IDEA unik tukar bas mini terpakai jadi perpustakaan mainan bergerak.
IDEA unik tukar bas mini terpakai jadi perpustakaan mainan bergerak.
Nurul Husna Mahmud


INGINKAN kanak-kanak tidak terkecuali mendapat hak bermain, antara pencetus kepada idea unik iaitu menukar bas mini terpakai menjadi perpustakaan mainan bergerak.

Selain Presiden Toy Libraries Malaysia (TLM), Datin Wong Poai Hong, koordinator program Jameyah Sheriff antara paling teruja dengan projek Re Play Toy Bus yang menyantuni komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini sempena cuti sekolah.

Kata Jameyah, dia bersama Wong melihat permainan antara terapi yang terbaik dalam membentuk nilai positif dan lingkungan sosial sihat dalam perkembangan kanak-kanak.

Bagi menangani pelbagai permasalahan sosial terutama membabitkan kanak-kanak daripada keluarga B40, pendekatan menerusi akses kepada permainan dilihat dapat menyemai nilai-nilai positif.

"Hak kanak-kanak selain pendidikan adalah permainan kerana itu naluri semula jadi selain satu fasa penting dalam perkembangan diri mereka baik fizikal dan mental.

"Situasi semasa yang mana ramai kanak-kanak terutama datang daripada keluarga B40 ataupun yang tidak mendapat akses yang sewajarnya mengikut perkembangan mereka menyebabkan diri mereka ini terjerumus dalam aktiviti kurang sihat.

"Selain itu, persekitaran tempat tinggal, ruang lingkup sosial dan kitaran keluarga yang tidak mampu menyediakan keperluan termasuk alat permainan.

"Hasrat saya bersama persatuan TLM supaya semua kanak-kanak yang tinggal di flat, perumahan awam atau pedalaman mendapat peluang akses menerusi program Re Play Toy Bus iaitu bas boleh digerakkan ke kawasan sasaran," katanya.

KANAK-kanak teruja dengan ‘ketibaan’ perpustakaan permainan bergerak.
KANAK-kanak teruja dengan ‘ketibaan’ perpustakaan permainan bergerak.

Tambah Jameyah, hasrat itu tercapai apabila ada pihak sanggup menyumbang bermula dengan pemberian bas mini lama secara percuma untuk diubah suai menjadi perpustakaan permainan bergerak pada Mac tahun lalu.

"Tahun lalu, syarikat pengiklanan menawarkan bas terpakai secara percuma bagi tujuan murni itu dan kemudian mendapat suntikan iaitu geran dari Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) sebanyak RM50,000 dalam membantu kerja ubah suai selain melengkapkan perabot dan peralatan iaitu permainan serta buku.

"Tidak kurang juga kami menerima sumbangan dari orang perseorangan dalam bentuk barangan yang mana membantu memperbanyakkan koleksi permainan untuk kanak-kanak dari usia bayi sehingga 18 tahun.

"Kami memilih kumpulan umur yang pelbagai kerana komuniti kami memiliki pelbagai kelompok umur. Tidak lupa menyertakan pembabitan ibu bapa untuk turut sama turun bermain bersama anak mereka.

PENGISIAN aktiviti yang menyeronokkan menjadi penarik kepada penyertaan kanak-kanak.
PENGISIAN aktiviti yang menyeronokkan menjadi penarik kepada penyertaan kanak-kanak.

"Bukan sahaja kanak-kanak, kami percaya golongan dewasa terutama ibu bapa yang bermain bersama anak dapat merapatkan hubungan keluarga secara semula jadi," katanya.

Menyentuh kapasiti dapat ditampung pihaknya, kata Jameyah, pihaknya sedaya upaya mencapai seramai mungkin dan menggunakan bas sebagai 'medium' membantu memudahkan capaian itu.

"Biarpun kapasiti kanak-kanak dalam bas hanya mampu memuatkan semaksimum 15 orang satu masa, tetapi pendekatan boleh dipelbagaikan untuk mencapai lebih ramai kanak-kanak dalam satu masa.

"Sebagai contoh program pertama di PPR Lembah Subang 2, saya bersama Datin PH Wong dibantu sukarelawan menyantuni lebih 300 peserta dengan bantuan sukarelawan.

STESEN permainan untuk remaja juga disediakan.
STESEN permainan untuk remaja juga disediakan.

"Kami buka khemah untuk stesen permainan tambahan dan kemudian panggil ibu bapa untuk turut sama bermain dengan anak mereka. Ada juga aktiviti lain disediakan untuk kanak-kanak dan tidak tertumpu kepada permainan kami bawa semata-mata,"katanya.

Program terdekat bakal dijalankan ialah pada Sabtu ini apabila menyantuni masyarakat PPR Sri Perak Sentul dengan kolaborasi Kelab Belia Sri Perak.

Menurut penaung kelab itu, Mohd Helmie Mohamad Arof, pihaknya melihat kerjasama dengan pihak TLM dapat mencipta persekitaran lebih baik dan sihat buat kanak-kanak yang menetap di perumahan di kawasan bandar.

"Persepsi masyarakat mengenai kanak-kanak flat sebenarnya masih berkisar mengenai masalah sosial dan antara golongan mudah terjebak dalam permasalah di luar.

KANAK-kanak boleh bersosial dengan ‘sihat’ bersama rakan sebaya.
KANAK-kanak boleh bersosial dengan ‘sihat’ bersama rakan sebaya.

"Apabila ada usaha sebegini iaitu penganjuran program oleh pihak tertentu seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi dan korporat membantu menyediakan persekitaran lebih sihat dan positif untuk kanak-kanak.

"Apatah lagi ketika cuti sekolah, inisiatif ini dapat menarik perhatian kanak-kanak sehinggalah belia iaitu dengan bermain dan sukan. Ini dapat mengurangkan pembabitan mereka dalam aktiviti yang tidak sihat," katanya.

Tambahnya lagi pendekatan unik menerusi permainan lebih mudah untuk mendekati generasi muda yang selama ini lebih 'akrab' dengan gajet.

"Satu lagi kebaikan yang saya perasan apabila kanak-kanak berjaya ditarik untuk sertai aktiviti dan bermain, mereka tidak 'dibelenggu' keresahan akibat tiada penggunaan gajet.

"Permainan juga boleh menyemai disiplin atau nilai-nilai murni apabila aspek itu didedahkan secara tidak langsung menerusi aktiviti dan permainan," katanya.

Beliau menjangkakan program 'World Play Day' pada 11 Jun ini mencapai sasaran iaitu sekurang-kurangnya 300 kanak-kanak dari PPR Sri Perak dan perumahan sekitar dapat disantuni.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 6:20 AM