yang ditempuhi Rasulullah SAW menyebabkan Islam terus bertapak di atas muka bumi ini. Ia dilakukan dengan keringat dan titisan darah terutamanya apabila dakwah Baginda ditolak dan dihina penduduk Taif.

Sebab itu, Allah SWT menzahirkan keredaan-Nya kepada golongan yang berhijrah bersama Rasulullah SAW. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 218)

Pada ayat lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui.” (Surah al-Nahl, ayat 41)

Banyak pengajaran daripada perjalanan hidup Rasulullah SAW hasil penghijrahan itu. Antaranya, keperluan mengatur strategi dalam menjalani kehidupan yang sangat mencabar.

Umat Islam jangan mudah kalah tatkala berdepan dengan ujian. Bagi pelajar yang akan menghadapi peperiksaan, aturlah strategi terbaik bagi meraih kejayaan diidamkan.

Buat graduan yang baru menamatkan pengajian, biasanya ramai menghadapi cabaran untuk mendapatkan pekerjaan. Usah berputus asa jika ditakdirkan belum lagi bekerja.

Tanya orang yang lebih berpengalaman. Usah cepat berasa kecewa kerana belum mendapat pekerjaan sedangkan belum mencuba meneroka peluang yang ada.

Begitu juga bagi yang berada dalam alam pekerjaan. Pastinya banyak cabaran dihadapi di tempat kerja sehingga menyebabkan prestasi menurun tanpa disedari.

Pastikan rezeki yang diperoleh adalah hasil titik peluh sendiri dan melalui jalan yang halal. Bagi memastikan kehidupan keluarga kekal bahagia, ia turut memerlukan strategi yang tersusun.

Contohilah kehidupan berkeluarga Rasulullah SAW yang sentiasa menyantuni ahli keluarganya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya, dan aku yang terbaik terhadap keluargaku.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Strategi dalam kehidupan perlu diatur berdasarkan keadaan dan kemampuan diri. Mungkin sesuatu strategi dilaksanakan seseorang tidak boleh dicontohi orang lain.

Adakalanya strategi diatur tidak sesuai atau tidak mampu dilaksanakan, maka ia memerlukan perubahan dan penambahbaikan. Sebab itu, kita biasa mendengar individu atau kumpulan mempunyai pelan perancangan A, B dan C.

Insan yang ingin berjaya di akhirat perlu memanfaatkan kehidupan dunianya dengan amalan baik melalui pelbagai strategi yang dianjurkan Islam.

Doa juga antara strategi yang tidak boleh diabaikan. Ia tanda kebergantungan kita kepada Allah SWT. Dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka.” (Surah al-Baqarah, ayat 201)

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 12:14 PM