MENYEBABKAN ruang di rumah semakin terhad. - FOTO Google
MENYEBABKAN ruang di rumah semakin terhad. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


Terdapat segelintir individu yang mempunyai sikap suka mengumpul pelbagai jenis barang menyebabkan ruang dalam rumah menjadi tidak terurus, kotor dan sempit.

Kadangkala barang yang disimpan itu sebenarnya tidak mempunyai makna atau nilai dalam hidupnya, namun ia terus disimpan tanpa sebab sehingga bertahun lamanya.

Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan ruang di rumah menjadi sempit dan tidak terurus, malah boleh memberi kesan menjejaskan hubungan dengan keluarga dan masyarakat.

Sehingga kini, masih ramai yang tidak menyedari berdepan masalah kecelaruan tabiat mengumpul ini dikategorikan dalam penyakit mental.

Naib Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, keadaan ini dipanggil sebagai kecelaruan tabiat mengumpul barang atau lebih dikenali sebagai 'Hoarding Disorder'.

Katanya, selalunya barang-barang yang dikumpulkan tidak memberi makna kepadanya seperti pakaian lama, pinggan mangkuk lama, buku lama dan bekas makanan lama.

"Bagaimanapun, mereka yang mengalami masalah ini mempunyai kefahaman perlu menyimpan barangan itu kerana diperlukan pada masa hadapan.

"Akhirnya barang yang dikumpul sehingga menimbun itu mengganggu kehidupan sehariannya untuk berfungsi dengan baik dalam rumahnya kerana menjejaskan kebersihan persekitaran dan diri individu.

SUKAR buat keputusan. - FOTO Google
SUKAR buat keputusan. - FOTO Google

"Akibatnya, mereka boleh mengalami masalah gangguan pemikiran emosi dan tidur sehingga menjejaskan hubungan dengan keluarga serta masyarakat," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kecelaruan ini tergolong dalam penyakit mental kerana ia dikategorikan dalam 'Diagnostic Manual and Statistical Manual of Mental Disorder' (DSM-5).

"Sukar untuk mengetahui bagaimana masalah ini boleh berlaku, namun realitinya ia disebabkan pemikiran terlampau taasub, faktor kenangan dan melalui peristiwa tertentu pada barangan yang dikumpulkan.

"Terdapat anggapan bahawa faktor genetik menyumbang kepada masalah ini. Ini dapat dilihat apabila seseorang yang dibesarkan keluarga yang mempunyai gejala ini akan diturunkan kepada anak-anaknya pula," katanya.

Mengulas lanjut, apabila keadaan ini berterusan, suasana rumah atau bilik menjadi tidak terurus dan berada dalam keadaan kotor sehingga menimbulkan konflik dalam keluarga dan masyarakat.

"Antara simptom lain mereka mudah berasa bimbang dan tertekan apabila cuba membuang barangan selain tidak tahu mengemas barangan dengan teratur.

"Mereka juga tidak dapat membuat keputusan sama ada perlu menyimpan barangan atau sebaliknya selain sering diganggu dengan pemikiran dan tingkah laku obsesif iaitu risau membuang sampah yang disimpan serta kompulsif iaitu dorongan untuk mengumpulkan lebih banyak barangan dalam rumahnya," katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan, Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku di Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) berkata, berdasarkan kajian American Psychiatric Association pada 2013, ada dua peratus daripada penduduk dunia menghidap penyakit ini.

KEADAAN menjadi tidak terurus.- FOTO Google
KEADAAN menjadi tidak terurus.- FOTO Google

"Bagaimanapun, 66 peratus daripada penderita tidak sedar mereka mengalami masalah ini.

"Penyakit ini kebiasaannya ditemui dalam kalangan dewasa pertengahan iaitu berusia 55 tahun ke atas yang sudah melalui banyak pengalaman dalam kehidupan mereka," katanya.

Tambahnya, gangguan mental ini boleh dirawat dengan dua jenis rawatan iaitu ubat-ubatan dan terapi tingkah laku kognitif (CBT).

"Jika keadaan mereka serius, ubat-ubatan diberikan untuk memberikan ketenangan kepada penghidap dan sekiranya mereka tidak selesa boleh menggunakan kaedah CBT.

"Ketika CBT, individu itu akan secara beransur-ansur belajar untuk membuang barang tidak perlu dengan ketegangan yang kurang, mengurangkan keperluan atau keinginan mereka yang berlebihan untuk menyimpan segala barang-barang ini.

"Mereka juga belajar untuk meningkatkan kemahiran seperti penyusunan, membuat keputusan dan relaks," katanya.

Beliau berkata, orang terdekat boleh membantu supaya penghidap ini kembali sedar mengenai ketidaknormalan hidup mereka.

"Jika kita mengenali orang yang mempunyai gejala gangguan mental ini, cuba nasihati mereka, namun jika tidak dapat membantu, hubungi doktor atau ahli profesional kesihatan mental.

"Di sesetengah komuniti agensi kesihatan awam boleh membantu menangani kecelaruan ini dengan mendapatkan bantuan untuk individu yang terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 7:00 AM