Sumber: Al-Kafi Li al-Fatawi dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Adakah seseorang yang menghisap rokok atau mendedahkan aurat sama ada perempuan dewasa yang tidak memakai tudung atau lelaki dewasa yang hanya memakai seluar pendek itu dianggap sebagai perbuatan mujaharah dengan maksiat?

Perbuatan mujaharah dengan maksiat iaitu melakukan maksiat secara terang-terangan antara dosa besar yang dicegah dalam agama.

Ia berdasarkan satu riwayat daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’. Sedangkan dia tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan daripada dirinya.” (Riwayat al-Bukhari - 6069)

Hadis itu menunjukkan golongan yang melakukan maksiat secara terang-terangan itu terkecuali daripada mendapat ‘aafiyah daripada Allah SWT. Golongan al-mujaahiruun terbahagi kepada dua iaitu:

1. Seseorang itu melakukan maksiat dan dia melakukannya secara terbuka.

Ini adalah mereka yang melakukan maksiat secara terang-terangan di hadapan orang ramai. Mereka melihat ke arahnya, maka dalam kes itu dia dianggap melakukan kezaliman ke atas dirinya sendiri atas maksiat yang dilakukan.

Begitu juga dia melakukan dosa ke atas orang lain kerana menjadi faktor orang lain turut mengikut maksiat yang dia lakukan.

2. Seseorang yang melakukan dosa secara sembunyi kemudian dia pergi menceritakan dosa yang dilakukan kepada orang lain.

Ini juga termasuk dalam perbuatan mujaharah (menceritakan dosa kepada orang lain). Perbuatan itu menyebabkan dia turut terkecuali mendapat mu’aafah (kemaafan) daripada Allah SWT.

Ulama menjelaskan beberapa maksud al-mu’aafaah (kemaafan) yang terdapat di dalam hadis berkenaan.

Kata al-Syeikh ‘Ali al-Qari Rahimahullah: “Perkataan mu’aafaa bermakna Allah SWT memberikan seseorang itu ‘aafiyah dan keselamatan daripada perkara yang makruh.

Kemudian beliau turut menukilkan kata-kata al-Thibi yang menyebut: “Yang lebih azhar (jelas) adalah untuk disebutkan: Semua umatku ditinggalkan (terlepas) daripada umpatan melainkan golongan yang menjaharkan (berterang-terangan) melakukan maksiat.

Ini seperti yang disebutkan: “Sesiapa yang mencabut jilbab malu (daripada dirinya), maka tidak dianggap ghibah (ucapan orang lain) buat dirinya.” (Lihat Mirqaat al-Mafatiih, Mulla ‘Ali al-Qari - 7/3034)

Secara asasnya, yang dimaksudkan dengan ucapan: “Setiap umatku diberikan ‘aafiyah kecuali golongan yang menjaharkan maksiat.”

Orang yang menjaharkan maksiat itu tidak akan terselamat daripada ucapan manusia iaitu tidak dianggap ghibah sekiranya orang ramai mengatakan dirinya sebagai fasik kerana perbuatannya yang menjaharkan maksiat.

Begitu juga golongan itu tidak mendapat sitrullah iaitu Allah tidak akan menjaga keaiban mereka atas faktor mereka sendiri yang menunjukkannya.

Mereka tidak terlepas daripada hukuman had dan juga takzir kerana secara terang-terangan menzahirkan maksiat.

Perbuatan menjaharkan maksiat adalah perbuatan yang merendahkan hak Allah dan juga Rasul-Nya.

Kesimpulannya, jauhilah dosa besar dan kesan buruk yang terhasil daripada perbuatan melakukan maksiat secara terang-terangan ini.

Perbuatan menghisap rokok, mendedahkan aurat, menceritakan dosa yang dilakukan, semua itu termasuk dalam perbuatan menjaharkan maksiat.

Sekiranya seseorang itu diuji Allah SWT dengan maksiat, hendaklah dia berusaha menyembunyikannya berserta dengan perbanyakkan taubat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 10:21 AM