PEMBUKAAN kreatif Aina Sohia dan Aini Sophie.
PEMBUKAAN kreatif Aina Sohia dan Aini Sophie.
Nurul Husna Mahmud


PENAMPILAN 'super model' Bella Hadid mengenakan solekan ringkas sambil mengenakan baju besar berkali ganda dari tubuhnya masih 'dipuja' gaya sempurna dan menjadi ikutan gadis atau wanita serata dunia.

Trend itu kerap dikaitkan dengan gaya jalanan urban dalam kalangan masyarakat Afrika-Amerika menular sehingga ke Malaysia akibat pengaruh muzik hip hop popular di sini pada penghujung era 90-an dan awal tahun 2000.

Seperti muzik, gaya fesyen jalanan ada pasang surutnya dan gaya 'oversize' mula kembali popular apabila ramai ikon barat mahupun Asia memilih ia sebagai pilihan kasual mereka.

Terbaru dalam pertunjukan My Gaya Month 2023 di ibu negara menyaksikan gaya jalanan terbabit mendominasi pentas peragaan kali ini.

Gaya jalanan pereka Ghadeez iaitu pasangan kembar, Aina Sophia dan Aini Sophie Shamsol Zailan menerusi konsep 'oversize denim' dalam rekaan pakaian dihasilkan berjaya mencuri tumpuan.

Kata Aina Sophia, dia dan kembarnya mengetengahkan rekaan berdasarkan kesesuaian serta keselesaan untuk gaya orang muda masa kini.

"Oversize' bermaksud potongan yang besar dan longgar sesuai untuk pelbagai bentuk tubuh serta golongan kerana boleh digayakan mengikut cita rasa atau personaliti masing-masing.

"Kami meraikan idea rekaan ini sesuai untuk dipadan atau disesuaikan kerana jika Muslimah, baju ini masih memenuhi syarat patuh syariah berdasarkan potongan longgar.

"Begitu juga mereka yang berani atau 'daring' boleh tonjol dengan cara tersendiri. Contohnya hanya mengenakan kemeja denim bersama aksesori tali pinggang atau but sudah memadai," katanya.

Meskipun gaya kasual itu bersahaja menerusi potongan baju yang longgar dan gaya londeh, tidak bermakna setiap rekaan dihasilkan secara semberono.

Kata Aina Sophia, ia mengambil masa sebulan dari idea sehinggalah pilihan rekaan yang sesuai untuk konsep terbabit.

"Ilham atau konsep 'oversize' adalah cetusan ibu tercinta, Hasni yang banyak memberi idea dan menyumbang dalam kajian rekaan kali ini.

"Di samping itu kami banyak merujuk Youtube bagaimana untuk menghasilkan lukisan tangan ke atas denim.

"Kami mengambil masa sebulan untuk siapkan koleksi termasuk lakaran seni rekaan di mana sebahagian itu kami berdua lukis sendiri. Proses lain rumit juga ialah proses tampalan batik pada jaket dan denim," katanya.

Sementara itu, adiknya, Aini Sophie yang juga kerap tampil menjadi model kepada beberapa nama besar industri itu sejak 2017 berkata, dia percaya dengan naluri dan cita rasa dalam penghasilan rekaan 'oversize.'

"Saya berasa lapan gaya ditampilkan untuk 'oversize denim' adalah variasi. Ia juga sesuatu yang kami sendiri akan pakai dan gayakan.

MASIH kemas biarpun longgar.
MASIH kemas biarpun longgar.

"Walaupun saya dan Aina Sophia tiada latar belakang formal dalam rekaan fesyen tapi 'sense' mengenai apa gadis atau wanita suka pakai itu yang kami tahu.

"Ia juga berdasarkan pengalaman saya sendiri menjadi model dan kerap menggayakan baju rekaan orang lain sentiasa terdedah dengan trend terkini," katanya yang juga pernah memenangi Pencarian Gadis Melayu.

Meskipun rekaan baju kali ini hasil inspirasi rekaan jalanan berasal dari Barat, ia masih diberi nafas bercirikan tempatan untuk pemilihan material.

"Kelebihan dalam penghasilan baju ini ialah material selesa dan tidak terlalu tebal untuk cuaca persekitaran.

"Skema warna dan juga potongan besar dikekalkan baik untuk gaya satu atau dua helai pakaian.

"Kami selalu fikirkan keselesaan ciri-ciri utama yang mana baju ini sesuai untuk digayakan dalam apa juga keadaan termasuklah untuk acara semi formal atau kasual asalkan padanan betul," katanya.

Bagi membuktikan pakaian itu selesa, Aini Sophie berkata, dia dan Aina Sophia tampil kreatif dengan persembahan tarian di pembukaan sesi peragaan baju.

"Gimik saya dan Aina membuat persembahan tarian dengan 'vibe' jalanan untuk orang faham konsep baju ini mudah, selesa dan fleksibel digayakan.

"Mereka juga boleh gayakan dengan kreatif mengikut personaliti masing-masing," katanya.

Aini Sophie dan kembarnya ketika ini masih mengikuti pengajian dalam bidang Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 7:00 AM