GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

PEMIMPIN adalah antara manusia yang mempunyai tanggungjawab yang begitu besar di dalam Islam. Dia secara langsung di dalam urusannya memikul amanah dan tugas yang berat kepada rakyat yang dipimpinnya. Malahan seorang pemimpin juga akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah terhadap kepemimpinannya. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Kalian semua adalah seorang pemimpin, dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap orang-orang yang di bawah kepemimpinannya." (Hadis riwayat Bukhari)

Berdasarkan maksud hadis tersebut, jelas betapa kepemimpinan merupakan suatu perkara yang begitu serius dan bukan remeh sebagaimana dianggap oleh kebanyakan orang Islam. Bukan semua orang daripada kita mempunyai kelayakan untuk menjadi pemimpin. Justeru, melihat kepentingan kedudukan pemimpin di sisi Allah dan di sisi umat Islam, maka Islam meletakkan garis panduan yang ketat mengenai kriteria seorang pemimpin yang berkewibawaan dan berkemampuan untuk memimpin umat Islam ke arah kejayaan.

Barangkali terpahat di minda masyarakat Islam kini bahawa pemimpin boleh dicari daripada kalangan orang yang berada atau orang kaya atau orang yang berilmu, padahal itu bukan prasyarat utama dalam pemilihan seorang pemimpin. Kita melihat bagaimana Rasulullah SAW menolak permintaan Abu Zar yang menginginkan jawatan ketua atau pemimpin dalam kalangan orang Islam dengan alasan bahawa beliau (Abu Zar) adalah seorang yang lemah, tidak mampu memikul tanggung jawab seorang pemimpin yang berkaliber. Ini menunjukkan seorang pemimpin itu mestilah daripada kalangan orang yang benar-benar berkemampuan memikul amanah dan melaksanakan tanggung jawab dengan seadil-adilnya.

Lanjutan daripada itu, memadailah sebagai umat Islam kita menjadikan Rasulullah sebagai model dan contoh terbaik dalam kepemimpinan. Baginda memiliki syarat-syarat dan kriteria utama untuk ditabalkan sebagai seorang pemimpin yang ideal lagi unik. Dalam hal ini, Rasulullah sudah membawa perubahan secara menyeluruh dalam tempoh 23 tahun daripada sebuah masyarakat Arab Jahiliah kepada sebuah masyarakat Islam yang bertamadun. Ini sudah pasti merupakan satu perubahan drastik penuh revolusi yang dicipta dalam masa yang begitu singkat oleh Rasulullah. Baginda bersama para sahabat berjaya merakamkan kejayaan dan kegemilangan buat umat Islam hingga baginda diiktiraf sehingga kini sebagai pemimpin unggul dalam diari kehidupan manusia.

Mengimbau sejarah Islam, kita melihat sendiri bagaimana Rasulullah sudah berjaya membentuk Daulah Madinah berlatarbelakangkan piagam Madinah bagi membentuk kekuatan dan kecemerlangan umat Islam ketika itu hingga mengukir sejarah sebagai zaman kegemilangan Islam. Kemudian, tradisi kecemerlangan ini diteruskan lagi oleh generasi sahabat yang dipelopori Khulafa' Al-Rasyidin dan mereka berjaya mengabadikan tinta emas dalam perjalanan sejarah Islam. Kemuncaknya, khalifah Umar bin Abdul Aziz berjaya melebarkan sayap kegemilangan Islam apabila berhasil membentuk sebuah masyarakat Islam yang harmoni dan makmur.

Dari sini jelaslah rahsia kejayaan penuh gemilang yang dirintis Rasulullah dan generasi sahabat adalah berdasarkan corak kepemimpinan seorang pemimpin dan juga kerjasama masyarakat Islam dalam merealisasikan cita-cita dan wawasan negara. Ini dia kunci kejayaan sebuah negara berdaulat yang berkait rapat dengan faktor kepemimpinan yang adil dan kewujudan kerjasama erat rakyat yang dipimpin dalam menjana pembangunan negara.

Akhirnya, antara pemimpin dan rakyatnya harus saling bermusyawarah pada setiap masa dan ketika sebelum menetapkan sesuatu keputusan yang muktamad dalam hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negaranya. Dengan adanya musyawarah ini, barulah semua pihak dapat berbincang dengan cara yang baik untuk kepentingan dan kebaikan semua. Justeru tidak akan ada lagi dendam kesumat dan bibit perbalahan akan tercetus apabila semua pihak sama ada rakyat dan pemimpin melibatkan diri dalam proses musyawarah itu. Ini sangat penting dalam aspek pentadbiran kerana ia akan mewujudkan suasana hubungan mesra lagi akrab di antara pemimpin dan rakyat. Keharmonian sudah pasti terhasil dengan kerjasama yang erat lagi utuh antara rakyat dan pemimpin dan segala wawasan serta cita-cita negara untuk membangunkan negara sudah pasti terlaksana.

Selepas itu, setiap pemimpin dan rakyatnya dituntut supaya bertawakal kepada Allah kerana manusia hanya merancang, tetapi Allah jua yang menentukan segala-galanya. Inilah sifat mukmin yang sebenar kerana tawakal menandakan betapa manusia mengakui kekerdilan mereka dan kedaifannya di hadapan Allah yang Maha Berkuasa ke atas alam ini.

Akhirnya, setiap pemimpin mesti menyedari bahawa mereka sebenarnya memikul amanah yang sangat berat. Begitu juga kita sebagai rakyat jelata harus memainkan peranan positif ke arah menjayakan segala program dan wawasan yang dirancang membabitkan penyertaan mereka agar mereka dapat menyumbang ke arah keharmonian dan kesejahteraan yang diimpikan.


Penulis adalah Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 10:08 AM