AMBIL vaksin sebelum tunai haji atau umrah.
AMBIL vaksin sebelum tunai haji atau umrah.
VAKSIN boleh bantu cegah morbiditi dan kematian  berpunca daripada penyakit berjangkit.
VAKSIN boleh bantu cegah morbiditi dan kematian berpunca daripada penyakit berjangkit.
Hajahfarhana Tarmudi


Kedegilan sesetengah individu mendapatkan vaksin bukan saja mendedahkan bahaya kepada diri sendiri tetapi orang sekeliling terutama golongan yang mempunyai tahap imuniti rendah seperti kanak-kanak dan warga emas.

Sikap mementingkan diri sendiri ini mesti dibuang biarpun mempunyai ideologi sendiri jika mempunyai rasa kasih terhadap insan tersayang.

Pengambilan vaksin untuk mencegah penularan sesetengah penyakit berbahaya akibat jangkitan bakteria dan virus sememangnya penting terutama ketika melancong di negara yang berisiko tinggi atau berada di kawasan yang padat dengan orang ramai seperti mengerjakan umrah dan haji.

Dalam menyempurnakan rukun Islam kelima itu, faktor kesihatan perlu diberi keutamaan. Jika bukan diri sendiri yang mengalami penyakit berbahaya, sekurang-kurangnya kita dapat mencegah insan di sekeliling mendapat penyakit berkenaan, yang sangat mudah tersebar dengan pantas.

Caranya ialah dengan pengambilan vaksin tertentu sebelum pergi mengerjakan haji atau umrah ataupun berkunjung ke negara tertentu yang berisiko tinggi. Vaksinasi ialah satu proses pemberian suatu bahan (vaksin) yang boleh membantu merangsang daya tahan badan seseorang untuk melawan kuman tertentu.

Seseorang itu akan mempunyai daya tahan terhadap penyakit tertentu dan seterusnya mampu mencegah daripada mendapat jangkitan penyakit berkenaan. Justeru, vaksin boleh membantu mencegah morbiditi dan kematian yang berpunca daripada penyakit berjangkit.

Tidak hairanlah jika kerajaan Arab Saudi mewajibkan setiap jemaah haji mengambil vaksin kurang daripada 10 hari sebelum ke Makkah untuk mengatasi masalah penularan beberapa wabak seperti meningococcal meningitis.

Ada sebabnya mengapa kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat berkenaan kepada semua jemaah haji kerana penyakit berkenaan sangat bahaya dan mudah merebak di kawasan padat yang dikunjungi umat Islam seluruh dunia.

Semua bakal haji mesti mendapatkan suntikan anti meningococcal iaitu meningococcal Quadrivalent Vaccine ACYW-135 yang boleh diambil di klinik ataupun hospital.

Terdapat dua jenis vaksin meningococcal iaitu vaksin konjugat dan polisakarida. Kerajaan Arab Saudi mengesyorkan jemaah mendapatkan vaksin jenis konjugat kerana ia memberi respon imun secara lebih meluas daripada berbanding polisakarida.

Pada masa sama, bakal haji juga digalakkan mengambil suntikan pilihan seperti influenza, pneumococcal dan hepatitis (A dan B), namun perlu mendapat­kan pemeriksaan doktor terlebih dulu.

Meningitis

Pensyarah Kanan Perubatan dan Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Nurul Azmawati Mohamed @ Abd Aziz, menegaskan meningitis adalah penyakit yang tidak berbahaya jika ia dikawal dengan baik.

“Meningitis adalah penyakit yang membabitkan keradangan pada selaput otak dan saraf tunjang. Ia boleh terjadi disebabkan jangkitan bakteria, virus ataupun kulat.

“Meningitis yang disebabkan jangkitan virus boleh berlaku dalam tempoh singkat dan ia lebih ringan, namun akan jadi sebaliknya apabila penyakit itu terjadi akibat jangkitan bakteria.

“Meningitis disebabkan bakteria Neisseria meningitidis atau dipanggil jangkitan meningococcal meningitis adalah sangat bahaya. Bakteria ini boleh didapati daripada pembawa yang akan menyebarkan jangkitan melalui cecair pernafasan seperti batuk, bersin, cium dan berkongsi makanan,” katanya.

Ia mudah merebak dan selalunya boleh menyebabkan sama ada meningitis ataupun memberi kesan kepada salur darah. Individu yang berisiko tinggi terkena jangkitan itu ialah bayi di bawah usia setahun, remaja (16 hingga 20 tahun) dan warga emas.

Mereka yang mempunyai tahap imuniti rendah, individu terdekat dengan pesakit dan pelancong yang melawat kawasan wabak juga mempunyai risiko tinggi mendapat meningitis.

Bakteria ini mudah tersebar kepada sesiapa saja terutama di kawasan yang padat dengan orang ramai ketika melancong, mengerjakan haji mahupun di dalam asrama.

Gejala biasa yang dialami pesakit pula adalah demam, sakit kepala yang teruk, leher tegang, loya dan muntah. Ada kalanya, pesakit juga tidak suka kepada cahaya kerana boleh menyebabkan kesakitan dan menjadi lebih teruk apabila mula meracau atau dalam keadaan separuh sedar.

Selalunya, selepas menjangkiti, bakteria ini akan mengalami satu fasa dipanggil tempoh pengeraman yang mengambil masa dua hingga lima hari sebelum seseorang itu menunjukkan gejala penyakit. Apabila pesakit mengalami demam, masalah yang dihadapi akan menjadi lebih teruk dan biasanya sudah terlambat apabila dibawa ke hospital.

“Kadar kematian akibat penyakit ini juga sangat tinggi iaitu 30 peratus daripada pesakit yang mengalami jangkitan itu. Jika pesakit hidup, kemungkinan ada komplikasi lain yang berlaku seperti hilang pendengaran dan kecacatan otak.

“Biarpun meningococcal jarang berlaku dan ditemui di negara ini, tindakan mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Disebabkan kes penyakit meningococcal ini tidak banyak, vaksin untuk mencegah wabak berkenaan hanya disarankan untuk jemaah haji ataupun individu yang mahu melancong ke negara tertentu terutama di kawasan berisiko tinggi seperti Afrika, Nigeria dan Sudan,” katanya.

Influenza

Selain meningitis, demam selesema dan influenza juga antara penyakit berjangkit yang perlu ditangani melalui vaksin.

Menurut Profesor Bahagian Perubatan Sains II, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Profesor Dr Che Ilina Che Isahak, selesema adalah jangkitan biasa yang berlaku di mana saja dan pada bila-bila masa atau mengikut musim tertentu.

“Influenza pula lebih kerap berlaku di seluruh dunia terutamanya di kawasan beriklim sederhana. Influenza adalah penyakit bermusim yang sering terjadi ketika musim sejuk di negara empat musim manakala di kawasan tropika seperti Malaysia, ia boleh berlaku sepanjang tahun.

“Influenza disebabkan oleh virus influenza A, B dan C. Virus jenis A biasanya menjangkiti haiwan dan manusia yang boleh menyebabkan penyakit epidemik (mudah merebak dalam kalangan penduduk sesuatu kawasan dalam masa sama) serta penyakit pandemik.

“Virus jenis B pula hanya menyerang manusia terutama kanak-kanak sekitar usia lima tahun ke atas dan dewasa. Ia membiak di dalam sel pernafasan dan menimbulkan gejala seperti demam, sakit kepala yang keterlaluan, letih seluruh badan serta batuk.

“Sesetengah pesakit boleh mengalami gejala kesakitan di bahagian otot dan sendi. Virus jenis ini menyebabkan wabak berlaku dalam satu rantau (beberapa buah negara) manakala virus jenis C kurang menjejaskan manusia,” katanya.

Ujarnya, virus influenza mudah membiak dan menukar ciri antigen. Justeru, vaksin perlu diubah suai setiap tahun agar dapat menentang strain yang baru dengan berkesan. Virus mudah tersebar melalui bawaan udara terutamanya di tempat sesak dan tertutup.

Jangkitan juga berlaku melalui hubungan secara langsung dengan titisan cecair yang tersebar semasa batuk dan bersin serta tangan yang tercemar. Jangkitan berlaku lebih teruk dalam kalangan warga tua dan kanak-kanak.

Malah, ia boleh menyebabkan maut terutamanya kepada warga emas dan pesakit kronik. Individu yang disarankan untuk mengambil vaksin ialah warga emas berusia 50 tahun ke atas, jemaah yang akan mengerjakan haji, kanak-kanak dan hingga 18 tahun) yang menerima terapi aspirin dalam jangka masa panjang, wanita hamil, pesakit kronik, pekerja kesihatan serta sesiapa saja yang berhubung rapat dengan pesakit.

Influenza boleh menyebabkan komplikasi kepada pesakit seperti jangkitan bakteria (pneumonia, krup, otitis media dan sinusitis) serta kegagalan kompensasi jantung.

Sejak 2013, terdapat vaksin influenza quadrivalen yang mengandungi dua strain flu A dan dua strain flu B. Ia memberi perlindungan yang lebih luas dan selamat untuk jemaah haji.

Vaksin ini boleh diberikan setiap tahun melalui suntikan ke dalam otot untuk kanak-kanak berusia daripada enam bulan hingga lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 12:10 PM