SEDIA dihidang bersama sambal kicap.
SEDIA dihidang bersama sambal kicap.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

TEMPE dikenali sebagai makanan tradisi masyarakat Jawa, tetapi penggemar hidangan itu merentasi bangsa lain.

Keenakan makanan itu tidak boleh ditandingi meskipun diolah dalam pelbagai jenis hidangan yang sentiasa membuatkan rasa 'ketagih.'

Tambahan pula, kandungan protein dalam tempe lebih tinggi daripada daging dan kandungan lemaknya jauh lebih rendah, menjadikannya pilihan makanan sihat yang murah.

Kandungan nutrisi lain dalam tempe ialah kalsium, fosfat, zat besi, natrium, kalium, tiamina, tembaga, riboflavin dan niasin.

Ada satu hidangan tempe perlu dicuba kerana keenakan cita rasanya yang tersendiri iaitu tempe goreng berempah Jawa.

Penuntut institut pengajian tinggi (IPT), Munawarah Sarifudin, 22, antara yang gemar menghasilkan sajian berkenaan.

Akuinya, walaupun menggunakan 10 bahan ringkas, namun teknik penyediaan tempe itu perlu teliti dan betul.

Menurutnya, penekanan penting adalah keseimbangan rasa rempah, manis, masin dan masam pada tempe yang menjadikan hidangan itu lazat.

"Saya mempelajari resipi ini daripada nenek dan membuat beberapa percubaan sehingga berjaya menghasilkan tempe goreng berempah Jawa yang sempurna serta digemari keluarga.

"Sering kali saya diminta untuk memasak tempe ini apabila ahli keluarga berkumpul di rumah nenek kerana air tangan saya dikatakan sangat menjadi membuat tempe goreng berempah Jawa," katanya.

Kombinasi sempurna hidangan itu ialah dimakan bersama sambal kicap.

Selain itu, ia juga menjadi pembangkit selera yang sesuai dimakan bersama pelbagai jenis lauk terutama pada Ramadan.

Resipi Tempe Goreng Berempah Jawa

Bahan-bahan:

(Hidangan untuk dua orang)

- Tiga sudu besar ketumbar

- Satu sudu kecil jintan putih

- 1/2 sudu kecil jintan manis

- Seulas bawang putih

- Dua sentimeter kunyit hidup

- Satu sudu besar air asam jawa (pekat)

- 1/2 cawan air

- Satu paket tempe plastik

- Satu sudu besar gula

- 1/2 sudu kecil garam

Cara Penyediaan:

- Potong tempe mengikut saiz pilihan.

- Tumbuk ketumbar, jintan putih, jintan manis, kunyit hidup, garam dan gula hingga lumat.

- air asam jawa dan air masak bersama bahan ditumbuk.

- Gaul rata tempe dengan bahan-bahan berkenaan.

- Perap tempe selama 30 minit.

- Goreng tempe dengan api sederhana hingga warna keemasan dan sedia dihidang bersama sambal kicap.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 6:30 AM