AL-FIQH

1. Apakah perbezaan pahala puasa Ramadan antara 29 hari dan 30 hari genap?

Dari segi namanya iaitu puasa Ramadan, maka pahala yang dijanjikan adalah sama.

Bagi yang berpuasa 30 hari, tentu ada kelebihannya iaitu dari segi bilangan sahur dan berbuka, solat Tarawih dan tentu lebih juga dari segi fadilatnya.

Rasulullah berpuasa selama sembilan tahun tidak ada yang genap (30 hari) kecuali dua tahun mengikut qaul yang muktamad.

Mengikut pendapat Syeikh Ajhuri al-Maliki, lima tahun Baginda berpuasa genap dan empat tahun hanya 29 hari.

Mengikut pendapat al-Haitami, Baginda hanya berpuasa genap setahun.

Berkata Syeikh Dumairi, hanya dua tahun yang genap manakala yang lain semuanya kurang supaya tenang hati umatnya yang berpuasa 29 hari.

2. Sebelum puasa Ramadan diwajibkan, adakah Rasulullah berpuasa atau tidak?

Sebelum diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan, Baginda berpuasa ‘ayyamul bidh’ iaitu puasa pada hari putih (iaitu tanggal 13, 14 dan 15 tiap-tiap bulan Islam).

Ada pendapat mengatakan, Baginda berpuasa pada hari Asyura (iaitu 10 Muharam).

Bagaimanapun, semua puasa itu dimansuhkan dengan kewajipan puasa pada Ramadan.

3. Apakah diharuskan bagi orang sakit yang tidak boleh mendatangkan mudarat jika berpuasa lalu meninggalkan niat puasa?

Harus dia meninggalkan niat puasa jika sakitnya berkekalan. Begitu juga sekiranya sakitnya tidak berkekalan dan akan datang sakit itu apabila dia berpuasa.

Maka, dia juga harus meninggalkan niat puasanya. Tetapi jika sakitnya tidak mendatangkan apa-apa mudarat kepada puasanya, maka tidak harus dia meninggalkan niat tetapi jika datang sakitnya, maka harus dia berbuka.

4. Apakah syarat yang mengharuskan orang musafir yang dibolehkan qasar dan jamak solat serta berbuka puasa?

Seorang itu mesti keluar dari daerah atau kampung kediamannya untuk bermusafir ke satu destinasi yang mengharuskan dia qasar dan jamak solat atau selepas ia dinamakan sebagai musafir.

Berdasarkan pendapat Sheikh Ramli, harus bagi orang musafir berbuka jika dia terdiri daripada orang yang bermukim atau bermastautin selepas musafirnya sekadar dia dapat qada puasanya.

Bagi orang musafir bersama kaum keluarganya untuk selama-lamanya dan tidak ada harapan untuk bermukim atau bermastautin, maka tidak diharuskan dia meninggalkan puasanya.

Sumber: Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 7:09 AM