FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Shahrizal Nasir

Setiap insan pasti melakukan kesilapan. Adakalanya kesilapan dibuat secara terang-terangan, ada pula dalam keadaan tidak dilihat orang. Walau bagaimanapun, manusia diberi peluang yang luas untuk memohon keampunan daripada Allah SWT. Namun, keampunan daripada Allah tidak boleh dijadikan tiket untuk diri berasa selesa untuk melakukan dosa. Sebenarnya keadaan ini menggambarkan keagungan Allah yang mengasihi hamba-Nya. Setiap hamba Allah pasti mengharapkan keredaan dan kasih sayang daripada-Nya.

Ibn Qayyim ada menukilkan nasihat agar manusia tidak terjerumus ke lembah maksiat. Antara nasihat beliau ialah agar manusia sentiasa berasa malu kepada Allah. Lihatlah betapa Allah menganugerahkan pelbagai nikmat kehidupan di atas dunia. Maka semua nikmat tersebut perlu disyukuri dan menjadi sebab diri berasa malu untuk melakukan maksiat. Mana mungkin ada insan yang mengaku dirinya mensyukuri nikmat kurniaan Allah, tetapi dalam masa sama melanggar larangan yang ditetapkan oleh-Nya.

Rasa malu kepada Allah dapat ditanam dalam diri apabila memahami bahawa Dia sentiasa melihat setiap perbuatan. Tidak ada satu pun perbuatan dalam kehidupan manusia yang terlepas daripada pengetahuan Allah. Pada akhir ayat pertama daripada Surah an-Nisa', Allah berfirman yang maksudnya: "…Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu." (Surah an-Nisa', ayat 1)

Iman manusia adakalanya meningkat, adakalanya menurun. Ia bergantung kepada perbuatan yang dilakukan oleh manusia sendiri. Meskipun manusia mengakui bahawa Allah melihat setiap perbuatan, adakalanya iman menurun dek kerana hawa nafsu sendiri dan juga godaan syaitan. Sebab itu, ada dalam kalangan manusia yang melakukan maksiat ketika bersendirian. Dirinya tahu Allah melihat segala perbuatannya, namun disebabkan tidak ada mata manusia yang melihat perbuatan tersebut, maka jiwa yang imannya sedang berada dalam keadaan tidak kuat terjebak dalam perbuatan maksiat.

Inilah perkara yang perlu diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Wujudnya kelompok netizen yang menyamar identiti dalam media sosial lantas menulis hantaran yang tidak baik, semuanya kerana mereka menyangka boleh melakukan apa sahaja kerana tidak diketahui orang ramai. Mereka merasakan bebas melakukan apa sahaja termasuk menghina, memfitnah, menjatuhkan maruah orang dan sebagainya. Keadaan sebegini wujud apabila diri dalam keadaan bersendirian dalam erti kata tidak diketahui orang ramai.

Ingatlah firman Allah yang menjelaskan setiap orang bertanggungjawab atas perbuatan yang dilakukan sama ada ia diketahui oleh orang atau dalam keadaan tersembunyi. "Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi perbuatan jahat) yang dikerjakannya." (Surah al-Muddaththir, ayat 38)

Dengan adanya pelbagai gajet yang dapat mengakses internet, pelbagai perkara dapat dilihat hanya dengan hujung jari masing-masing. Ketika bersendirian melayari internet, diri boleh terjebak dalam pelbagai jenis maksiat. Tidak ada orang mengetahui perbuatan yang sedang dilakukan, segalanya terletak pada tahap keimanan sendiri. Di sinilah perlunya diri bersabar mendepani cabaran nafsu dan godaan syaitan ketika bersendirian. Hal ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang gagal mengawal nafsu ketika diri menyangka tidak diperhatikan oleh sesiapa, sedangkan Allah Maha Melihat lagi Maha Mengetahui.

Rasulullah SAW bersabda mengenai perihal orang yang melakukan maksiat ketika bersendirian. "Sungguh aku (Rasulullah) telah mengetahui bahawa ada  suatu golongan manusia daripada umatku yang datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan sebesar gunung Tihamah yang putih. Kemudian Allah menjadikannya debu yang berterbangan."  Thauban (seorang sahabat Rasulullah) bertanya: "Wahai Rasulullah, sebutkanlah ciri-ciri mereka dan jelaskanlah perihal mereka agar kami tidak menjadi seperti mereka tanpa disedari. Baginda bersabda:  "Sesungguhnya mereka adalah saudara kalian dan daripada golongan kalian, mereka menunaikan solat malam sebagaimana kalian, tetapi mereka adalah kaum yang jika bersendirian mereka melakukan perkara yang diharamkan Allah."  (Hadis riwayat Ibn Majah)

Hadis ini menunjukkan wujud golongan yang terjebak melakukan maksiat ketika bersendirian. Mereka ketika itu gagal mengawal diri sehingga terjebak melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Perkara ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang tidak dapat mengawal diri mereka.

Ibn Hajar al-Haitami dalam kitabnya az-Zawajir 'an Iqtiraf al-Kaba'ir turut menyenaraikan perbuatan berlagak soleh di depan orang namun melakukan dosa ketika bersendirian sebagai dosa besar, katanya: "Dosa besar ketiga ratus lima puluh enam ialah menampakkan diri sebagai orang soleh di hadapan manusia, namun melakukan perkara yang diharamkan Allah, meskipun perkara itu dosa kecil ketika bersendirian."

Rasulullah mengingatkan kita agar sentiasa melakukan kebaikan di mana sahaja berada. Ketika berada di tempat awam, kita melakukan perkara-perkara baik, begitu juga ketika bersendirian tanpa ada orang lain. "Bertakwalah kepada Allah di manapun kamu berada dan hendaknya setelah terjebak melakukan keburukan maka kamu lakukanlah kebaikan yang dapat menghapuskannya (keburukan tadi). Serta berurusanlah dengan orang lain dengan akhlak yang baik." (Hadis riwayat Ahmad)

Cabaran ketika diri bersendirian amat besar lebih-lebih lagi pada zaman yang cukup mencabar masa kini. Keadaan anak-anak terpaksa duduk di rumah dan tidak boleh keluar secara bebas, ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap aktiviti yang mereka lakukan. Usah biarkan mereka bersendirian di dalam bilik dengan segala macam gajet komunikasi.

Di satu sudut lain, ada golongan manusia yang mendapat naungan Allah di akhirat kelak disebabkan perbuatan baik mereka ketika bersendirian. Salah satu daripada tujuh golongan yang akan mendapat naungan di sisi Allah nanti ialah orang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehingga kedua matanya mengalirkan air mata. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Ada tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah pada hari ketika tidak ada naungan kecuali naungan-Nya;  …dan seorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehingga kedua-dua matanya mengalirkan air mata."  (Muttafaq 'alaih)

Hadis tersebut menunjukkan ada golongan manusia yang mengambil peluang mendekatkan diri kepada Allah ketika bersendirian. Orang seperti ini sedar bahawa dirinya amat mengharapkan rahmat dan pengampunan daripada Allah. Ketika orang lain sibuk melakukan pelbagai urusan dunia atau mungkin sedang nyenyak tidur, hamba Allah seperti dinyatakan dalam hadis bangun untuk bermunajat kepada Allah.

Setiap manusia perlu merebut keampunan daripada Allah dengan melakukan kebaikan meskipun ketika bersendirian. Setiap peluang untuk melakukan kebaikan perlu dimanfaatkan sebaiknya kerana Allah akan menerima taubat setiap hamba-Nya yang telah tergelincir melakukan dosa.

Firman Allah bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah az-Zumar, ayat 53)

 

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 6:00 AM