ANTARA koleksi busana Sofearose x Yusof Gani Segerak yang akan menyemarakkan pentas fesyen Art to Wear di London pada 3 April ini.
ANTARA koleksi busana Sofearose x Yusof Gani Segerak yang akan menyemarakkan pentas fesyen Art to Wear di London pada 3 April ini.
Intan Mas Ayu Shahimi


Satu kupasan imaginasi dalam perspektif dunia fesyen moden. Itu gambaran terlintas sebaik meneliti koleksi busana Sofearose x Yusof Gani Segerak yang menyemarakkan pentas fesyen Art to Wear di London pada 3 April depan.

Menghimpunkan kreativiti daripada dua karya berbeza, Sofearose menonjolkan keunikan hasil rekaan fesyen untuk wanita Islam moden hasil sentuhan pelukis prolifik negara, Prof Yusof Ghani.

Berlatarbelakangkan rona bumi seperti warna tanah, tumbuhan dan air, koleksi Art to Wear ini menonjolkan keserasian karya Ombak, Seni Tari dan Wajah milik pelukis tersohor berkenaan dalam arus fesyen semasa.

Sekilas pandang, Segerak ialah palitan kanvas Yusof Ghani yang mewah dengan warna dan garisan figura hitam. Karya penuh emosi itu bergabung dalam seni fesyen, sekali gus membuka jalan cerita baru dalam setiap rekaan yang dihasilkan.

Pengarah Urusan Sofearose, Muhammad Zaki Yusof berkata, kolaborasi dengan Yusof Ghani dijangka memberi kejutan dan inspirasi baru kepada kepada dunia fesyen Muslimah moden tempatan.

“Beliau ialah pelukis ekspresionis yang mampu menjadi pelengkap kepada konsep dibawa Sofearose. Malah, kami yakin kolaborasi ini memberi impak besar, khususnya menjulang jenama fesyen Muslimah ke persada dunia,” katanya.

Memperincikan koleksi Art to Wear Sofearose x Yusof Gani Segerak ini, Muhammad Zaki berkata, setiap busana inspirasi daripada pereka fesyen, Hilal Oguzkan yang konsisten mengetengahkan konsep modest dalam setiap karyanya.

“Sofearose membawa moto Exclusive Urban Fashion. Kami mahu menekankan gaya ringkas itu mencerminkan imej sofistikated. Dalam dunia fesyen semasa, kami komited mendekati wanita yang sentiasa mahukan kesempurnaan dalam penampilan, tetapi secara sederhana.

“Justeru, untuk koleksi sulung ini, dibawakan 12 persalinan hasil pereka tempatan. Semua busana ini menggunakan fabrik satin tafeta, sifon dan organza. Gaya mewahnya melambangkan kolaborasi dua pengkarya seni.

“Fabrik satin tafeta dan organza dipilih sebagai elemen utama untuk menyerlahkan potongan busana serta menonjolkan sisi feminin setiap rekaan di samping perincian sulaman eksklusif sebagai kemasan akhir,” katanya.

Pertunjukan fesyen solo berkenaan dijadualkan berlangsung di Asia House, New Cavendish Street London bulan depan. Pentas peragaan itu dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 6:01 AM