ADA sesetengah kanak-kanak selesa mencurahkan idea di atas kertas.
ADA sesetengah kanak-kanak selesa mencurahkan idea di atas kertas.
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


LUMRAH kanak-kanak sememangnya memiliki keinginan semula jadi untuk belajar bermula dari dalam kandungan lagi.

Kecenderungan bayi dan kanak-kanak memasukkan sesuatu ke dalam mulut, menyentuh apa sahaja yang dilihat dan bertanya banyak soalan kepada orang dewasa adalah cara mereka mengekspresikan kesediaan untuk belajar serta menerima maklum balas dari persekitaran.

Dalam hal ini, Perunding keibubapaan yang juga Pengasas Parent Connect Consultancy, Noor Afidah Abu Bakar berkata, peranan ibu bapa adalah menjadikan pengalaman dan rutin seharian kanak-kanak sebagai peluang pembelajaran.

Kata Noor Afidah lagi, banyak perkara yang boleh dipelajari walaupun berada di rumah misalnya mendedahkan kanak-kanak kepada pengalaman yang sihat dan luangkan masa untuk berbual dengan mereka.

"Jangan hanya berkomunikasi untuk marah, menegah dan beri arahan sahaja sebaliknya, tunjukkan contoh yang baik kepada kanak-kanak mengenai kepentingan belajar serta bertanya," katanya.

Menurut Noor Afidah, kanak-kanak juga mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan seumpama saintis, mereka akan sentiasa melakukan eksperimen untuk mengetahui kesan serta akibat sesuatu perbuatan.

Kata Noor Afidah, apabila kanak-kanak melompat dari tempat yang tinggi dan merasai kesakitan ketika terjatuh, mereka sedang belajar mengenai kesan serta akibat dari perbuatan berkenaan.

Katanya, sebagai ibu bapa, kita perlu mengajar kanak-kanak untuk pertimbangkan risiko apabila melakukan sesuatu.

"Ini kerana menghalang mereka tanpa diberi kefahaman yang jelas hanya membuahkan tingkah laku sama secara berterusan.

"Jadi, sediakan persekitaran fizikal rumah yang sesuai dengan perkembangan dan keperluan kanak-kanak.

"Layanlah soalan-soalan yang ditanya dan sekiranya tidak tahu jawapan, minta tangguhkan dahulu untuk mencari jawapan yang sesuai," katanya.

Noor Afidah berkata, kanak-kanak juga akan mempelajari sesuatu dari persekitarannya dan setiap pengalaman seharian, baik positif mahupun negatif adalah 'silibus' pembelajaran bagi mereka.

Katanya, berkunjung ke kedai adalah pengalaman bagi kanak-kanak begitu juga dengan berkelahi sesama adik beradik, menonton kartun di televisyen atau memanjat juga pengalaman bagi mereka.

Kanak-kanak bukan hanya belajar dari sekolah atau buku sahaja sebaliknya daripada manusia dan objek yang berada di sekeliling mereka.

"Justeru, ibu bapa perlu dedahkan kanak-kanak kepada pengalaman yang mengajar aspek fizikal, emosi, rohani, intelektual dan sosial bukan hanya akademik semata-mata.

"Kenal pasti minat dan kecenderungan kanak-kanak bagi menyediakan pengalaman bermakna bagi setiap individu.

"Sediakan peluang untuk kanak-kanak meneroka dan bertanya soalan serta terapkan skil kehidupan pada kanak-kanak," katanya.

LUMRAH kanak-kanak sememangnya memiliki keinginan semula jadi untuk belajar.
LUMRAH kanak-kanak sememangnya memiliki keinginan semula jadi untuk belajar.

Jelas Noor Afidah lagi, kanak-kanak perlu merasa selesa dan selamat untuk mengambil risiko meneroka serta belajar.

Ini kerana katanya, emosi kanak-kanak berkembang dari pengalaman yang dilalui dalam kehidupan seharian mereka.

"Emosi yang terlahir dalam diri kanak-kanak kerana rasa hormat dan kasih sayang orang dewasa akan membentuk jati diri, minat serta keyakinan positif untuk mereka belajar selain meneroka. Begitu juga sebaliknya.

"Untuk itu, sebagai ibu bapa, kita perlu menunjukkan kasih sayang tanpa syarat dan tanpa pilih kasih.

"Raikan keunikan atau kelebihan setiap anak, tanya, hormati dan hargai pendapat yang mereka berikan walaupun kedengaran remeh serta jangan lupa berikan juga peluang untuk kanak-kanak meluahkan emosi mereka," katanya.

Sementara itu, Noor Afidah berkata, kanak-kanak juga memberikan pendapat dengan cara yang berbeza.

Ada kanak-kanak menyampaikan idea mereka menerusi tingkah laku, aksi dan bahasa yang digunakan.

Malah ada sesetengah pula selesa mencurahkan idea di atas kertas ataupun di atas skrin.

Kata Noor Afidah, kanak-kanak yang biasa dengan buku biasanya akan menyampaikan idea melalui penulisan dan lakaran manakala yang dibiasakan dengan skrin akan meluahkan idea melalui medium terbabit.

Katanya, tingkah laku kanak-kanak juga adalah satu bentuk komunikasi, jadi kena fahami apakah pendapat, keperluan ataupun kekurangan yang cuba disampaikan.

"Untuk itu, ibu bapa perlu sediakan peluang untuk kanak-kanak memberikan idea melalui cara yang selesa bagi mereka.

"Tunjukkan cara untuk menyampaikan idea dan pendapat dengan adab serta akhlak yang betul selain berikan peluang untuk kanak-kanak menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian mereka.

"Ingatkan kanak-kanak bahawa tidak semua soalan mempunyai jawapan 'betul' atau 'salah," katanya.

Apapun, ketahuilah bahawa rumah adalah sekolah pertama dan utama bagi kanak-kanak. Ibu bapa adalah guru pertama dan utama bagi mereka.

Jadi, pengalaman dalam kehidupan seharian adalah silibus terpenting dalam pembelajaran kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 7:00 AM