Nurul Hidayah Bahaudin dan Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Mayat dua beranak yang juga mangsa ke-17 dan ke-18 insiden tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di sini, hari ini, ditemukan dalam keadaan berpelukan antara satu sama lain.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, dua mangsa membabitkan seorang wanita dan anak perempuannya dianggarkan berusia antara tiga hingga empat tahun ditemui jam 4.40 petang di Sektor C Riverside.

"Seorang lagi mangsa ditemui di sektor sama selepas dikesan anjing pengesan (K9) dan usaha membawa keluar mayat berkenaan sedang giat dijalankan.

"Ia menjadikan jumlah keseluruhan mangsa meninggal dunia yang ditemui seramai 19 orang dan 14 lagi individu masih hilang sedang dikesan," katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah berkata, 16 mayat mangsa yang ditemui sehingga jam 1 tengah hari tadi pada mulanya dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Bagaimanapun, semua mayat mangsa dipindahkan ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

"Mana-mana pihak yang mahu membuat pengecaman diminta datang ke Hospital Sungai Buloh atau datang ke lokasi untuk berhubung dengan komander operasi," katanya.

Ditanya sama ada operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) akan diteruskan sehingga waktu malam, beliau berkata, pihaknya sedang berbincang dengan pihak bomba berhubung perkara itu.

"Pada waktu malam, pastinya ada halangan dari segi cuaca, teknikal dan faktor keadaan gelap sekali gus menyebabkan ancaman yang tidak nampak.

"Jika keadaan cuaca tidak mengizinkan, kami mungkin akan menangguhkan operasi ini pada waktu malam," katanya.

ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari mangsa tragedi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Batang Kali. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari mangsa tragedi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Batang Kali. FOTO Ihsan Bomba

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 6:09 PM