ADAWEYA berbangga dapat mempromosikan silat menerusi teater.
ADAWEYA berbangga dapat mempromosikan silat menerusi teater.
Hafiz Ithnin


GADIS kelahiran Kedah yang membesar di Selangor ini baharu berusia 21 tahun. Sejak berusia lapan tahun lagi dia sudah mengenali dunia persilatan.

Ibaratnya, silat dan diri sudah sebati hingga sukar untuk dipisahkan. Ketika kanak-kanak lain berusia 11 tahun mungkin masih sibuk bermain tetapi tidak bagi Rabiatul Adawiyah Mohd Saigan atau mesra disapa Adaweya.

Pada usia itu dia mewakili Selangor untuk beraksi di pentas kejohanan silat membabitkan kategori solo kreatif iaitu persembahan seni silat sama ada tangan kosong atau bersenjata.

Menyumbang pelbagai kejayaan sejak di bangku sekolah rendah, akhirnya Adaweya mampu menembusi sekolah sukan di Pahang, Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Temerloh dan Sekolah Sukan Sukan Kuala Lumpur SMK Sri Titiwangsa di Kuala Lumpur untuk dilatih menjadi seorang atlet profesional.

Ketika dia di sekolah sukan, bukan silat sahaja disertainya tetapi membabitkan dua sukan lain iaitu olahraga dan bola jaring.

ADAWEYA (tengah) bersama rakan-rakan yang menjayakan Teater Tun Fatimah Seri Kandi Empayar Melaka.
ADAWEYA (tengah) bersama rakan-rakan yang menjayakan Teater Tun Fatimah Seri Kandi Empayar Melaka.

Namun, jiwanya kepada seni persilatan tidak seinci pun menipis. Akhirnya selepas tamat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Adaweya tekad untuk kembali kepada dunia seni persembahan silat dan menjadi atlet kepada Pasukan Sukan Pahang.

Pada usia yang masih muda pelbagai kejayaan dicapai antaranya meraih perak Kejuaraan Silat Kebangsaan 2022 di Johor, berjaya menembusi peringkat suku akhir Sukan Malaysia (SUKMA 2022), meraih dua emas pada Festival Antarabangsa Silat Warisan Dunia 2022 yang sekali gus dinobatkan sebagai pesilat terbaik dan meraih gangsa di dalam Pertandingan Silat Seni Terbuka Negeri Terengganu 2021.

Di sebalik pelbagai kejayaan diraih gadis muda itu sebenarnya bukan mudah kerana terdapat banyak jatuh dan bangun dilaluinya.

Pada usia yang masih muda dia perlu bekerja keras bagi memastikan prestasinya sentiasa menyinar. Kekuatan mental juga menjadi kunci utama kerana dia perlu berjauhan dengan keluarga.

Paling tidak dapat dilupakan Adaweya dan dikongsikan kepada penulis pastinya latihan 'ala ketenteraan' perlu didepani setiap kali berlatih bersama pasukan. Katanya, tidak kira dalam sakit atau penat dia sentiasa perlu bersedia untuk berlatih. Jangan ditanya mengenai kecederaan, kerana pelbagai kesakitan sudah dirasainya.

ADAWEYA ketika di Sukma 2022 menerusi kategori Solo Kreatif mewakili Pahang.
ADAWEYA ketika di Sukma 2022 menerusi kategori Solo Kreatif mewakili Pahang.

"Saya tidak pernah menyesal berada di dalam sukan ini kerana ia adalah minat yang mula disemai sejak saya kanak-kanak lagi. Saya tidak akan toleh ke belakang meskipun untuk berada di dalam pasukan kebangsaan begitu sukar untuk saya kerana masih ramai yang mempunyai bakat yang menyinar.

"Sebenarnya, seni silat ini kejayaannya bukan sekadar apabila kita mampu menempa nama di pentas kejohanan yang terdiri daripada pelbagai atlet antarabangsa kerana apabila kita mampu mengangkatnya kepada umum di atas platform lain, ia juga satu kepuasan untuk diri saya," katanya

Sejak berkongsi video persembahan seni silatnya di media sosial pada awal tahun ini, klip video persembahannya bukan ditonton satu atau dua warga maya tetapi sudah mencecah jutaan tontonan.

Bagi anak kedua daripada empat beradik itu, dia tidak menyangka klip video itu tular dan menarik perhatian pemain industri teater untuk menjadikannya sebagai bakat baharu di dalam industri itu.

"Sejak video itu tular, saya mendapat panggilan telefon daripada atlet pesilat negara, Mohd Al- Jufferi Jamari yang menawarkan saya untuk menjadi salah satu pelakon teater, Tun Fatimah Seri Kandi Empayar Melaka pada tahun ini.

DARI gelangang silat ke pentas teater memberi cabaran tersendiri untuk Adaweya.
DARI gelangang silat ke pentas teater memberi cabaran tersendiri untuk Adaweya.

"Saya diberi tanggungjawab untuk menjadi rakan baik kepada pelakon utama. Sebenarnya agak sukar dari gelanggang atlet ke dunia teater kerana ia dua dunia yang cukup berbeza. Persamaannya ialah membawa seni silat untuk dipromosikan kepada khalayak. Ia antara sebab saya menerima tawaran itu," katanya. Adaweya berkata, ketika berlakon di atas pentas teater bukan sekadar membuat persembahan seni silat yang tangkas semata-mata tetapi dia juga perlu melakukan elemen lain seperti berdialog, menyanyi dan memahami karaktor yang sudah diamanahkan.

"Meskipun saya tidak mempunyai banyak dialog tetapi ia bukan suatu perkara yang mudah kerana seni persembahan hiburan ini memerlukan kita melakonkan watak dan bersilat dengan baik.

"Saya seorang atlet dan peralihan itu memerlukan saya memahami dunia teater yang amat berbeza dengan latihan yang sudah saya lalui sejak dari kecil. Mujur, Al-Jufferi dan jurulatih serta rakan-rakan teater memberikan banyak tunjuk ajar untuk saya mampu beraksi dengan baik sepanjang tiga hari pementasan itu berlangsung," katanya.

Jelasnya, dia melihat apabila berjaya membawa watak seorang wanita yang cekap bersilat di atas pentas teater mampu mempromosikan dan mengangkat keunikan dunia silat dari perspektif yang lebih santai.

"Selain itu, pembabitan saya di dalam dunia teater ini juga membuka mata bahawa seni persilatan bukan sekadar bertanding di dalam kejohanan membabitkan atlet sahaja tetapi mampu mengangkat secara bertanggungjawab tradisi ini kepada umum.

"Apabila penonton melihat ketangkasan seorang wanita bersilat, secara tidak langsung mempromosikannya kepada lebih ramai wanita di luar sana untuk menceburi dunia persilatan yang sememangnya mempunyai cabaran tersendiri dari segi kekuatan fizikal dan emosi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 7:00 AM