PERMAINAN video meningkat ketika pandemik.
PERMAINAN video meningkat ketika pandemik.
Muhamaad Razis Ismail


DALAM tempoh pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai ibu bapa meluahkan kerisauan mengenai aktiviti permainan video yang semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak.

Perunding keibubapaan yang juga pengasas Parent Connect, Noor Afidah Abu Bakar berkata, sebarang permainan video mahupun penggunaan skrin digital perlu dipantau dari segi masa penggunaan dan kandungan permainan video itu.

"Penggunaan masa yang berlebihan sehingga mengabaikan rutin harian seperti makan, tidur, rehat, beriadah dan menyelesaikan tugasan sekolah memberi kesan negatif kepada pelbagai aspek perkembangan kanak-kanak.

"Begitu juga kandungan yang tidak sesuai seperti permainan yang mempunyai unsur keganasan, lucah, mempamerkan perkataan dan perbuatan yang tidak beradab sudah tentu akan mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, permainan video juga ada kebaikannya sekiranya masa dan kandungan dipantau ibu bapa supaya tidak memudaratkan kanak-kanak.

"Contohnya terdapat permainan video yang dapat membantu perkembangan literasi, kemahiran visual ruang, kemahiran motor halus, kemahiran penyelesaian masalah, kreativiti, mengajar mengambil giliran, mendidik etika dan tingkah laku.

PANTAU sebarang permainan video, penggunaan skrin digital anak dari segi masa penggunaan dan kandungannya.
PANTAU sebarang permainan video, penggunaan skrin digital anak dari segi masa penggunaan dan kandungannya.

"Sekiranya permainan video membabitkan lebih daripada seorang pemain, ia dapat membantu perkembangan sosial dan memupuk kemahiran bekerjasama serta kolaborasi dalam kalangan kanak-kanak yang tidak dapat keluar bermain bersama-sama rakan ketika pandemik ini," katanya.

Jelasnya, sama ada sesuatu permainan video itu baik ataupun tidak kepada kanak-kanak bergantung kepada nilai yang diterapkan dalam keluarga dan perkembangan kanak-kanak.

"Permainan video yang tidak sesuai dari segi nilai termasuk mempunyai unsur lucah atau pornografi, keganasan, pembunuhan, perjudian, imej seksual dan elemen buli kerana kanak-kanak cepat meniru apa yang dilihat dan didengari oleh mereka.

"Mendedahkan mereka kepada unsur-unsur yang bertentangan dengan nilai yang positif ini boleh membuahkan tingkah laku negatif.

Katanya, di samping itu, permainan video yang tidak sesuai perkembangan kanak-kanak juga tidak seharusnya digalakkan.

BOLEH mengganggu rutin harian penting.
BOLEH mengganggu rutin harian penting.

"Contohnya permainan video yang hanya membuat kanak-kanak diam tidak bergerak untuk masa yang lama kerana pergerakan penting untuk perkembangan mereka.

"Begitu juga permainan video yang terlalu kuat bunyinya, terlalu banyak stimulasi lampu dan warna serta yang memancarkan imej terlalu laju akan membebankan aspek kognitif, emosi dan mental sesetengah kanak-kanak," katanya.

Mengulas lanjut, sebagai panduan, ibu bapa perlu mengambil kira elemen 3C merangkumi Child, Content and Context (kanak-kanak, kandungan dan konteks).

"Kesesuaian permainan video dengan diri kanak-kanak perlu dititikberatkan termasuk usia, kematangan, pembawaan, emosi, kecenderungan dan kelemahan.

"Selain itu, kandungan (content) dan tema sesuatu permainan video perlu juga dinilai oleh ibu bapa.

IBU bapa perlu bersikap proaktif.
IBU bapa perlu bersikap proaktif.

"Elemen konteks (context) pula menekankan pembabitan dan penyertaan ibu bapa dan ahli keluarga dalam permainan video bagi mewujudkan perhubungan yang rapat dan komunikasi positif sesama ahli keluarga," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa perlu ingat, setiap minit atau jam yang dihabiskan untuk bermain permainan video semata-mata adalah tempoh di mana-mana kanak-kanak tidak melalui proses pertumbuhan dan perkembangan menerusi aktiviti yang sesuai.

"Walaupun 'kehilangan' ini kelihatan remeh, namun pengalaman berkenaan membina keperibadian, ketahanan, keyakinan dan empati, yakni sifat manusiawi dalam diri kanak-kanak yang akan dibawa sehingga dewasa," katanya.

Terdapat kajian menunjukkan pendedahan kepada permainan video dapat membantu kanak-kanak untuk menguasai kosa kata dan sebutan sesuatu perkataan dengan lebih baik.

Bagaimanapun, ibu bapa juga perlu memantau jenis perkataan yang digunakan kanak-kanak untuk meluahkan emosi ketika bermain permainan video.

TERDAPAT permainan video yang dapat membantu perkembangan kanak-kanak.
TERDAPAT permainan video yang dapat membantu perkembangan kanak-kanak.

"Kebiasaan melafazkan perkataan yang kesat dan lucah bagi menggambarkan perasaan kecewa serta marah ketika bermain boleh terbawa-bawa sehingga ke luar permainan.

"Perkataan ini mungkin didengari atau dipelajari daripada orang dewasa, rakan-rakan mahupun kelompok 'gamers' sendiri selain media sosial. Kanak-kanak perlu diajar penggunaan bahasa dan perkataan yang sesuai dengan nilai untuk meluahkan emosi," katanya.

Oleh itu, dalam hal ini ibu bapa perlu memainkan peranan bersikap proaktif dengan menetapkan peraturan dari segi masa dan kandungan supaya anak tidak menjadi ketagih.

"Sebelum membenarkan anak terjebak dengan permainan video, adakan perbincangan dengan anak terlebih dahulu mengenai kebaikan dan keburukan permainan video, tetapkan peraturan permainan video dan apakah 'hukuman' sekiranya peraturan ini tidak dipatuhi.

"Melalui cara ini anak akan menjadi pengguna permainan video yang lebih berhemah dan bertanggungjawab," katanya.

PERASAAN kecewa dan marah ketika bermain boleh terbawa-bawa sehingga ke luar permainan.
PERASAAN kecewa dan marah ketika bermain boleh terbawa-bawa sehingga ke luar permainan.

Noor Afidah berkata, sekiranya anak mengalami ketagihan yang kronik, dapatkan bantuan dan rawatan daripada pakar perubatan yang khusus dalam rawatan ketagihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 6:20 AM