WARNA gelap lebih formal.
WARNA gelap lebih formal.
PERINCIAN sesuai pada busana kosong membuatkan blaus tampak menonjol.
PERINCIAN sesuai pada busana kosong membuatkan blaus tampak menonjol.
Nurul Husna Mahmud


BLAUS berbeza dengan kemeja-T kerana masih boleh digayakan untuk penampilan semi formal dan sebagai pakaian ke pejabat.

Potongan blaus yang memiliki perincian tertentu sama ada ringkas mahupun kemasan seperti ropol dan sulaman perlu digayakan dengan padanan sesuai supaya tampak menarik.

Blaus juga menjadi pilihan ramai wanita kerana gaya feminin selain potongan longgar menyerlahkan imej sopan.

Dalam pelbagai rekaan blaus, tidak dinafikan ada segelintir rekaan terlalu matang sehingga terlalu 'berat' untuk digayakan.

Terutama mereka yang memiliki figura tubuh lebih berisi atau rangka besar menyebabkan pemakaian blaus tertentu boleh menjejaskan penampilan wanita terbabit.

Tersalah pilihan padanan juga boleh menjejaskan penampilan dan gaya wanita sehingga kelihatan lebih tua daripada usia sebenar.

Konteks penggayaan blaus untuk tampak profesional dan matang perlu mengikut penggayaan yang sesuai.

Dalam pemakaian blaus ada beberapa tip boleh digunakan membantu penampilan tampak menonjol atau tidak dikatakan 'ala mak cik-mak cik'.

KONSEP atau padanan tampak lebih muda.
KONSEP atau padanan tampak lebih muda.

1. Elak pilihan bunga penuh atau potongan besar untuk pemakai berbadan besar

Motif bunga antara corak menjadi pilihan utama dalam menghasilkan busana wanita termasuk blaus.

Namun, ada corak flora yang boleh menampakkan usia lebih tua terutama potongan bunga besar dan rapat.

Sebaiknya pilihan bunga kecil dan tidak sarat dan ia lebih sesuai untuk pemakai berbadan besar kerana membantu memberi visual lebih comel dan muda.

Gunakan kombinasi warna latar lebih gelap dan bunga lebih pastel atau cerah.

2. Blaus warna kosong dengan perincian pada bahu lebih menarik

Blaus kosong sesuai digayakan dalam acara formal atau kasual.

Namun, terlalu kosong juga boleh menjadikan gaya itu terlalu bosan. Cari blaus dengan perincian bahu menarik untuk membuatkan gaya lebih menonjol.

Kalau tidak, dengan penggayaan kerongsang atau aksesori boleh membantu memberi personaliti kepada gaya blaus terbabit.

MOTIF flora tidak sarat membuatkan blaus tampak muda.
MOTIF flora tidak sarat membuatkan blaus tampak muda.

3. Labuh blaus yang sesuai

Pemakaian blaus dengan labuh yang kurang sesuai boleh menyebabkan individu nampak lebih pendek dan berisi.

Bagi mengelakkan blaus yang digayakan tampak seperti gaya wanita berusia, mungkin anda boleh tambahkan 'siluet' contohnya masukkan dalam seluar dan beri sedikit jatuhan pada hujung blaus.

Kalau tidak pun boleh gunakan aksesori seperti tali pinggang atau rantai panjang untuk beri visual pada pinggang pemakai.

PADANAN denim membuatkan penggayaan lebih muda.
PADANAN denim membuatkan penggayaan lebih muda.

4. Padanan selamat ialah seluar denim satu ton atau seluar khaki

Blaus bunga penuh dan longgar boleh tampak ranggi dengan padanan seluar denim satu ton. Pilihan rona yang gelap boleh memberi keseimbangan supaya tampak masih formal.

Jika menggunakan rona lebih cerah, gaya blaus boleh menonjol dan tampak lebih muda. Selain itu, seluar khaki yang ranggi juga membuatkan persona pemakai lebih muda walaupun pemilihan blaus digayakan terlalu matang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 6:20 AM