KEBIASAANNYA si sulung perlu beralah semata-mata kerana dia lebih tua.
KEBIASAANNYA si sulung perlu beralah semata-mata kerana dia lebih tua.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


RAMAI ibu bapa masih beranggapan bahawa anak yang sulung perlu sentiasa mengalah kepada adik-adiknya.

Dari barang permainan hingga kepada perhatian ibu bapa, kerap kali si sulung perlu beralah semata-mata kerana dia

lebih 'tua.'

Namun, dari aspek keibubapaan, ia tidak wajar diamalkan kerana ibu bapa sepatutnya perlu menggalakkan anak-anak untuk sentiasa berkasih sayang sesama mereka.

Perunding Keibubapaan yang juga Pengasas Parent Connect Consultancy, Noor Afidah Abu Bakar berkata, menyuruh anak sulung untuk mengalah semata-mata kerana dia lebih tua bukan sebahagian daripada berkasih sayang.

Ia kata Noor Afidah, boleh menimbulkan konflik dan ketidakpuasan hati sesama adik-beradik sehingga tua.

Katanya, apabila seorang anak mahukan atau rebutkan sesuatu yang dimiliki anak lain, masalahnya bukan pada tuan punya barang itu, tetapi anak yang cuba merebut itu.

DENGAR luahan anak.
DENGAR luahan anak.

"Anak yang merebut itu perlu difahamkan bahawa apa yang dilakukannya itu adalah tidak betul.

"Pada masa sama anak-anak perlu diajar erti pemilikan atau hak milik, ini kakak punya, ini adik punya, ini saya punya.

"Kemudian ajar anak untuk meminta izin, bukan berebut sesuatu," katanya.

Jelas Noor Afidah, ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak mengenai konsep giliran.

ANAK-anak perlu diajar erti pemilikan atau hak milik dan meminta izin.
ANAK-anak perlu diajar erti pemilikan atau hak milik dan meminta izin.

Katanya, ia boleh diguna pakai di mana sahaja tidak kira di rumah, dalam kereta mahupun ketika di taman permainan.

"Contohnya dalam kereta, jika anak-anak berebut satu tempat, boleh guna konsep giliran supaya semua boleh duduk di tempat berkenaan.

"Begitu juga apabila berebut mainan atau makanan, ibu bapa boleh tentukan siapa dahulu dan siapa kemudian," katanya.

Menurut Noor Afidah, amalan itu secara tidak langsung mengajar anak mengenai menghormati giliran, hak milik orang lain, adab meminta dan tidak berperangai kurang elok.

Cara sebegitu juga tidak akan sesekali mengurangkan sedikit pun perasaan kasih sayang sesama adik-beradik sebaliknya mewujudkan rasa lebih hormat dan tahu batasan.

"Anak juga tidak berasa 'entitled' ataupun hanya kerana dia lebih muda dia berhak dapat apa sahaja yang dimahukannya.

"Manakala anak sulung tiada obligasi untuk mengalah, sekiranya dia tidak mahu mengalah kerana barang itu hak dia, maka terpulang kepada dia.

DIDIK anak mengenai konsep giliran.
DIDIK anak mengenai konsep giliran.

"Tetapi, sekiranya dia secara sukarela melepaskan apa yang dimilikinya, berikan pujian kepadanya dan hargai apa yang dilakukannya," katanya.

Dalam pada itu, Noor Afidah berkata, apabila kanak-kanak meluahkan kesedihan, menjadi tanggungjawab orang dewasa untuk mendengar luahan dan membimbing mereka melalui kesedihan dengan tindakan yang wajar.

Ibu bapa juga tidak seharusnya meminta kanak-kanak supaya jangan bersedih.

Begitu juga apabila kanak-kanak menunjukkan kemarahan, menjadi tanggungjawab orang dewasa untuk memahami dan membantu kanak-kanak itu mengambil tindakan yang betul ketika marah, bukan memarahinya.

"Sekiranya kesedihan, kemarahan atau kekecewaan kanak-kanak tidak diendahkan, malah ditekan apatah lagi disindir, maka kanak-kanak tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

"Ini kerana mereka tiada panduan dan bimbingan daripada orang dewasa yang dipercayai.

"Kanak-kanak tidak dilahirkan pandai mengurus emosinya sendiri dan percayalah mereka menjadi lebih kental sekiranya emosi terbimbing sebaiknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 7:00 AM