PERASAAN simpati dan empati bermula usia empat tahun.
PERASAAN simpati dan empati bermula usia empat tahun.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

EMPATI dan simpati bunyinya seakan sama namun hakikatnya dua perkataan itu mempunyai makna yang berbeza.

Contohnya, jika melihat orang dalam kesusahan setiap daripada kita akan timbul perasan kasihan.

Rasa kasihan itu adalah simpati namun bagi empati pula apabila rasa itu disusuli dengan keinginan membantu dan menyelesaikan masalah yang dihadapi orang berkenaan.

Empati juga sikap yang meletakkan perasaan kita pada orang lain atau cuba meletakkan diri pada tempat mereka.

Namun, tidak ramai yang sedar bahawa sifat simpati dan empati bukan hanya untuk golongan dewasa malah perlu dipupuk dalam diri kanak-kanak sejak awal lagi.

Perunding Keibubapaan yang juga Pengasas Parent Connect, Noor Afidah Abu Bakar berkata, perkembangan emosi manusia sebenarnya bermula sejak bayi.

Kata Noor Afidah, umpamanya jika bayi menangis dia sebenarnya sedang membina kepercayaan dengan orang di sekelilingnya.

Peringkat umur antara empat hingga enam tahun adalah tempoh yang paling kritikal untuk perkembangan emosi kanak-kanak dan perlu diberi penekanan khususnya dalam memupuk sifat simpati serta empati.

KANAK-kanak perlu diberi ruang untuk menjadi ‘kanak-kanak’ tetapi harus dididik mengenai batasan.
KANAK-kanak perlu diberi ruang untuk menjadi ‘kanak-kanak’ tetapi harus dididik mengenai batasan.

"Ini kerana bahagian otak yang mengawal emosi berkembang terlebih dahulu sebelum bahagian intelektual.

"Jangan paksa anak untuk menguasai akademik pada tahap umur berkenaan kerana perkembangan berkaitan intelektual hanya bermula pada umur tujuh tahun iaitu ketika awal persekolahan.

"Sebaliknya, perkembangan emosi yang memerlukan pemantau kerana ia penting dalam pembentukan jati diri dan sahsiah kanak-kanak, " katanya.

Menurut Noor Afidah, anak kecil umpama kain putih dan terpulang kepada ibu bapa untuk mencorakkannya.

Namun, fitrah kanak-kanak mereka perlu bermain, melompat, memanjat, menjerit, bergaduh, bergurau senda dan sebagainya sepanjang fasa perkembangan mereka.

"Ibu bapa perlu memberi anak ruang dan peluang supaya mereka dapat menjadi 'kanak-kanak' namun perlu tahu ada had serta kebebasan tertentu yang harus dipatuhi.

"Batasan itu perlu supaya keselamatan fizikal, mental dan emosi mereka serta orang sekeliling mereka terjaga," katanya.

Jelas Noor Afidah lagi, apabila memasuki usia empat tahun, kanak-kanak sebenarnya sudah boleh merasai perasaan simpati dan empati kepada orang lain.

Pada usia ini kata Noor Afidah, kanak-kanak dapat merasai kesusahan, kesukaran dan kesakitan orang lain di sekelilingnya.

"Perasaan simpati dan empati itulah adalah asas kepada perkembangan moral dan akhlak individu. Tanpa simpati dan empati, kanak-kanak akan berbuat sesuka hati," katanya.

IBU bapa perlu memahami perasaan dan emosi anak.
IBU bapa perlu memahami perasaan dan emosi anak.

Noor Afidah berkata, asas untuk memupuk sifat empati juga perlu bermula di rumah iaitu ibu bapa atau penjaga harus menunjukkan teladan yang baik.

Kata Noor Afidah, apabila orang dewasa di sekeliling memahami perasaan kanak-kanak, emosi sosial mereka berkembang dengan positif seterusnya dapat memupuk sifat empati yang lebih baik.

"Ajar anak-anak bahawa perubahan emosi mereka tidak kira sedih atau marah adalah diterima namun, perbuatan atau tindakan mereka berkaitan emosi itu tidak semestinya semua boleh diterima.

"Ini kerana mungkin ada tindakan mereka yang tidak betul selain boleh menyakiti orang lain dan perlu dididik supaya lebih peduli dengan perasaan orang sekeliling," katanya.

Tambah Noor Afidah lagi, kanak-kanak juga mudah tersentuh hati dengan orang dewasa yang memberi perhatian kepadanya.

Justeru, Noor Afidah menggalakkan ibu bapa supaya sentiasa memuji anak masing-masing jika mereka melakukan kebaikan atau tidak melakukan kerosakan.

"Pengiktirafan dan pujian yang sebegini akan mendorong anak kecil untuk lebih berbuat kebaikan kerana dia mendapat perhatian positif daripada orang dewasa," katanya.

Sementara itu, Noor Afidah turut mengingatkan ibu bapa supaya memberi perhatian kepada perkembangan fizikal, sosial, emosi diri, intelektual dan juga bahasa anak mereka, bukannya hanya menumpukan kepada pandai membaca, menulis dan mengira semata-mata.

BERI perhatian pada perkembangan fizikal, sosial, emosi diri, intelektual dan bahasa anak bukan hanya tumpu pandai membaca, menulis dan mengira semata-mata.
BERI perhatian pada perkembangan fizikal, sosial, emosi diri, intelektual dan bahasa anak bukan hanya tumpu pandai membaca, menulis dan mengira semata-mata.

Kata Noor Afidah, dalam kehidupan serba moden hari ini, kanak-kanak perlu diajar untuk menguruskan konflik mereka dan bukannya hanya berinteraksi dengan gajet sahaja.

Katanya, sebarang bentuk gajet adalah mesin dan ia tidak mempunyai tindak balas yang diperlukan seperti manusia.

"Sebaliknya kanak-kanak perlu diajar supaya keluar bermain, berkawan dan belajar menguruskan konflik mereka.

"Kanak-kanak di peringkat sekolah juga perlu diberi tanggungjawab di rumah dan digalakkan untuk membabitkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan supaya lebih cakna dan prihatin dengan perasaan orang sekeliling.

"Semua itu penting bagi perkembangan emosi sosial kanak-kanak supaya apabila dewasa kelak, mereka dapat menguruskan emosi sendiri dan menjadi individu yang memiliki sahsiah terpuji," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 7:00 AM