FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Suriany Awaludin

SAYA dan isteri pernah bertengkar melalui perbualan telefon. Ketika itu, saya berada dalam kenderaan bersama seorang rakan sekerja.

Kemuncaknya, akibat terlalu geram saya beri telefon itu kepada rakan lalu mengarahkannya bercakap, ‘Kita bercerai sekarang’ kepada isteri.

Isteri mungkin tidak menyedari kata-kata itu bukan keluar dari mulut saya. Ketika tiba di rumah, saya melihat isteri menangis kerana menganggap kami sudah bercerai.

Bagaimanapun, saya menjelaskan kepada isteri yang bercakap itu adalah rakan sekerja saya. Selepas itu, saya memohon maaf kepadanya atas salah faham serta keterlanjuran tindakan saya.

Kami kemudian berbaik semula seperti biasa tanpa pergi ke mahkamah untuk mengetahui status sebenar. Adakah cara sebegitu menjejaskan talak kerana ketika itu kawan yang lafazkan kononnya menyamar diri saya.

Rauf, Jitra, Kedah

DALAM masalah cerai secara talak, perkara yang perlu diperhalusi adalah aspek sempurna atau tidak semua rukun dan syarat talak itu.

Rukun talak terbahagi kepada lima iaitu sighah (lafaz talak), mahal (orang yang ditalak atau isteri), wilayah (kekuasaan), qasad (niat) dan mutallaq (pentalak).

Setiap satu rukun perlu diperhalusi sebelum memutuskan sama ada lafaz talak itu jatuh seterusnya mengurangkan baki talak. Rukun sighah (lafaz talak) jelas menunjukkan perkataan cerai. Begitu juga rukun mahal (isteri).

Dalam hal ini, isteri adalah orang yang sedang bercakap dengan suaminya melalui telefon dan isterinya yang sah.

Rukun seterusnya adalah berkaitan dengan wilayah iaitu kekuasaan yang bermaksud suami berkuasa penuh untuk menjatuhkan talak ke atas isterinya.

Kekuasaan juga membawa maksud tidak dipengaruhi atau dipaksa mana-mana pihak dengan sebarang ugutan atau ancaman.

Ada beberapa ulasan berhubung masalah wilayah atau kekuasaan ini, khususnya bagi masalah talak yang dilafazkan orang lain terhadap isterinya yang sah.

Hukum asal kuasa talak adalah di tangan suami. Namun, di dalam Islam dibenarkan suami menyerahkan kuasa talak kepada isteri atau kepada orang lain dengan syarat diizinkan suami (suami membenarkan perkataan talak isterinya) dan berlaku pada ketika itu juga.

Imam as-Syirazi di dalam kitab al-Muhazzab (2 /81) ada menyebut iaitu: “Harus bagi suami menyerahkan kuasa talak kepada isteri atau mewakilkan kuasa talak kepada orang lain.

Apabila diserahkan kuasa talak kepada isteri, maka dibolehkan isteri menceraikan dirinya sendiri dengan syarat selama mana mereka berdua tidak berpisah dari majlis talak dan berkata perkara yang boleh menjatuhkan talak hanya dengan perkara disepakati mereka berdua”.

Selain itu, perbincangan seterusnya menyentuh mengenai perkara sama ada wakil yang diminta melafazkan talak itu boleh memberi kesan ke atas talak orang yang memberi wakil.

Talak tetap dianggap jatuh walaupun tidak dijatuhkan suami secara langsung, tetapi dijatuhkan orang lain dengan izin suami sama ada dengan cara menyerahkan kuasa secara lisan atau bertulis.

Maksud mewakilkan adalah suami mewakilkan kepada orang lain untuk menceraikan isterinya. Misalnya, dia mengatakan kepada orang lain: “Saya wakilkan engkau untuk menceraikan isteri saya.”

Jika wakil menerimanya, kemudian mengatakan kepada isteri orang yang mewakilkan: “Engkau diceraikan”. Maka gugur talaknya.

Semua suami yang berkuasa atau masih memegang talak, sah jika dia mewakilkan talak itu kepada orang lain. Orang yang menjadi wakil dalam masalah talak terikat dengan arahan orang yang mewakilkan.

Jika orang yang menjadi wakil itu melampaui batas, maka perbuatannya tidak sah kecuali dengan izin orang yang mewakilkan.

Bagaimanapun, kupasan saya di atas tidak boleh memutuskan kedudukan perkahwinan atau talak pasangan berkenaan. Masalah itu perlu dirujuk ke mahkamah untuk diperhalusi.

Masih ada beberapa perkara yang perlu dijelaskan suami terutama bagaimana dia meminta kawannya untuk melafazkan cerai ketika itu.

Apakah kuasa yang diserahkan itu kuasa penuh sebagaimana dia selaku suami dalam menjatuhkan talak atau ada had tertentu suami tetapkan kepada kawannya ketika itu.

Selain itu, mahkamah juga akan melihat rukun lain iaitu qasad (niat) dan mutallaq (pentalak). Jika semua rukun dilihat, maka mahkamah akan memutuskan kedudukan perkahwinan serta kedudukan talak pasangan.

Semua aspek akan diambil kira khususnya jika lafaz itu menyebabkan gugurnya talak dan kemudian pasangan itu hidup bersama semula sebagai suami isteri sebagaimana sebelumnya.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 1:59 AM