LIMA pelajar terbabit bergambar bersama pasukan KLIFW 2016.
LIMA pelajar terbabit bergambar bersama pasukan KLIFW 2016.
Fatin Farhana Japre


Lima pelajar Universiti Limkokwing dari Fakulti Fesyen dan Gaya Hidup Kreativiti mempamerkan busana rekaan mereka di Kuala Lumpur Indie Fashion Week (KLIFW) 2016 di Blackbox, Publika, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bertemakan ‘Music VS Fashion’, acara berkenaan bertujuan memerangi penyakit kanser dan menyediakan platform rangkaian untuk bakal usahawan dalam industri muzik dan fesyen di Malaysia.

Oleh itu, Kuala Lumpur Indie Fashion Week bekerjasama dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bagi menunjukkan sokongan kepada pesakit kanser menerusi seni dan fesyen.

Menariknya, pesakit kanser diberi peluang memakai busana rekaan yang dihasilkan lima pelajar terbabit berkonsepkan kekuatan melawan kanser.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KLIFW Alvin Sinclair, acara itu menekankan kepentingan kebebasan dan menyokong pesakit kanser dengan memberi semangat kepada pesakit melalui seni serta fesyen.

“Cara terbaik untuk merealisasikannya adalah mendapatkan pereka dari Universiti Limkokwing untuk mereka bentuk pakaian.

“Pereka terbabit membuat rekaan khas yang mencerminkan pengalaman dan kekuatan pesakit melawan kanser,” katanya.

Sementara itu, pereka Universiti Limkokwing, Ng Ken Leon, berkata pengalaman ini sangat bermakna buat dirinya kerana dia banyak mendapat pendedahan mengenai industri fesyen yang sebenar.

“Selain mendapat banyak pendedahan mengenai industri fesyen, acara ini juga mengajar saya untuk menilai kehidupan dan menghargai kekuatan pesakit melawan kanser,” katanya.

Universiti Limkokwing memang menggalakkan pelajar menyertai pertandingan berkaitan bidang masing-masing untuk membina kenalan secara rangkaian sekali gus mendapat pengalaman dalam industri sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 5:24 AM