Keadaan sekeliling yang menjadi faktor penyumbang kepada masalah kesihatan mental.
Keadaan sekeliling yang menjadi faktor penyumbang kepada masalah kesihatan mental.
Muhamaad Razis Ismail


KESIHATAN mental sama penting dengan kesihatan fizikal kerana ia membabitkan aspek kesejahteraan tingkah laku, emosi dan spiritual dalam diri individu yang memberi kesan kepada kesejahteraan hidup dan hubungan seseorang dengan orang lain.

Kini ramai mula menyedari kesihatan mental penting untuk mewujudkan individu yang sejahtera dalam keluarga dan masyarakat sekali gus menjadi warga yang sihat serta produktif kepada negara.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lebih 450 juta individu di seluruh dunia mengalami masalah penyakit mental sepanjang kehidupan mereka.

Jika dilihat laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Mobiliti 2015 mendapati masalah kesihatan mental dilaporkan berada pada kadar 29.2 peratus, dibandingkan pada laporan pada 2005 berada pada kadar 11.2 peratus dan pada 1996 dilaporkan berada pada kadar 10.7 peratus.

Dalam jangka masa dua dekad, berlaku peningkatan ketara melebihi 19 peratus dan angka ini amat membimbangkan.

Presiden Elect, Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Profesor Dr Shukran Abd Rahman berkata, berdasarkan kajian terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kesihatan mental terjejas termasuk masalah peribadi yang mengakibatkan tekanan perasaan, keletihan dan kemurungan.

"Keadaan sekeliling yang tidak membina motivasi atau menjejaskan prestasi kerja dan kualiti hidup turut menjadi faktor penyumbang kepada masalah kesihatan mental," katanya.

"Pandemik juga memburukkan ketidakpastian dan kesusahan yang sedia ada. Penutupan institusi sosial mengasingkan individu dari rangkaian sosial mereka dan sedikit sebanyak mengakibatkan kesan negatif.

PERANAN profesional kesihatan mental seperti ahli psikiatri, ahli psikologi dan kauselor adalah penting untuk mewujudkan tahap kesihatan mental yang baik dalam keluarga.
PERANAN profesional kesihatan mental seperti ahli psikiatri, ahli psikologi dan kauselor adalah penting untuk mewujudkan tahap kesihatan mental yang baik dalam keluarga.

"Teknologi turut menyumbang kepada peningkatan kes kemerosotan kesihatan mental. Pendedahan kepada maklumat dari media sosial, interaksi dengan skrin yang berpanjangan, aktiviti fizikal yang berkurangan atau tabiat makan yang tidak sesuai juga boleh memberi kesan," katanya.

Tambahnya, dalam keadaan ekonomi semasa, ramai berdepan cabaran untuk bekerja dan mencari nafkah.

"Ramai kehilangan pekerjaan atau ketidaktentuan lain dalam pekerjaan mereka. Kerugian dalam perniagaan membawa kepada kesan psikologi yang negatif dan berpanjangan seperti gejala tekanan selepas trauma, kekeliruan dan kemarahan.

"Peningkatan harga barang dan yuran perkhidmatan membuat ramai yang tidak mampu untuk memenuhi keperluan sehingga memberi kesan kepada kesejahteraan diri," katanya.

Beliau yang juga Dekan Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan AbdulHamid AbuSulayman, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia melihat, biarpun ramai mula menyedari realiti kewujudan masalah kesihatan mental, stigma terhadap individu yang mengalami masalah kesihatan mental masih wujud.

PROFESOR Dr Shukran
PROFESOR Dr Shukran

"Masih terdapat ahli masyarakat yang menafikan hakikat bahawa masalah kesihatan mental adalah satu realiti yang memerlukan perhatian dan individu yang mengalami masalah kesihatan mental perlu diberikan rawatan," katanya.

Justeru itu, sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia beliau berpendapat, inisiatif untuk mengatasi masalah kesihatan mental dan meningkatkan kesejahteraan psikologi harus dimulakan dengan mewujudkan polisi dan amalan khusus berkaitan kesihatan mental.

"Penyediaan perkhidmatan juga perlu ditingkatkan untuk mempersiapkan individu supaya memiliki tahap kesediaan yang baik untuk mengatasi sebarang perubahan dalam hidup dan mendepani cabaran atau tekanan secara efektif, dan menangani masalah yang mereka alami," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PSIMA, Profesor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, dengan membuat ramalan peningkatan hampir 10 peratus setiap 10 tahun dan mengambil kira isu pandemik yang dilalui dunia, menjelang 2025 dianggarkan jumlah pesakit mental di negara ini boleh meningkat hampir 40 peratus jika langkah-langkah proaktif tidak diambil kerajaan, pemimpin masyarakat dan keluarga.

Katanya kesedaran masyarakat terhadap kesihatan mental masih di tahap yang rendah.

"Masyarakat masih memandang dingin dengan isu kesihatan mental dan menganggapnya sebagai taboo dan ada yang mengaitkannya sebagai tidak waras serta gila.

"Ini menuntut masyarakat harus memahami dengan jelas apakah yang dimaksudkan dengan kesihatan mental. Kesihatan mental adalah situasi di mana individu mengetahui potensinya untuk memberi tindak balas terhadap stres kehidupan, boleh mengurus diri dengan sempurna, boleh bekerja dengan baik dan menyumbang keringat kepada masyarakat," katanya.

Jelasnya dalam menangani masalah ini adalah melalui peranan yang dimainkan oleh masyarakat.

"Oleh itu promosi secara menyeluruh berkenaan dengan isu kesihatan mental perlu diberikan perhatian oleh masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 7:00 AM