TIDUR mencukupi meningkatkan sistem imun.
TIDUR mencukupi meningkatkan sistem imun.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


APABILA meningkat usia, ramai akan mula mengalami gejala awal penyakit sendi atau saraf seperti kebas, sakit lutut, sakit belakang dan sebagainya.

Keadaan ini bukanlah perkara yang pelik kerana majoriti individu berusia akan mengalami penyakit seiring dengan peningkatan umur.

Tahukah anda, terdapat beberapa tip untuk kekal sihat yang boleh diamalkan sekarang untuk mengurangkan masalah sakit sendi dan saraf pada usia tua kelak.

Jurupulih anggota 'Flex Physiotherapy' Wan Muhamad Zahid Wan Zullkefli, berkongsikan tip penting ini kepada anda.

1. Amalkan pemakanan sihat

Langkah paling penting dalam usaha mengekalkan kesihatan ialah melalui pengamalan cara pemakanan yang berkhasiat.

Makanlah mengikut panduan piramid makanan dan suku-suku-separuh.

Sebab apa?Kerana panduan piramid makanan sudah merangkumi semua nutrien diperlukan tubuh dalam kadar yang betul.

Pengambilan terlalu banyak makanan tidak sihat yang tinggi kandungan garam, gula dan lemak akan berkait dengan masalah kesihatan serius seperti risiko kegemukan, masalah pencernaan, penyakit jantung, angin ahmar, kencing manis serta barah.

Pastikan minum air secukupnya iaitu lapan gelas sehari. Air sangat penting untuk menghidratkan semula tubuh.

Minum air secukupnya boleh menjadikan kulit lebih lembut, anjal dan sekali gus kelihatan awet muda.

Alternatif lain boleh makan makanan yang mengandungi air iaitu buah-buahan seperti tembikai.

KURANGKAN berat badan dapat elak penyakit kronik.
KURANGKAN berat badan dapat elak penyakit kronik.

2. Kurangkan berat badan

Masalah berat badan berlebihan adalah punca utama yang menyebabkan kita berisiko menghidap pelbagai masalah kesihatan.

Antaranya seperti tekanan darah tinggi, tinggi kolesterol, kencing manis jenis dua, penyakit jantung, angin ahmar dan sakit lutut.

Perkara paling ramai terlepas pandang ialah berat badan berlebihan menyebabkan terjadinya masalah sakit lutut.

Sebabnya kerana, berat badan berlebihan menekan sendi lutut.

Maksudnya, sendi lutut tidak mampu menampung berat berlebihan dan menyebabkan ruang serta tulang rawan lutut semakin menipis.

Akhirnya, terjadilah masalah radang sendi lutut.

Oleh itu, sekiranya mengalami masalah berat badan, langkah pertama yang harus dilakukan ialah cuba menurunkan berat badan.

Kalau tidak boleh, elakkan daripada menambahkan berat badan sedia ada.

3. Rehat

Rehat yang mencukupi sangat penting kerana proses membaik pulih badan akan berlaku setiap kali ketika tidur malam.

Setelah menjalani rutin harian yang sibuk, hendaklah mendapatkan tidur secukupnya iaitu antara tujuh hingga lapan jam sehari supaya otot badan dan otak dapat berehat.

Apabila cukup berehat, bukan sahaja membuatkan kita segar dan bertenaga malah tidak mudah jatuh sakit.

Ini kerana tidur yang cukup boleh meningkatkan sistem imun badan.

Sibuk sekalipun, jangan lupa tidur secukupnya.

4. Bersenam

Bersenam sangat penting untuk kesihatan. Tidak perlu secara drastik, mulai dengan senaman ringan dan terus konsisten.

Seperti yang diketahui, kebaikan bersenam dapat membantu melancarkan peredaran darah, melegakan tekanan dan mengawal kadar gula dalam darah.

Tambahan lagi, senaman yang konsisten dan betul memperbaiki kesimbangan badan, kesan awet muda serta ketumpatan tulang lebih padu.

Cara hendak konsisten bersenam, carilah masa sekurang-kurangnya tiga hari seminggu untuk bersenam selama 30 minit atau satu jam.

Detoks tubuh secara semulajadi dengan mengeluarkan peluh.

Jika tidak berkesempatan bersenam, cuba lakukan perkara yang membuatkan badan berpeluh dan aktif seperti berkebun, kemas rumah dan sebagainya.

Nampak kecil tapi ia mampu mengubah tahap kesihatan jika dilakukan setiap hari.

FISIOTERAPI adalah rawatan dapat mengurangkan kesakitan.
FISIOTERAPI adalah rawatan dapat mengurangkan kesakitan.

5. Rawatan fisioterapi

Apabila mulai sakit sakit badan, cuba ikhtiar untuk mencari solusi atau penyembuh kerana tidak mahu kesakitan ini berlarutan dan mengganggu kerja harian.

Rawatan terbaik ialah dengan rawatan fisioterapi. Ahli fisioterapi akan merawat punca kesakitan melalui kaedah manual terapi, elektroterapi dan juga senaman.

Oleh itu, jika kesakitan sudah berkurangan, maka bolehlah kembali aktif dan cergas.

Walaupun individu masih lagi muda tetapi sudah mengalami sakit badan, bolehlah berjumpa pakar fisioterapi dan membuat rawatan fisioterapi.

Ini kerana, ia dapat membantu mengurangkan kesakitan dialami dan mengelakkan sakit itu berlanjutan sehingga ke usia tua.

Oleh itu, setiap individu perlu menjaga kesihatan sejak muda kerana kesihatan adalah aset sangat berharga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 6:35 AM