Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan menyumbang dana RM10 juta kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sebagai mengiktiraf peranan yang dilaksana penyedia guaman dalam membantu orang susah mendapatkan khidmat guaman.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak beroperasi pada 2012, model dilaksanakan YBGK menyaksikan ratusan ribu orang diwakili dalam prosiding jenayah.

Katanya, akses kepada keadilan dipertingkatkan dan YBGK sudah menjadi penyedia bantuan guaman terbesar di negara ini.

"RM10 juta itu peruntukkan untuk orang miskin yang tidak mampu membayar peguam.

"Saya lihat ramai... umpamanya kadang-kadang kes kecil tetapi tidak ada peguam.

"Tertangguh kerana tak dapat mempertahankan dan membela diri mereka. Saya tengok ramai sangat yang tak dapat peluang ini, memperoleh bantuan guaman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Persidangan Undang-Undang Malaysia Antarabangsa 2023, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn.

Anwar berkata, kerajaan sentiasa mengiktiraf hak asasi semua pihak untuk menuntut keadilan, termasuk peranan yang dimainkan oleh Majlis Peguam.

"Bagi menegakkan kedaulatan undang-undang, ia tidaklah boleh dilihat daripada prisma teori perundangan semata-mata kerana prinsip sedemikian tidak boleh direalisasi sekiranya orang di jalanan tidak sumber ekonomi yang mampu untuk mendapatkan akses keadilan.

"Dalam hal ini, saya memuji usaha gigih Majlis Peguam dalam menyediakan bantuan guaman, melalui skim yang ditubuhkan sejak lebih 40 tahun lalu.

"Kerajaan mengiktiraf akses terhadap keadilan adalah hak asasi dan saya bersedia untuk memberi pertimbangan serius kepada Majlis Peguam dalam perkara ini," katanya.

ANWAR Ibrahim menyampaikan ucapan merasmikan Persidangan Undang-Undang Malaysia 2023 di Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias.
ANWAR Ibrahim menyampaikan ucapan merasmikan Persidangan Undang-Undang Malaysia 2023 di Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 11:47 AM