Pakar psikologi dan kanak-kanak Amerika Syarikat, Arnold Gesell memperkenalkan teori perkembangan manusia dipengaruhi faktor kematangan.
Pakar itu merujuk terdapat pola dan aturan dalam perkembangan, tetapi ia berbeza mengikut individu.
Teori terbabit turut menekankan kematangan kanak-kanak juga boleh dipengaruhi faktor genetik dan persekitaran.
Pakar kanak-kanak tempatan, Jameyah Sheriff pula berkata, kematangan kanak-kanak masih berbeza dengan dewasa kerana faktor perkembangan kognitif.
Kematangan kanak-kanak masih perlukan bimbingan ibu bapa yang sewajarnya dalam mengelak konflik mental dan emosi berbanding fizikal yang boleh dikesan permasalahannya.
"Isu kematangan kanak-kanak selalu digambarkan menerusi penampilan dan tingkah laku mereka yang gemar meniru orang dewasa.
"Persepsi orang ramai apabila kanak-kanak mahukan baju cantik dan diri disolek, ramai terus membuat kesimpulan golongan itu matang.
"Sebenarnya anak itu hanya meniru sebelum memahami konteks sebenar perlakuan mereka.
"Sebagai contoh dalam isu sesetengah ikon kanak-kanak baik pelakon, pempengaruh atau anak kepada selebriti terdedah dengan penampilan golongan dewasa cantik dan sebagainya.
"Tidak bermaksud objektif atau gambaran mereka mahu mengenakan gaya yang sama seperti ibu bapa kerana mahu tumpuan orang ramai. Mungkin mereka hanya mahu pakaian yang sama dengan ibu bapa," katanya.
Oleh itu, golongan dewasa masih perlu melayan kanak-kanak sepadan dengan usianya termasuk memberi persekitaran sosial selayaknya untuk kanak-kanak.
Kata Jameyah, kanak-kanak dilayan seperti dewasa menyebabkan mereka boleh memberontak dan tidak bertanggungjawab.
"Konflik atau krisis kanak-kanak yang tidak puas melalui proses menjadi matang hanya berlaku pada peringkat fasa perkembangan contohnya remaja dan awal dewasa.
"Peringkat ini cukup mencabar kerana ada unsur memberontak atau ego kerana mereka sudah mempunyai buah fikiran sendiri.
"Mereka tidak teragak-agak menonjolkan emosi agresif kerana ada sebahagian keperluan emosi tidak dipenuhi ketika zaman kanak-kanak.
"Biasanya mereka menderita pelbagai isu termasuk berisiko mengalami tekanan dan kemurungan kerana alam dewasa gagal memenuhi keperluan mereka," katanya.
Pakar itu juga menasihati ibu bapa tidak meletakkan harapan dan jangkaan tinggi terhadap kanak-kanak.
"Sikap ibu bapa yang mengambil kesempatan daripada kecerdasan anak-anak juga salah satu perbuatan salah yang kerap dilakukan golongan dewasa.
"Tidak dinafikan kecerdasan kanak-kanak terutama seawal usia tiga tahun bersedia 'menyerap' setiap maklumat diberikan kerana kemampuan otak sebagai 'span' ketika itu sangat efisien.
"Tetapi, dari segi kefahaman, kanak-kanak belum dapat mencapai tahap sempurna menyebabkan keinginan tinggi ingin tahu membawa kepada salah faham.
"Saya merujuk kepada akses maklumat masa kini yang terlalu luas menyebabkan kanak-kanak golongan paling cepat terdedah kepada bahan yang salah.
"Tanpa golongan dewasa, mereka boleh melakukan kesilapan terutama dalam hubungan sosial," katanya.
Justeru bimbingan ibu bapa perlu selari dengan keperluan kanak-kanak meskipun kematangan dilihat pada perlakuan anak mereka.
Jameyah berkata, kematangan perlu diimbangi dengan tanggungjawab dan penghargaan supaya ia mengharmonikan elemen perkembangan yang ada.
"Anak apabila didedahkan dengan tanggungjawab sebagai pembantu ibu bapa dalam urusan seharian, ia boleh meningkatkan rasa tanggungjawab.
"Ia positif apabila anak itu diberi ruang lakukan tugasan di rumah contohnya bancuh susu untuk adik, menguruskan tempat tidur atau memasak bersama.
"Beri penghargaan atas usaha mereka supaya mereka berasa lebih bertanggungjawab dan ini juga membentuk empati tinggi selain sikap toleransi," katanya.
INFO
Lima peringkat berdasarkan teori Arnold Gesell mengenai perkembangan kanak-kanak dalam tempoh lima tahun
Pertama (0-setahun)
Kedua (satu hingga dua tahun)
Ketiga (dua hingga tiga tahun)
Keempat (tiga hingga empat tahun)
Kelima (empat hingga lima tahun)