AREEL bersama barisan pelakon filem Geran.
AREEL bersama barisan pelakon filem Geran.
Syanty Octavia Amry

Foto Salhani Ibrahim

SENI mempertahankan diri, silat jarang kita lihat berjaya menarik perhatian penonton dan jika ada sekalipun kelompoknya tidak besar.

Oleh itu, jarang dapat kita lihat seni silat diangkat sebagai tajuk utama dalam sesebuah cerita.

Bagi pengarah muda, Areel Abu Bakar, tindakan beraninya wajar dipuji apabila mengangkat kisah mengenai seni silat ke layar perak.

Filem Geran adalah naskhah terbaharu sedang ditayangkan di seluruh pawagam tanah air sejak 10 Oktober lalu.

Areel berkata, minat yang begitu mendalam terhadap seni persilatan membuatkan dia yakin untuk mengangkat kisah itu ke layar perak meskipun perlu berdepan risiko.

Malah dia begitu berani mempertaruhkan bakat baharu sebagai watak utama kerana keutamaannya ialah mereka yang mempunyai asas dalam seni silat.

“Sejak dulu saya memang mempunyai impian untuk membawa kisah silat ke layar perak. Saya mahu silat dimartabatkan setaraf seni mempertahankan diri lain kerana tidak semua orang memahami dunia persilatan.

ANTARA babak dalam filem Geran.
ANTARA babak dalam filem Geran.

“Saya sendiri mengalami pelbagai masalah dan ujian untuk menghasilkan filem ini disebabkan banyak pihak tidak yakin dengan jalan cerita yang ingin disampaikan apabila mengetengahkan seni silat.

“Bagi segelintir pihak silat adalah satu perkara mistik tanpa menyedari ia perlu dipertahankan sebagai tradisi milik bangsa Melayu,” katanya.

Berdepan halangan mendapatkan tajaan, filem Geran tertangguh hampir tiga tahun, namun Areel bersyukur akhirnya ia berjaya ditayangkan kepada umum.

“Apabila tiada yang sudi menaja filem ini, saya nekad meneruskannya meskipun perlu menunggu sehingga tiga tahun untuk ia disiapkan.

“Malah saya mengeluarkan modal sendiri sebanyak RM700,000 dan sedikit pun tidak menyesal dengan tindakan ini,” katanya.

Areel berkata, dia juga mempunyai perancangan menghasilkan filem Geran 2 tidak kira sama ada ia menerima kutipan tinggi atau tidak.

ANTARA babak dalam filem Geran.
ANTARA babak dalam filem Geran.

“Saya sudah mempunyai perancangan sejak awal untuk menghasilkan Geran 2, kerana tujuan utama menerbitkan filem ini adalah mengangkat seni silat.

“Sekurang-kurangnya saya dapat menunjukkan kepada generasi sekarang silat juga seni mempertahankan diri perlu dicuba oleh semua anak muda,” katanya.

Filem Geran dibintangi Namron, Fad Anuar, Khoharullah, Azlan Komeng, Taiyuddin Bakar, Aeril Zafrel, Adam Shahz dan Niezam Zaidi.

Geran mengisahkan mengenai dua sahabat baik, Pak Nayan dan Haji Daud yang juga rakan seguru dalam ilmu persilatan.

ANTARA babak dalam filem Geran.
ANTARA babak dalam filem Geran.

Disebabkan ada sejarah pahit yang berlaku di antara mereka berdua, masing-masing saling berdendam dan persengketaan terus berlarutan sehingga anak mereka meningkat dewasa.

Perkara itu secara tidak langsung turut membabitkan anak Pak Nayan dalam situasi yang semakin rumit.

Apakah yang dilakukan oleh Haji Daud kepada keluarga Pak Nayan? Saksikan Geran di pawagam berdekatan anda sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 6:00 AM