LOWENA (depan, tengah) bersama pasukannya selepas melakukan pertunjukan pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023. FOTO Nuraliawati Sabri
LOWENA (depan, tengah) bersama pasukannya selepas melakukan pertunjukan pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Melaka: "Meskipun sedih dan sayu melihat keadaan mayat ibu dan anak yang berpelukan di bawah runtuhan itu membuatkan saya bersama pasukan lebih bersemangat meneruskan misi mencari mangsa," kata Pegawai Bomba Lowena Crystalynn William, daripada Pasukan Khas Operasi Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).

Bertugas di Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur, gadis berusia 23 tahun itu berkata, terbabit dalam misi mencari dan menyelamat tragedi cerun runtuh di Batang Kali yang membabitkan 92 mangsa pada Disember 2022 adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Katanya, walaupun berdepan dengan cabaran pergerakan tanah yang berkemungkinan boleh berlaku runtuhan lain tetapi dirinya nekad terus mencari dengan mengenepikan rasa penat.

"Perlu menggali tanah dengan kedalaman yang tidak pasti untuk mencari mangsa sudah tentu bukan kerja yang mudah tetapi rasa penat itu hilang apabila kami dapat menemui mangsa, selain ibu dan anak itu saya turut menjumpai mayat kanak-kanak pada penghujung operasi.

"Naluri seorang wanita sudah pasti jauh di sudut hati tersentuh melihat momen itu tetapi demi tugas dia cekalkan diri meneruskan tugas," katanya.

Lowena ditemui pada Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 yang berlangsung di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, di sini, hari ini.

Anak kelahiran Papar, Sabah itu berkata, walaupun menyedari tugas sebagai anggota STORM bukan mudah tetapi kerana minat dia berjaya membuktikan wanita mampu untuk turut serta dalam pasukan elit itu.

"Sejak dari bangku sekolah lagi saya memang minat dengan badan beruniform dan hasrat itu tertunai apabila berjaya menjadi seorang anggota bomba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 3:50 PM