SERLAHKAN kasih sayang tanpa mengira jantina anak.  FOTO Sumber Google
SERLAHKAN kasih sayang tanpa mengira jantina anak. FOTO Sumber Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus

"Jangan manjakan sangat anak lelaki, kena ajar dia berdikari supaya dewasa akan jadi tough."

"Anak lelaki tak boleh dibiar manja, jangan layan sangat ragamnya."

Demikian pesanan biasa yang kita dengar dalam kalangan masyarakat khususnya daripada golongan yang lebih berusia untuk ibu bapa hari ini dalam membesarkan anak lelaki.

Ramai berpendapat, hanya anak perempuan yang perlu dimanjakan dan dibelai sedangkan hakikat adalah sebaliknya.

Perunding keibubapaan yang juga Pengasas Parent Connect, Noor Afidah Abu Bakar berkata, layanan terhadap kanak-kanak lelaki atau perempuan seharusnya perlu sama tanpa ada perbezaannya.

Namun, Noor Afidah menggalakkan ibu bapa supaya sentiasa memeluk dan meluahkan kasih sayang kepada anak lelaki mereka.

Ini kerana kata Noor Afidah, kajian mendapati bahawa anak lelaki perlu dipeluk dua hingga tiga kali lebih kerap berbanding anak perempuan untuk menghasilkan paras hormon gembira, oxytoxin yang sama.

"Hormon inilah yang akan mengeratkan lagi perhubungan antara ibu bapa dan anak.

"Pada masa sama, anak akan tahu kita sentiasa menjadi penyokong paling kuat dan emosinya juga lebih terbela," katanya.

Menurut Noor Afidah lagi, anak lelaki tidak seharusnya dibiarkan membesar tanpa perhatian atau kasih sayang secukupnya semata-mata hanya kerana mereka adalah 'anak lelaki'.

Sebaliknya saran Noor Afidah, ibu bapa perlu sentiasa memberi perhatian dan mendengar masalah yang dihadapi serta peluk mereka seperti mana anak perempuan lain.

Katanya, jangan sesekali mengabaikan anak lelaki kerana anak yang sentiasa dipeluk dan dibelai jiwanya, insya-Allah akan kuat dalamannya.

"Jiwa anak lelaki yang jarang diberi perhatian dan dipeluk biasanya lebih mudah rapuh.

JIWA anak lelaki yang jarang diberi perhatian dan dipeluk biasanya lebih mudah rapuh.  FOTO Sumber Google
JIWA anak lelaki yang jarang diberi perhatian dan dipeluk biasanya lebih mudah rapuh. FOTO Sumber Google

"Ia boleh mendorong kepada pembinaan karakter dan kelakuan negatif di kemudian hari.

"Sebagai contoh, kelakuan buli. Ia biasanya berpunca daripada perasaan kecewa terhadap sesuatu yang sudah lama dikumpul dan dipendam," katanya.

Dalam pada itu, Noor Afidah berkata, pelukan daripada ibu bapa juga dapat membantu meningkatkan lagi keyakinan diri si anak.

Katanya, anak yang menerima pelukan ibu dan ayah akan lebih berkeyakinan dalam sebarang perkara yang ingin dilakukan.

"Pelukan yang penuh kasih sayang juga meningkatkan hormon gembira dalam diri anak.

"Anak yang emosinya terjaga dan gembira sememangnya akan lebih mudah belajar, seronok melalui pengalaman baru setiap hari serta kurang meragam," katanya.

Jelasnya, sentuhan fizikal anak lelaki perlu dipenuhi menerusi pelukan ibu bapa dan jika ia tidak dipenuhi, mereka mungkin akan mendapatkannya menerusi perlakuan agresif seperti memukul, menumbuk dan sebagainya.

Kata Noor Afidah, anak lelaki yang agresif jika sering dipeluk akan menjadi lebih tenang dan kelihatan matang, tidak panas baran serta mampu bertindak rasional.

"Ia juga dapat menjadi persediaan emosi penting untuk melewati zaman remaja.

"Persediaan itu dapat membantu menjadikan anak lelaki apabila dewasa kelak lebih gentleman," katanya.

Sementara itu, ada pendapat bahawa pelukan juga dapat membantu meningkatkan IQ anak.

Terdapat juga kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ dan EQ lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk.

Anak yang selalu dipeluk terutama bayi yang sedang melalui perkembangan pesat juga dikatakan lebih mudah belajar banyak perkara seperti cepat berjalan, bercakap dan bermacam kebolehan lain.

Selain itu, anak yang cukup kasih sayang dan selalu dipeluk turut dipercayai akan kurang meragam serta mudah mendengar cakap.

Mereka juga lebih positif, tenang dan bijak menyesuaikan diri mengikut situasi.

Lebih istimewa, pelukan juga dikatakan dapat menguatkan lagi sistem imunisasi anak khususnya ketika mereka tidak sihat dan memerlukan perhatian serta kasih sayang daripada ibu bapa.

Jadi, berikan anak anda pelukan setiap hari dan serlahkan kasih sayang kepada anak tanpa mengira perbezaan jantina.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 6:30 AM