BERSENAM dapat mengurangkan risiko Sarkopenia iaitu kehilangan otot disebabkan faktor usia.
BERSENAM dapat mengurangkan risiko Sarkopenia iaitu kehilangan otot disebabkan faktor usia.
Suliati Asri


RAMAI dalam kalangan wanita berusia 35 tahun ke atas terutama yang sudah berkeluarga, mempunyai anak yang sedang membesar dan sibuk dengan kerjaya kurang mengutamakan senaman.

Kekangan masa, sibuk dengan urusan rumah tangga dan kerjaya antara faktornya walaupun hakikatnya bersenam boleh dilakukan di rumah atau di mana-mana saja.

Ramai yang tidak menyedari, di kala usia semakin meningkat inilah senaman semakin penting.

Ketua Operasi AHB Wellness Sdn Bhd, Khairunnisa Mazlan, 35, berkata, kita bersenam untuk jaga kesihatan dan untuk kecergasan.

Katanya, ada satu salah faham yang mengatakan bahawa melakukan kerja rumah termasuk mengemas dan menyapu dianggap sebagai senaman.

"Fahaman itu sebenarnya tidak benar walaupun kita rasa penat kerana senaman yang betul sebenarnya adalah apabila jantung kita mula mengepam darah dengan lebih cepat.

"Secara tidak langsung, oksigen dalam darah kita akan bergerak ke seluruh badan. Barulah kita akan merasa segar dan senaman yang kita lakukan memberi kesan," katanya.

Mempunyai pengalaman tiga tahun menguruskan pusat kecergasan khusus untuk wanita iaitu Curves, Khairunnisa berkata, wanita perlu bersenam kerana mereka adalah sumber kekuatan keluarga.

Katanya, andai seseorang ibu itu sakit, mereka tetap akan menguruskan rumah tangga dan anak-anak.

"Ibaratnya, ibu ini tidak boleh sakit kerana ia akan memberi kesan kepada keluarga.

"Kerana itu, senaman sangat penting untuk wanita terutama ibu tidak hanya untuk kekal sihat tetapi cergas.

"Namun, apa yang lebih penting sebenarnya adalah menjaga diri sendiri," katanya ketika ditemui di Curves cawangan Setia Alam, Selangor baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Khairunnisa berkata, wanita sebenarnya perlu menyayangi diri sendiri sebelum orang lain.

Jadi dengan bersenam, ia dapat mengurangkan risiko Sarkopenia iaitu kehilangan otot disebabkan faktor usia.

"Apabila bersenam, ia akan memberi tenaga dan kekuatan kepada tubuh sekali gus membolehkan kita melaksanakan kerja-kerja rumah dengan baik.

"Bersenam juga membantu wanita menjaga kesihatan mental. apabila mental kita sihat dan cergas, kita boleh menguruskan rumah tangga dengan baik. Inilah yang sebaiknya untuk wanita," katanya.

Di Curves, kitaran senaman yang lengkap untuk wanita hanya mengambil masa selama 30 minit dan menariknya, ia mempunyai jurulatih untuk membantu wanita bersenam.

Sementara itu, jurulatih kecergasan Nur Shafiqa Zainal Abidin, 24, berkata, tidak mempunyai masa sentiasa menjadi 'alasan' untuk golongan wanita tidak bersenam.

Namun menurutnya, banyak jenis senaman yang boleh dilakukan di rumah dan memadai bersenam selama lima minit sahaja.

"Ia boleh dilakukan sama ada menggunakan peralatan bersenam atau tidak. Tetapi kita perlu menitik beratkan senaman yang khusus untuk latihan berat badan.

"Antaranya ialah tekan tubi, plank dan banyak lagi yang menggunakan berat dari badan kita sahaja.

"Senaman juga boleh dilakukan dengan mengikuti program senaman di Youtube seperti zumba dan sebagainya," katanya.

BERSENAM mampu mengurangkan tekanan.
BERSENAM mampu mengurangkan tekanan.

Nur Shafiqa berkata, ramai dalam kalangan wanita susah untuk bersenam kerana pertama, mereka tidak mempunyai motivasi.

"Selain itu, tidak mempunyai sokongan untuk bersenam juga menjadi punya selain sibuk dengan kerjaya dan anak-anak," katanya yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam Sains Sukan.

Diminta untuk memberi sedikit tip kesihatan Nur Shafiqa berkata, selain bersenam, penjagaan pemakanan juga sangat penting.

Katanya, untuk kekal sihat, penjagaan pemakanan dan bersenam adalah sangat melengkapi dengan 80 peratus penjagaan pemakanan dan 20 peratus senaman.

"Jika kita bersenam saja misalnya, ia bukan tidak berkesan tetapi hasilnya lambat.

"Selain itu, penjagaan emosi juga penting. Dengan bersenam, tubuh kita akan mengeluarkan hormon kortisol yang mana akan mengurangkan tekanan kita.

"Kalau kita tidak bersenam, ia akan membuatkan kita lagi stres. Kalau mengikut fakta pun, orang yang bersenam akan lebih ceria berbanding mereka yang tidak bersenam," katanya.

Disamping itu juga, melakukan pemeriksaan berkala di klinik atau hospital adalah penting.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 7:00 AM