BAKAL jemaah umrah yang menggunakan visa pelancong dinasihatkan mengambil vaksin.
BAKAL jemaah umrah yang menggunakan visa pelancong dinasihatkan mengambil vaksin.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Berisiko menyebabkan kematian dalam tempoh 24 jam.

Demikian bahayanya penyakit meningokokus yang perlu orang ramai ketahui jika memandang remeh mengenai pengambilan vaksin meningokokal sebelum ke Tanah Suci untuk menunaikan haji atau umrah.

Meningitis atau radang meninges pula adalah merujuk kepada keadaan radang dan bengkak pada saluran luar otak (meninges) yang mana menyebabkan pesakit akan mengalami gejala seperti sawan, sakit kepala dan ketegangan leher, perubahan kelakuan selain sensitif pada cahaya terang.

Radang itu boleh berlaku disebabkan jangkitan bakteria, jangkitan virus, kanser, jangkitan kulat atau alahan hasil tindak balas ubat.

Doktor Kesihatan Pekerjaan, Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr Nurul 'Afiah Mohd Isa berkata, radang meninges dari jangkitan bakteria Neisseria meningitidis yang dikenali sebagai penyakit meningokokus boleh membawa maut dalam masa singkat.

Katanya, selain gejala meningitis atau radang meninges, meningokokus juga menyebabkan gejala lain seperti jangkitan teruk dalam darah ke seluruh badan (sepsis) dan radang paru-paru.

"Meningokokus bukan sahaja boleh menyebabkan kematian dalam masa 24 jam, tetapi juga menyebabkan banyak komplikasi kesihatan melarat pada pesakit yang berjaya diselamatkan," katanya.

PAKAI pelitup muka apabila selesai umrah untuk mengelakkan risiko jangkitan penyakit berjangkit seperti meningokokus.
PAKAI pelitup muka apabila selesai umrah untuk mengelakkan risiko jangkitan penyakit berjangkit seperti meningokokus.

Menurut Dr Nurul 'Afiah, pesakit yang mengalami jangkitan meningokokus boleh mengalami salah satu atau beberapa simptom kerana kuman itu tidak mempunyai gejala spesifik.

Antara simptomnya termasuk demam panas, sakit kepala, ketegangan leher, sensitif atau silau teruk pada cahaya, sawan, perubahan kelakuan terutama pada kanak-kanak dan bayi seperti meragam tidak boleh dipujuk atau menjadi lemah (tidak responsif) serta jangkitan radang paru-paru seperti batuk teruk.

"Gejala penyakit itu yang tidak spesifik pada radang meninges sahaja kerana ia juga menyebabkan kebarangkalian untuk lambat didiagnosis dan seterusnya lambat mendapat rawatan yang sewajarnya," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Nurul 'Afiah berkata, ada beberapa jenis bakteria yang boleh menyebabkan radang meninges dan sering menjangkiti manusia dengan kadar mortaliti dan morbiditi yang teruk.

Antaranya, Neisseria meningitides. Terdapat beberapa belas jenis bakteria Neisseria meningitidis, namun enam jenis dikenal pasti sebagai varian yang ganas, mudah merebak dan boleh membawa maut iaitu jenis varian A,B,C,W135, Y serta X.

Selain itu, bakteria Haemophilus influenzae type b (Hib), bakteria Streptococcus agalactiae (kumpulan B streptococcus) dan bakteria Streptococcus pneumoniae (pneumococcus).

Jelas beliau, semua jenis bakteria terbabit kerap menjangkiti jemaah haji atau umrah kerana faktor manusia bersesak dan perhimpunan ramai.

Bagaimanapun, kes yang menyebabkan wabak dan kematian teruk dalam kalangan jemaah haji atau umrah adalah jangkitan dari bakteria Neisseria meningitidis yang menyebabkan penyakit meningokokus.

"Meningokokus merebak melalui sentuhan atau kontak secara langsung dengan bendalir badan (air liur, kahak dan hingus) orang yang dijangkiti atau pembawa.

"Penting untuk diketahui bahawa seorang daripada 10 orang boleh jadi pembawa bakteria itu yang mana wujud di saluran hidung dan belakang tekak selain mereka tidak mempunyai apa-apa gejala berpenyakit langsung.

"Kadar kematian disebabkan meningokokus adalah lebih tinggi dalam kalangan bayi baru lahir, kanak-kanak dan remaja berbanding kumpulan umur pesakit lain," katanya.

Bagi membantu mengelakkan jangkitan penyakit berbahaya itu, Dr Nurul 'Afiah berkata, pengambilan vaksin meningokokal penting untuk setiap jemaah yang ingin menunaikan haji dan umrah yang juga diwajibkan kerajaan Arab Saudi untuk kelulusan visa umrah atau visa haji.

Begitupun, disebabkan ada kelonggaran untuk visa pelancong yang boleh digunakan untuk menunaikan umrah ketika ini, pengambilan vaksin itu tidak diwajibkan dan ramai jemaah mula mengambil mudah.

"Saya nasihatkan semua bakal jemaah umrah yang menggunakan visa pelancong, mempunyai inisiatif mengambil vaksin terbabit untuk perlindungan diri sendiri dan orang tersayang.

PESAKIT yang mengalami jangkitan meningokokus boleh mengalami salah satu atau beberapa simptom.
PESAKIT yang mengalami jangkitan meningokokus boleh mengalami salah satu atau beberapa simptom.

"Ini kerana jika jemaah terdedah kepada bakteria terbabit, menjadi pembawa atau terdedah kepada individu lain yang dijangkiti sejurus sebelum berlepas pulang, mereka boleh menjangkiti kepada ahli keluarga di tanah air," katanya yang turut menyarankan pengambilan vaksin Influenza dan vaksin untuk jangkitan pneumokokal bagi jemaah haji atau umrah.

Sementara itu, Dr Nurul 'Afiah berkata, selain pengambilan vaksin, penjagaan kesihatan untuk jemaah haji dan umrah sebenarnya bermula ketika masih di tanah air lagi.

Jemaah perlu mula mengamalkan gaya hidup sihat termasuk mengamalkan latihan fizikal ringan secara konsisten seperti berjalan selama 30 hingga 45 minit sehari, minum air secukupnya dan mengambil makanan tambahan seperti vitamin C secara konsisten.

Selain itu, persediaan emosi dan mental juga perlu diambil kira kerana keadaan di Tanah Suci yang sesak, panas dan pergaulan dengan jemaah lain mungkin boleh menyebabkan tekanan yang tinggi.

Ia secara tidak langsung menurunkan kadar imun badan seseorang (disebabkan kadar hormon stres kortisol yang tinggi dalam badan).

Katanya, pelitup muka juga perlu dipakai apabila selesai umrah dan amalkan menutup mulut ketika batuk atau bersin selain segera mencuci tangan atau gunakan sanitasi tangan sebelum menyentuh kawasan muka (selepas batuk atau bersin).

"Bagi ibu bapa yang membawa anak kecil untuk menunaikan umrah pula, disarankan untuk mengehadkan waktu berada di masjid atau tempat sesak dan segera kembali ke hotel selepas waktu solat.

"Bergilir-gilir turun ke masjid dan menjaga anak di hotel juga adalah salah satu langkah yang boleh dipertimbangkan ibu bapa bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada si kecil.

"Dalam kesibukan melaksanakan ibadah, pastikan minum air secukupnya, makan makanan berzat dan mengambil vitamin C untuk mengelakkan dehidrasi serta kepenatan berlebihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 7:00 AM