Suliati Asri


KETIKA cuti sekolah, rata-rata ibu bapa yang bekerja akan membawa anak-anak bercuti, mengunjungi taman tema terkemuka bagi meluangkan masa berkualiti.

Dek kerana tidak sempat untuk meneliti dan memberi tumpuan kepada pembelajaran pula, ibu bapa menghantar anak-anak mengikuti kelas tambahan

Namun, disebabkan masalah kewangan yang dihadapi, ada ibu bapa yang terpaksa melupakannya.

Tiada lagi percutian tiap kali cuti sekolah, kehidupan mewah bertukar sederhana dan kelas tambahan juga diberhentikan.

Jika diamati, perkara itu biasa saja dan ia tidak memberi impak kepada kehidupan. Namun tidak bagi kanak-kanak terutama mereka yang sudah terbiasa dengan keadaan itu.

Tanpa sedar, masalah itu juga sebenarnya memberi kesan kepada anak-anak terutama dari segi psikologi dan emosi lebih-lebih lagi jika ia tidak ditangani dengan baik.

Pakar Psikologi Kanak-kanak, Dr Noor Aishah Rosli berkata, walaupun masalah kewangan ini dilihat sebagai masalah ibu bapa saja tetapi ia turut memberi kesan kepada anak-anak.

Malah katanya, jika ia tidak diambil perhatian kanak-kanak boleh mempengaruhi perkembangan anak-anak.

"Bagi anak-anak yang pernah merasa kemewahan dan secara tiba-tiba ibu bapa berdepan masalah kewangan, ia akan memberi kesan kepada anak-anak.

MASALAH kewangan yang dihadapi ibu bapa memberi kesan kepada emosi anak-anak.
MASALAH kewangan yang dihadapi ibu bapa memberi kesan kepada emosi anak-anak.

"Antara kesannya pertama, mereka akan berasa tertekan kerana kehilangan keseronokan yang pernah dilalui.

"Sebagai contoh setiap tahun cuti sekolah, ibu bapa akan bawa bercuti. Tetapi kini rutin itu berubah. Pastinya mereka akan merasa tertekan kerana rindu kenangan sebelum ini.

"Kedua, adalah perasaan cemburu terutama apabila mendengar cerita dan pengalaman rakan-rakan pergi bercuti atau berseronok," katanya.

Kesan ketiga pula kata Dr Noor Aishah, adalah anak-anak mula membuat perbandingan hidup mereka dengan rakan dan orang sekeliling.

"Dengan penggunaan teknologi, anak-anak turut terdedah dengan media sosial dan secara tidak langsung membuatkan mereka ini membandingkan diri dengan kawan-kawan. Perasaan cemburu itu juga pastinya ada.

"Seterusnya kesan keempat ialah mereka mula bosan dan mengeluh. Mereka juga sudah mula memberontak kerana kebanyakan masa dihabiskan dengan berada di rumah," katanya.

Dalam hal ini, menjelaskan masalah yang sebenar kepada anak-anak sedikit sukar kerana anak-anak melihat ibu bapa mereka keluar bekerja setiap hari.

Mereka tidak tidak tahu kos sara hidup semakin meningkat yang luar biasa. Jika tersilap kata, anak-anak akan merasa mereka sebagai beban. Hal ini menyebabkan ibu bapa di dalam dilema.

Mengulas lanjut, kata Dr Noor Aishah, untuk anak bawah tujuh tahun mereka memang sudah nak faham keadaan yang dihadapi ibu ayah mereka.

MANDI sungai antara aktiviti yang boleh dilakukan tanpa menggunakan kos yang tinggi.
MANDI sungai antara aktiviti yang boleh dilakukan tanpa menggunakan kos yang tinggi.

"Jika anak yang sudah besar berumur 10 tahun ke atas, mereka boleh faham tetapi dengan penerangan yang jelas dan ayat yang mudah difahami.

"Tapi biasanya orang dewasa ini bercakap atau menerangkan sesuatu perkara bukan saja dengan cara yang salah tetapi menggunakan perkataan yang tidak tepat.

"Ibu ayah, gunakan ayat yang betul. Insya-Allah mereka akan faham keadaan sebenar kita," katanya.

Sebenarnya untuk anak-anak, dunia mereka ada dua iaitu makan dan bermain. Jika dua ini boleh dipenuhi, ia sudah cukup bagi mereka.

Dr Noor Aishah berkata, walau apa pun jua masalah yang dihadapi ibu bapa, apa yang penting adalah bagi anak-anak seronok.

"Bermain misalnya, ia berkaitan dengan keseronokan. Apabila sudah tidak boleh membawa bercuti ibu bapa perlu mencari alternatif lain dengan merancang aktiviti yang menyeronokkan tanpa menggunakan wang.

"Antara contoh yang boleh dilakukan adalah dengan bercucuk tanam di halaman rumah, berkhemah di taman atau di laman rumah dan banyak lagi.

"Janganlah pula disebabkan kita tidak berduit dan tidak ke mana-mana, kita juga tidak melakukan apa-apa aktiviti. Perkara ini akan membuatkan mereka bosan dan tertekan," katanya.

Masalah kewangan ini banyak peringkat. Namun, sebagai ibu bapa kita perlu bertahan supaya anak-anak membesar dalam keadaan gembira dan tenang.

WANG bukan segalanya tetapi ia dapat mempengaruhi kehidupan.
WANG bukan segalanya tetapi ia dapat mempengaruhi kehidupan.

"Saya melihat, ibu bapa yang stres, tingkah laku mereka berubah jadi cepat marah, tidak penyayang dan tidak mesra. Yang menjadi mangsa adalah budak kerana mereka lemah.

"Jadi, apabila berhadapan dengan masalah terutama masalah kewangan, kita perlu pandai mengawal emosi terutama di hadapan anak-anak.

"Kalau kita mengamuk terutama ketika anak meminta sesuatu yang tidak boleh dipenuhi, budak akan stres dan takut dengan kita," katanya.

"Perlu diingat, momen mereka dengan kita ini sekejap saja kerana mereka cepat membesar. Oleh itu, jangan sia-siakan atau kehilangan momen penting dalam kehidupan mereka hanya kerana masalah yang kita hadapi," tambahnya.

Dr Noor Aishah berpandangan, walau apa juga masalah yang dihadapi, pembabitan ibu bapa dalam kehidupan anak sangat penting kerana mereka akan merasai nikmat kasih sayang itu apabila kita bersama-sama dengan mereka.

"Semakin banyak kita berinteraksi dan sentiasa terbabit dengan aktiviti harian anak-anak, mereka akan 'nampak' kita.

"Apabila kita sentiasa berada dalam kehidupan mereka, walau dalam keadaan apa pun, mereka akan terus bersama dan faham serta simpati dengan kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 7:00 AM