GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Fadly Samsudin

MENJADI sunnatullah di alam ini, semakin Allah SWT menyayangi seseorang, maka semakin berat ujian yang menimpanya.

Begitulah kisah Nabi Ibrahim pada bulan Zulhijjah yang bakal kita lalui beberapa hari lagi cukup istimewa kerana di dalamnya, umat Islam di seluruh dunia mengerjakan ibadat haji serta ibadat korban bagi mengenang sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim itu.

Antara ujian berat dihadapi baginda dalam hidupnya adalah tidak dikurniakan anak sehingga baginda berusia 86 tahun.

Nabi Ibrahim berkahwin dengan Siti Sarah. Bagaimanapun, Allah SWT mentakdirkan Siti Sarah tidak boleh melahirkan anak.

Bagaimanapun, Nabi Ibrahim tidak pernah meninggalkan doanya kepada Allah SWT yang bermaksud: “Kurniakanlah kepadaku seorang anak dalam kalangan anak-anak yang soleh.”

Walaupun Nabi Ibrahim mengetahui isterinya mandul, baginda tetap terus memohon kepada Allah SWT kerana baginda tahu Allah SWT yang menciptakan alam ini dan akan memberikan anak kepadanya dengan apa cara sekalipun.

Sarah dan Nabi Ibrahim begitu sunyi kerana tidak mempunyai anak. Lalu Sarah menghadiahkan orang gajinya kepada suaminya dengan harapan generasi akan datang dapat meneruskan dakwah suaminya.

Kemudian, Sarah mencadangkan Nabi Ibrahim mengambil Hajar sebagai isterinya.

Di bumi Palestin, Hajar melahirkan seorang anak lelaki iaitu Ismail. Beberapa tahun kemudian, Sarah juga melahirkan seorang anak lelaki iaitu Nabi Ishak.

Begitulah sifat Nabi Ibrahim yang sentiasa berbaik sangka terhadap Allah SWT.

Jika dibandingkan dengan manusia biasa, sudah tentu kita mahu sesuatu permintaan terus atau segera dimakbulkan.

Padahal, diri kita sentiasa bergelumang dengan perkara maksiat.

Golongan rasul yang tidak pernah melakukan dosa kepada Allah SWT pun tetap sabar dan memohon kepada Allah SWT untuk mendapatkan anak walaupun terpaksa menunggu puluhan tahun lamanya.

Bagaimanapun, ujian itu tidak berhenti setakat itu. Penantian lama untuk mendapatkan anak, Allah SWT sekali lagi menguji Nabi Ibrahim dengan mengarahkan baginda membawa Hajar dan Ismail ke sebuah lembah tandus dikenali sebagai Bakka.

Tidak lama selepas itu, tempat itu dikenali sebagai Makkah. Ketika itu, anaknya Ismail masih lagi bayi.

Itu adalah ujian berat bagi mereka sekeluarga ketika baru sahaja memperoleh anak. Allah SWT mengarahkan Nabi Ibrahim membawa keluarganya ke sebuah lembah yang jauh serta kawasan itu terkenal dengan tanah tidak subur dan kering kontang.

Sebaik tiba di lembah itu, baginda meninggalkan mereka dengan air serta kurma.

Nabi Ibrahim mengetahui arahan itu datangnya daripada Allah SWT, maka baginda tidak meragui langsung, malah yakin Allah SWT tidak akan sesekali mengambil kembali apa yang dikurniakan daripadanya.

Hampir 10 tahun Nabi Ibrahim meninggalkan isteri dan anaknya di bawah jagaan Allah SWT di lembah kontang itu, baginda kemudiannya kembali semula ke sana.

Selepas mengharungi perjalanan selama dua bulan, baginda terkejut apabila mendapati Makkah begitu berbeza sekali.

Baginda sangat gembira apabila dapat bertemu semula dengan anaknya dan Hajar.

Namun, kegembiraannya tidak lama apabila baginda bermimpi Allah SWT memerintahkan Ibrahim mengorbankan anaknya, Ismail.

Itulah ujian yang benar-benar menguji keimanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail.

Baginda berbincang dengan anaknya dan ingin mengetahui sama ada anaknya itu memahami arahan Allah SWT.

Mendengar kata-kata ayahnya itu, Nabi Ismail berkata: “Wahai ayahku! Turutilah perintah Allah SWT itu. Aku juga akan turutinya.”

Seperti yang diarahkan, Nabi Ibrahim membawa anaknya di satu tempat untuk dikorbankan. Baginda membaringkan Ismail menghadap ke tanah.

Ketika melaksanakan perintah itu, baginda meletakkan pisau ke leher Nabi Ismail sambil memejamkan matanya kerana tidak sanggup melihat keadaan itu.

Bagaimanapun, tiba-tiba Ismail digantikan dengan seekor kibash (biri-biri jantan). Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sangat bersyukur atas rahmat Allah SWT itu.

Kisah pengorbanan itu dilakukan setiap Muslim apabila tiba musim haji yang dikenali sebagai hari raya korban atau Aidiladha.

Pengorbanan Nabi Ibrahim sepatutnya menjadi contoh kerana satu perkara yang mengagumkan daripada kisah itu, baginda tidak pernah mempertikaikan suruhan Allah SWT meskipun anak kesayangannya menjadi korban.

Merujuk kepada perkataan korban di dalam bahasa Arab, ia daripada perkataan qaruba, qarraba dan qurban yang makna dasarnya adalah mendekati atau menghampiri.

Dalam konteks kehidupan seorang hamba Allah SWT, sudah pasti setiap usaha yang kita laksanakan bertujuan untuk menghampiri Allah SWT.

Bagi menjayakan sesuatu amalan, kita perlu mengorbankan banyak perkara termasuk tenaga, masa dan harta benda.

Barangkali ada yang menganggap ‘pengorbanan’ memadai apabila dapat mengeluarkan wang bagi membeli seekor atau sebahagian binatang ternakan untuk disembelih pada hari yang ditentukan.

Apa yang perlu dihayati daripada amalan itu adalah kesanggupan mengetepikan segala kepentingan diri termasuk sifat sayangkan harta benda.

Apabila dikatakan berkorban, ia mesti membabitkan sesuatu yang kita sayang untuk melepaskannya.

Sehubungan itu, setiap umat Islam perlu bersedia untuk berkorban demi Allah SWT serta demi umat Islam sejagat.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 6:51 AM