FOTO hiasan. FOTO Muhammad Sulaiman
FOTO hiasan. FOTO Muhammad Sulaiman
Suriany Awaludin

Adakah Islam membenarkan perkahwinan ‘cina buta’? Masyarakat kita sering didedahkan mengenai perkahwinan itu contohnya seperti dilakonkan dalam babak drama iaitu perkahwinan dirancang lelaki terhadap bekas isterinya dengan lelaki lain selepas diceraikan talak tiga.

Perkahwinan itu hanya berlangsung untuk seketika sebelum diceraikan untuk dia kembali hidup bersama bekas isterinya.

Afendi, Shah Alam

Perkahwinan yang dimaksudkan itu menurut perundangan Islam adalah nikah muhallil. Dalam masyarakat kita, ia dikenali sebagai ‘kahwin cina buta’.

Perkataan muhallil adalah daripada kata dasar ‘halal’ iaitu maksudnya bagi menghalalkan suami pertama berkahwin semula dengan bekas isteri yang sudah ditalak tiga. Bagi mana-mana suami isteri yang sudah bercerai dengan talak tiga, hukum dan aturannya dijelaskan Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 230 yang bermaksud: “Sesudah (diceraikan dua kali) itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga perempuan itu berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau dia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis iddahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkan kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.”

Masalah itu berlaku sejak zaman Nabi SAW lagi. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: Isteri Rifa’ah pernah datang kepada Rasulullah lalu berkata: “Saya dulu pernah menjadi isteri Rifa’ah kemudian saya ditalak. Talaknya kepada aku itu sudah tiga kali, lalu aku kahwin dengan Abdurrahman Ibnu Zubair, tetapi sayang dia ibarat hujung kain iaitu lemah syahwat.

Lalu Nabi pun tersenyum seraya bersabda: “Apakah kamu ingin kembali kepada Rifa’ah? Oh, tidak boleh, sebelum kamu benar-benar merasakan madu kecilnya Abdurrahman bin Zubair (bersetubuh) dan dia juga merasakan madu kecilmu.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis itu berkaitan kisah Aisyah binti Abdul Rahman yang diceraikan suaminya, Rifa’ah bin Wahab dengan talak tiga.

Beliau kemudian berkahwin pula dengan Abdul Rahman bin Zubir al-Qurazi. Malangnya beliau turut diceraikan oleh suami keduanya itu.

Setelah itu, dia datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, Ya Rasulullah, Dia (Abdul Rahman bin Zubair al-Quraizi) menceraikan aku sebelum menyentuhku (bersetubuh). Bolehkah aku kembali kepada bekas suamiku yang pertama? Baginda SAW menjawab tidak boleh selagi tidak disentuh (bersetubuh dengan suami kedua).

Ulama fiqah sepakat, sekiranya suami menceraikan isterinya dengan talak tiga, suami tidak boleh merujuk kembali kepada bekas isterinya dan berkahwin yang diiktiraf syariat serta tujuannya kekal bukan perkahwinan yang dirancang (perkahwinan muhallil).

Hadis itu juga menyatakan perkahwinan dengan suami kedua hendaklah berlaku ‘dukhul’ iaitu jimak. Ali RA berkata, “Rasulullah SAW melaknat muhallil (iaitu orang yang menikahi seorang wanita dan menceraikannya dengan niat supaya wanita itu menjadi halal kembali bagi suami pertama) dan muhallallahu (orang yang meminta muhallil melakukan pernikahan tersebut iaitu bekas suami).”

Nas itu menerangkan, kahwin cina buta batal dan tidak sah kerana laknat tidak akan dijatuhkan melainkan terhadap perbuatan yang tidak dibolehkan syarak.

Bagi suami pertama, tidak halal kembali semula kepada bekas isterinya sekalipun ketika ijab kabul tidak dinyatakan sebagai kahwin cina buta, selagi didapati niat untuk berbuat demikian.

Ini kerana, apa yang mesti diambil kira adalah tujuan niat dalam hukum agama.

Pakar perundangan Islam membahagikan kes kahwin cina buta kepada beberapa keadaan:

1. Jika dinyatakan dalam majlis akad nikah syarat suami baru kena menceraikan isterinya bagi membolehkan wanita itu berkahwin semula dengan bekas suaminya yang menceraikannya dengan talak tiga, maka pernikahan itu tidak sah dan pihak yang terbabit berdosa.

2. Jika syarat itu dinyatakan sebelum majlis akad, lalu ketika akad nikah suami baru berniat ‘selepas berkahwin nanti dia akan menceraikan isterinya itu supaya dia boleh kembali semula berkahwin dengan bekas suami pertamanya, maka pakar berbeza pendapat.

Syarat berkenaan tidak ditetapkan, tetapi suami baru dengan rela hati berniat begitu. Pakar bermazhab Maliki dan Hanbali menjelaskan, nikah itu tidak sah manakala menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Syafii, nikah itu sah kerana syarat itu tidak dinyatakan dalam majlis akad. Hujah mereka, niat suami baru tidak menjejaskan kesahan akad nikah itu dengan syarat segala rukun dan syarat nikah dipenuhi.

3. Jika isteri atau walinya berniat supaya suami baru menceraikan isteri itu supaya dia dapat kembali kepada suami pertamanya, maka akad nikah itu sah.

Ini disebabkan, dalam hadis yang diriwayatkan Jabir dan Ali bin Abu Talib, Nabi hanya melaknat suami baru dan suami lama yang berpakat.

Malah, niat isteri atau wali tidak mempunyai apa-apa kesan kerana hak menceraikan berada di tangan suami baru.

Walau bagaimanapun, kemungkinan paparan yang dilakonkan adalah untuk panduan dan contoh kejadian yang berlaku dalam masyarakat kita. Namun, dalam penyampaian melalui lakonan, semua aspek hukum dan penjelasan ulama perlu dijelaskan supaya masyarakat memahami intipati hukum yang hendak disampaikan menerusi lakonan.

Sebagai Muslim, semua orang bertanggungjawab mengetahui hukum dan tegahan dalam agama khususnya berkaitan muhallil itu. Jika dilengkapi dengan ilmu pengetahuan, masyarakat akan lebih bersedia dan sedar walaupun ia dipaparkan dalam lakonan atau dalam kejadian sebenar.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 12:10 PM